Monday, November 10, 2008

Berlapang Dada...

Dalam kesibukan melunasi tugasan, hati tetap terkesan dengan perkhabaran itu. Sungguh, saya terkedu. Hati saya sebak. Saya ingin menangis. Sungguh..Kalau tangisan boleh meleraikan segala persoalan saya sanggup berbuat demikian. Namun saya tahu, saya kena akur. Keputusan telah dibuat. Segalanya telah termaktub. Persoalannya, bolehkah saya berlapang dada menerima perkhabaran itu? Saya sayangkannya. Saya membesar dan matang bersamanya. Saya belajar tentang kehidupan dengannya. Saya temui orang-orang berilmu tapi sentiasa merendah diri di dalamnya. Namun, ada sesuatu yang pasti. Hidup perlu diteruskan. Betullah, hidup ini tak seindah yang kita bayangkan!

Friday, November 7, 2008

Renungan bersama...

Buat sekian kalinya, saya menatap lagi kitab "Jangan Bersedih". Saya ingin mencari sesuatu. Sekurang-kurangnya sebagai penawar buat menenangkan hati yang rusuh tika dan saat ini. Lantas saya terjumpa kata-kata ini.
"Sekiranya kita mengharapkan agar diterima oleh semua pihak, disukai oleh semua orang, terhindar dari cela, bermakna kita sudah menyukai sesuatu yang mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai."

Wednesday, November 5, 2008

Pencerahan....

Hari Khamis yang penuh keberkatan. Peluang berusrah dan menadah ilmu dengan Cikgu Sidek Baba tidak boleh dipersiakan begitu saja. Seperti biasa, saya tersasar lagi ke rumah beliau. Namun begitu, saya selamat tiba ke rumahnya dengan bantuan Ustaz Mus. Setelah tiga jam membuka hati dan minda, kami seolah-olah menerima pencerahan. Namun pesan cikgu yang paling berbekas; tingkatkan ilmu dan jangan gadaikan prinsip walaupun berdepan dengan segala macam perubahan dalam era globalisasi ini.