Tuesday, December 9, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Pagi Aidil Adha yang syahdu ditemani takbir dan tahmid yang bergema di seluruh alam. Aidil Adha kali ini kurang sedikit kemeriahannya kerana dua orang adik tak dapat bersama menyambutnya di kampung. Seperti sebelumnya, kami teruskan tradisi kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi. Ada beberapa rumah wajib ziarah. Sepatutnya rumah-rumah ini dikunjungi semasa Aidil Fitri lalu namun kerana kesihatan ayahanda kurang mengizinkan ketika itu, kami isi dengan program makan, tidur dan menonton televisyen. Sungguh tidak produktif. Kami ganti dengan Aidil Adha ini. Terasa betapa persaudaraan ini satu nikmat. Terima kasih Ya Allah, masih lagi memberi kami kesempatan bersilaturrahim.

Wednesday, December 3, 2008

Kitalah Permata itu...

Satu

Peluang membantu penyelia memilih pekerja dari awal proses hingga peringkat mengatur temuduga tidak mudah yang disangka. Kalau dulu masa belajar, teorinya sangat menarik tapi realitinya tidak semenarik itu. Pelbagai ragam dan karenah manusia yang saya temui. Semuanya menginsafkan saya. Bukan senang rupanya memilih pekerja yang tepat pada masa yang tepat untuk tempat yang tepat. Sungguh...
Dua
Apabila terpilih, lakukanlah bersungguh-sungguh. Tak kira apa jawatan kita atau siapa pun kita, buatlah kerja betul-betul. Jangan lakukan sambil lewa. Terlalu berkira. Tunjukkan komitmen kita pada kerja. Anggaplah kerja kita sebagai ibadah. Kita mahukan keberkatan dalam hidup. Keberkatan itu bukan sekadar diukur dengan upah yang dibayar malah lebih dari itu...