Wednesday, July 23, 2008

Pohon yang rendang dan lebat berbuah

Alangkah baiknya kalau saya sebatang pohon rendang yang senantiasa lebat berbuah. Andainya ada tangan-tangan nakal yang melontar batu atau kayu, tetap memberi mereka buah yang enak dimakan serta dapat mengenyangkan perut.

Tuesday, July 22, 2008

Lima

Serasa macam semalam saya melangkahkan kaki memasuki ruang pejabat ini. Diperkenalkan kepada satu persatu staf yang ada di situ. Pejam celik pejam celik begitu cepat masa berlalu. Hari ini genap lima tahun saya di sini. Banyak yang dapat saya pelajari. Belajar tentang tanggungjawab. Belajar tentang hidup dan kehidupan.

Friday, July 11, 2008

Perancangan kita..Perancangan Allah

Minggu ini sepatutnya saya menyambung kerja-kerja yang tertangguh minggu lepas. Sebaik tiba di pejabat pagi Isnin, dikejutkan dengan panggilan telefon dari penyelia supaya menggantikan tempat rakan setugas yang mengambil cuti kecemasan. Tiga hari menggantikannya cukup memenatkan. Bertambah penat melihat kerja sendiri yang tak dapat disiapkan seperti apa yang dirancang.
Dalam kepayahan melunasi tanggungjawab, saya menginsafi betapa kerdilnya diri. Ya Allah, betapa hebatnya kuasamu. Betapa kita merancang, tapi kalau Allah tak permudahkan, tak akan terlaksana. Betullah..perancangan Allah itu lebih tepat buat kita hambanya.

Thursday, July 3, 2008

Lelah

Akhirnya..bulan Jun yang memenatkan itu tiba ke penghujungnya. Saya memang kelelahan, lebih-lebih lagi meladeni dua kumpulan auditor serentak. Permintaannya rencam. Lebih-lebih lagi bertindak sebagai perantara dengan pihak pengurusan. Betul. Saya terpaksa kesampingkan kerja-kerja asasi saya. Setiap hari balik lambat dan adakalanya hujung minggu berkampung di pejabat. Banyak benda yang saya korbankan. Kesihatan turut terganggu. Majlis ilmu banyak yang saya abaikan. Ahhh...terasa sangat rugi..

Bukan itu sahaja, sebagai orang islam kita sememangnya senantiasa diuji..lepas satu, satu ujian. Kejutan demi kejutan. Semuanya menginsafkan. Apa yang pasti Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Bulan Julai ini saya ingin merehatkan minda sebaik mungkin...bercuti, melakukan apa sahaja yang terbaik dan pastinya Ogos atau September nanti ada tugasan baru yang bakal menanti...