Salah satu teori dalam ekonomi yang selalu berlaku dalam kehidupan adalah kos melepas. Seandainya ada dua pilihan, salah satu kita terpaksa korbankan. Inilah yang dinamakan kos melepas. Saya kepingin mengikuti Forum yang membicarakan tentang kehebatan Salahuddin Al-Ayubi. Namun, keinginan itu terpaksa saya kekang. Saya akur pada suatu ketetapan. Saya ada komitmen bersama Helwa. Malam ini saya pergunakan peluang dan ruang ini berbicara tentang Darwa. Darwa sebagai projek perintis. Darwa yang memerlukan komitmen yang bukan sedikit. Segalanya tentang Darwa. Tentang penghuninya. Tentang jerih-perih menghadapi rintangan dan ujian. Inilah universiti kehidupan terbaik. Inilah caranya Allah mentarbiah kami.
Malam ini juga kami dihidangkan dengan kebenaran sains dari perspektif islam oleh Prof Khadijah dan Prof Rahmah. Kebenaran sains yang berpaksikan tauhid. Segalanya kembali kepada Al-khalid, Allah yang Maha Pencipta.
Kedatangan kakak-kakak senior juga seolah-olah menyuntik semangat pada kami tentang komitmen dalam kerja-kerja dakwah ini. Bagaimana mereka yang sentiasa sibuk masih mampu meluangkan masa untuk di jalan Allah ini. Betapa bila direnungkan kembali, saya sentiasa terasa amat kerdil. Selalu pertanyaan berlegar dalam dada, masih mampukah saya sekomited mereka bila saya harus menumpukan perhatian pada perkara lain? Pada urusan kerja yang menuntut masa yang bukan sedikit serta keluarga yang tidak boleh saya kesampingkan.