Friday, May 30, 2008

Buku lagi....


Saya bergegas ke KLCC selepas selesai waktu kerja. Seperti selalu saya mabuk buku. Tangan terus mencapai buku-buku yang saya hajati. Melayang beberapa keping not biru tapi hati puas. Adat orang kurang duit, beli buku masa buku ada diskaun. Harap-harap stok buku-buku ini cukup sampai Pesta Buku hujung April Tahun depan.
1. The secret oleh Rhonda Bryne
2. Warkah Cinta Berbau Syurga ole A. Ubaidillah Alias
3. Wang, Anda dan Islam: Halal dan Haram dalam Kewangan dan Perbankan oleh Zaharuddin Abd Rahman
4.Setengah Berisi Setengah Kosong oeh Parlindungan Marpaung
5. Salju Sakinah oleh Zaid Akhtar
6. Minda Muslim Super oleh Dr. Danial Zainal Abidin
7. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman oleh Muhd Kamil Ibrahim
8. Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah oleh Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof

Monday, May 26, 2008

Khazanah lama....


Semasa bercuti sambil menemani ibu dan adik di Puchong, saya sempat menyelongkar beberapa kotak buku dan nota-nota lama masa mengaji di Lembah Pantai dulu. Tujuannya mencari novel seorang teman yang dah lama dipinjam. Niat dihati mahu memulangkannya walaupun satu novel telah lesap dipinjam seorang kawan. Akhirnya, dua novel itu selamat saya temui dalam kotak-kotak tersebut. Bukan itu saja, saya juga bertemu dengan buku-buku ini...Entah bila saya beli, saya tak pasti.
1. Pembangunan di Malaysia Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna oleh Wan Mohd Nor Wan Daud
2. Mengurus Stres oleh Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom
3. Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4.Khazanah Intelektual Islam Editor oleh Nurcholis Majid
5. Kreativiti dalam Penciptaan Karya Sastera oleh Hizairi Othman
6. Srengenge oleh Shahnon Ahmad

Sunday, May 18, 2008

Masih mencari...

Hari ini sempat menghadiri kelas penulisan "Teknik Surah Yusuf" oleh Sifu Puan Ainon. Banyak ilmu yang dikongsi beliau. Begitu juga maklumat tentang dunia buku. Setelah satu hari berkongsi ilmu dengan beliau, satu soalan bermain di minda. Bolehkah saya menulis buku, yang islami, yang evergreen? Apakah bidang yang perlu saya pelopori?

Friday, May 16, 2008

Kaabah, Lorong wahyu, Cinta Arafah

Saya belum pernah sampai ke sana. Sekadar mendengar cerita dan melihat foto-foto kota Mekah dan Madinah melalui teman-teman yang pernah menjadi tetamunya samada ketika umrah atau haji. Juga menatap gambar-gambarnya di dada akhbar dan kaca televisyen. Membaca puisi-puisi (walaupun saya kurang arif tentang puisi) tulisan Isa Kamari ini seolah-olah membayangkan saya pernah sampai ke sana. Terasa-rasa saya berada di setiap tempat yang di sebut dalam buku-buku ini. Bahasanya indah. Tambahan lagi, setiap puisi ditulis dalam tulisan rumi dan jawi. Inilah kiranya keunikan buku-buku ini. Apatah lagi apabila mendengar lagu-lagu puisi yang disampaikan oleh Kumpulan Sir fil Sir. Hati meronta-ronta ingin ke sana.

Thursday, May 8, 2008

Catatan Pengalaman

Segalanya bermula untuk berkongsi ilmu fardhu ain kepada saudara baru terutamanya kaum ibu. Walaupun kami juga sebenarnya masih lagi belajar dan akan terus belajar. Bukankah menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim. Namun, kami perasan ada yang kurang fasih mengucap dua kalimah syahadah walaupun telah lama menganut islam. Kami mulakan kelas selama dua jam latih tubi membaca syahadah dan al-fatihah dalam kumpulan. Sesekali kami mengalunkan irama puji-pujian dendangan kumpulan Raihan. Ada beberapa kesukaran terutamanya dalam menyebut kalimah asyhadu, Allah dan rasul Allah.



