Sunday, June 8, 2008

Salju Sakinah


Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Halaman: 559
Harga: RM 20.80 (rebat 20%)


Novel yang berlatarkan Jordan dan Singgarang, saya kira sebuah mukim dalam daerah Batu Pahat ini banyak mengajar agar kita berjiwa besar. Tak kira apa jantina. Baik lelaki mahupun wanita. Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan makhluk. Setiap masa, waktu senang mahupun susah. Sentiasa memahami dan menghazami maksud ayat 286 surah al-Baqarah. Sememangnya Allah tidak pernah dan tidak akan membebani kita dengan ujian-ujian yang tak mampu kita hadapi. Ingatlah! Dalam surah al-Insyirah Allah menegaskan bahawa setiap kesempitan ada kemudahan. Senantiasa redha dan berlapang dada dengan ujian Allah. Sentiasa memahami bahawa setiap ujian susah dan senang itu ada hikmah yang besar di dalamnya. Novel ini juga mendidik kita bahawa sentiasa bersabar dan jangan cepat melenting dengan caci-maki dan umpat keji manusia.


Novel ini mengajak pembacanya agar senantiasa mengimarahkan majlis ilmu. Menyarankan agar membudayakan tabiat membaca buku. Membaca buku setiap hari serta memperkenalkan kita dengan beberapa kitab yang bagus. Antaranya Jangan bersedih, Minhajul Abidin, Pendidikan awal kanak-kanak.

Saya tersentuh dengan lafaz doa Prof. Abu Harith buat Sumayyah ketika Sumayyah menemui beliau sebelum berangkat ke Malaysia.


“Moga kamu benar-benar menjadi seorang muslimah seorang mukminah seorang mujahidah seorang muslihah dan seorang Sumayyah yang kuat mempertahankan aqidah dan agamanya sebagaimana Sumayyah Ummu Ammar, isteri kepada Yasir.”


Seorang muslimah bermakna dia dia perlu menjadi seorang wanita islam yang benar-benar mengamalkan segala tuntutan agama sepertimana yang digariskan oleh Al-Quran dan as-Sunnah. Bukan hanya kalimah syahadah sebagai bukti keislaman, malah menjadikan islam sebagai cara hidup.


Seorang mukminah baginya bukan sekadar beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul-rasul, beriman kepada Kitab-kitab, beriman kepada Hari Akhirat, beriman kepada Qada’ dan Qadar; bahkan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Tegal hakikat iman yang sempurna itu adalah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badan.


Seorang mujahidah menurut pemahamannya adalah seorang wanita yang berjihad dan bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi demi memastikan Islam terus bernafas dan dipandang tinggi.


Seorang muslihah adalah seorang wanita yang berperanan melakukan tugas-tugas islah dan pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku dalam umat dan masyarakat.


Seorang Sumayyah, nama srikandi Islam zaman Rasulullah. Itulah ibu kepada Ammar bin Yasir yang menjadi wanita Islam pertama yang gugur sebagai syahid-demi mempertahankan iman dan aqidah.

No comments: