Sunday, June 28, 2009

Kos Lepas...

Hari ini saya tidak ke Darwa. Tidak juga ke mana-mana. Hanya di rumah. Pagi-pagi saya keluar membeli sarapan bersama tiga naskhah surat khabar- Siasah, Harakah dan Sinar Harian. Sudah lama tidak menikmati waktu santai. Lepak-lepak membaca sambil dihiburkan dengan alunan lagu-lagu kegemaran dari radio atau komputer.

Tuesday, June 23, 2009

Jalan Nan Terbentang



Jalan nan terbentang
Penuh onak dan duri
Jua kerikil tajam

Acapkali aku tersungkur
Luka, berdarah
Dalam kepayahan
Bangkit kembali melangkah

Tidak mudah
Namun terpaksa akur
Begitu sunnatullah



Friday, June 19, 2009

Jerubu di hati.

Pandangan kabur. Nampak mendung tetapi bila keluar rupanya panas membahang. Membakar muka dan anggota badan yang tak terlindung oleh pakaian. Rupanya jerubu sedang melanda ibu kota. Jerubu di luar. Jerubu juga di hati saya.


Segalanya menghimpit fikiran, emosi dan tumpuan. Kerja-kerja asasi yang saban hari minta dilunasi. Ditambah dengan warna-warni Darwa. Juga taraf kesihatan yang turun naik. Segalanya minta dilayan dengan adil dan saksama.


Saya hanya manusia biasa. Saban hari saya mendidik hati agar bersabar. Bersabar dalam meladeni penghuni Darwa yang memang bermasalah. Namun, darjah kesabaran semakin lama semakin menurun. Saya bertahan. Pujuk hati. Tangani mereka dengan hikmah.



Wahai adik-adik,



Kami tak minta dibalas. Tak mengharapkan penghargaan. Namun, Janganlah sampai kekurangan dan ketidaksempurnaan itu dijaja ke seluruh pelusuk alam. Memang kami akui, Darwa penuh dengan kekurangan dan ketidaksempurnaan. Darwa masih bertatih. Masih dalam segala kepayahan namun kami cuba bagi yang terbaik. Darwa takkan sama dengan rumah ayahbonda yang senantiasa mendamaikan hati dan menyejukkan jiwa. Begitu juga, pengurus atau para sukarelawan yang datang, tak dapat dibandingkan dengan pujukan dan layanan dari keluarga tercinta. Terimalah seadanya. Kalian pasti tahu, kenapa kalian di Darwa. Untuk apa kalian menghuni darwa. Semuanya kerana harapan keluarga yang mahukan kalian BERUBAH. Benar, PERUBAHAN itu bukan mudah tapi bukanlah sesuatu yang sukar dan mustahil untuk dilakukan.

Monday, June 15, 2009

Sempadan Yang memisahkan..

13 Jun 2009 (Sabtu)

Saya tidak sempat ke Darwa minggu ini. Ada berita gembira yang saya terima. Alhamdulillah, Y telah selamat melahirkan bayi lelaki pada 10 Jun 2009. Namun, benarlah janji Allah. Kita hanya merancang tetapi Allah itu Perencana yang Maha Agung. Bayi itu diserahkan oleh keluarga Y kepada keluarga yang lebih memerlukan. Harapan dan doa kami semoga bayi Y mampu menjadi anak yang soleh serta tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh ibu dan bapanya.

Begitu jua harapan dan doa kami buat Y, semoga beliau belajar dari kesilapan ini. Mengerti bahawa hidup ini perlu ada peraturannya. Peraturan itu bukan menyusahkan tetapi sebagai sempadan. Sempadan yang memisahkan antara yang haq dan yang batil.

Menanti kehadiran tetamu istimewa

7 Jun 2009 (Ahad)

Jam 11 pagi, kami bertolak ke HTAR. Niatnya menghantar barang-barang Y dan menziarahinya. Namun, hasrat hati tidak kesampaian. Niat kami terhalang kerana bukan masa melawat. Kami begegas pulang ke Darwa. Ada tetamu menanti.

Kami tiba di Darwa disambut senyuman oleh Puan Bi (pegawai khas YB Shuhaimi). Beliau dalam perjalanan ke kenduri kahwin tetapi sempat singgah meluangkan waktu sambil membawa barang-barang dapur untuk Darwa. Kami bercerita panjang. Dari kisah Darwa hingga isu semasa. Terima kasih. Hanya itu yang mampu kami lafazkan. Semoga Allah permudahkan urusan tuan dan puan yang budiman.

Monday, June 8, 2009

Inilah caranya Allah mendidik Kami..

6 Jun 2009 (Sabtu)

Cuti sekolah memang sinonim dengan kenduri kahwin. Hari ini saya meraikan Anis dan pasangannya di Taman Maluri. Saya tiba di rumah jam 5. Masih kepenatan. Saya cuba menelefon Zalina sekadar memberitahunya saya hanya akan ke Darwa pagi-pagi esok. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapat tahu yang Y telah dihantar ke HTAR kerana masa melahirkan telah tiba. Lagi terkejut pabila diberitahu yang y tidak membawa barang keperluan untuk bayinya. Keluarganya telah diberitahu tapi semuanya di kampung halaman. Tiada sanak saudara yang berada di Kuala Lumpur.
Tanpa berlengah saya memandu ke Darwa. Mengambil Zalina dirumahnya serta menjenguk Darwa seketika. Kemudian mencongak destinasi untuk membeli barangan keperluan bayi Y. Selepas maghrib, kami memutuskan ke Mydin USJ. Namun dalam kekalutan itu, kami masih sempat bersantai menikmati makan malam. Alhamdulillah.
Pencarian bermula. Terasa agak sukar. Maklumlah kami tiada pengalaman membeli barangan keperluan bayi. Kadang-kala talian hayat digunakan, bertanya itu ini dari yang arif. Seketika saya termenung, mencongak dan menghitung betapa barang-barang yang dicari agak mahal harganya. Kami pulang dengan barangan penuh satu troli. Jam melewati 10.30 malam.
Sepanjang perjalanan, pelbagai yang kami bincangkan. Pengajaran dan ikhtibar yang amat mahal nilainya. Betapa berharganya maruah dan kehormatan diri. Betapa mahalnya sebuah kepercayaan. Betapa sucinya ikatan pernikahan yang sah. Semuanya saling melengkapi.