Apabila mendapat papan putih, kami mulakan mengajar iqra’. Hati tersentuh sayu apabila mereka bertanya, “ bila nak ajar ABC? Kami pun nak pandai membaca macam orang lain.” Bayangkan, setelah 50 tahun merdeka, ada lagi insan-insan yang tidak kenal ABC. Alangkah! Alangkah! Sedihnya hati. Tak terluah dengan kata-kata. Kita berjaya membina bangunan pencakar langit, kita teruja apabila ada rakyat negara telah ke angkasa lepas. Kita berbangga apabila rakyat Malaysia mampu menawan puncak Gunung Everest, malah kita kagum apabila ada antara kita telah ke Kutub Utara dan Selatan. Bagaimana dengan mereka? Akan terus begitukah mereka? Terpinggir dalam arus kepesatan pembangunan negara. Apa yang dikesalkan, mereka bukan berada nun jauh di pedalaman, terpaksa menyeberang sungai untuk ke tempat mereka, meredah hutan belantara untuk sampai ke sana. Mereka hanya terletak di pinggir bandar. Hanya 20 minit berkereta dari Pekan Kayu Hijau.



Lalu kami bercadang mengilirkan jadual. Seminggu iqra’, seminggu lagi ABC menggunakan kaedah BACALAH ANAKKU. Bermulalah kelas a…i…u…ba..bi..bu…ca..ci..cu…Methodnya mudah. Baca berulang-ulang kali. Sesekali bergilir-gilir menyebutnya. Sungguh! Latihan lidah yang menghiburkan walaupun kerap kali tersasul.


Namun, cabaran juga tak kurang hebat. Mungkin inilah ujian, inilah dugaan. Bukan senang nak buat kebaikan. Tidak semudah menyebut ABC, alif ba taa, 123. Walau apa dan bagaimana rintangan yang datang, insyaallah, kelas tetap dijalankan. Bukankah ianya satu amanah? Bukankah Allah hanya bertanya apa yang telah kita usahakan? Allah tidak akan bertanya apa hasil dari apa yang kita usahakan. Banyak-banyaklah bersabar, bukankah sabar itu sebahagian daripada iman. Mungkin inilah tarbiyyah dari Allah untuk mendidik hati kita. Menanamkan sifat mahmudah dan membuang karat mazmumah. Mematangkan diri dalam menjalani kehidupan yang entah bila penghujungnya. Sungguh! Hidup ini tak seindah yang dibayangkan.


Semoga Allah beri kami kesihatan dan kekuatan untuk terus istiqamah dalam menjayakan program ini. Misi kami hanya satu, moga-moga mereka dapat menyebut kalimah syahadah dan membaca al-Fatihah dengan betul. Biarlah kalimah suci ini tersemat kukuh dalam hati-hati kita semua. Amin.

Saturday, May 3, 2008

Masih belum bertemu jawapan

Berkelana dari Gombak ke Kelang dengan menaiki LRT dan komuter pada cuti Hari Pekerja membolehkan saya menghabiskan "Dewan Masyarakat" bulan Mei 2008. Isunya masih berlegar tentang analisa PRU 12. Pelbagai persoalan berlegar dalam benak saya. Apakah dengan tidak memberi mandat kepada parti pemerintah kita sebenarnya kehilangan ketuanan Melayu? Apakah maksud ketuanan Melayu itu? Apakah selama ini pihak pemerintah benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu? Mendaulatkan Bahasa Melayu? Tergadaikah nanti tanah air tercinta ini sebagaimana lagu "WARISAN" yang saya sering nyanyikan sejak zaman sekolah rendah? Apakah nasib orang Melayu nanti, apakah akan jadi pelarian di bumi sendiri? Banyaknya soalan....tak terzahir dengan kata-kata. Tiba-tiba dada saya sesak, sebak...

"Ya Allah, Jangan kau azab kami sepertimana kaum yang terdahulu..."