Saturday, January 31, 2009

Hari ini saya dilahirkan. Buat pertama kalinya saya menyambutnya di samping seluruh ahli keluarga. Hari ini juga kami meraikan kenduri kesyukuran sempena perkahwinan adik ketiga saya.





Ya Allah. Semoga umur yang masih tersisa ini diberkatiMU.

Sunday, January 25, 2009

Manzil Resam Uthmani

Saya beberapa kali memegang buku ini semasa ke Bangunan Tabung Haji selepas makan tengahari. Tergerak hati membelinya atas saranan Ustaz Zahazan Mohamed lewat kuliah tafsir yang saya dengar setiap pagi ketika bersiap-siap ke tempat kerja. Entah kenapa hati begitu takut untuk membelinya. Takut tak mampu mengamalkannya.
Akhirnya kitab comel yang mengandungi doa-doa ini saya miliki. Ia sempena cenderahati pernikahan Harmizi dan Za'emah. Kitab ini diberi bersama uncang kecil yang comel dan dua keping coklat Toblerone. Hati riang tak terkira. Riang kerana adik saya menamatkan zaman bujangnya. Riang kerana mendapat kitab ini. Semoga pernikahan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Friday, January 16, 2009

Pilihan

Saya diberi dua pilihan. Pilihan pertama berada di pejabat yang berhawa dingin. Masih di kuala yang berlumpur. Bekerja secara rasminya dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Bekerja dari Isnin hingga Jumaat. Sesekali bekerja di luar. Pendek kata, segalanya selesa. Ketua sentiasa ada. Boleh memberi tunjuk ajar dan bimbingan.
Pilihan kedua berada di lapangan. Bekerja tujuh hari seminggu. Isnin hingga Ahad. Nun jauh di negeri serambi Mekah. Tetapi dekat dengan kampung halaman. Boleh berulang-alik setiap hari kalau berkemampuan. Kerja bermula selepas solat subuh dan akan berakhir menjelang solat Isya'. Ketua nun jauh di Kuala nan berlumpur. Segala keputusan ditentukan sendiri dengan bimbingannya. Sentiasa berhubungan dengan manusia lain.
Saya tidak tahu memilih sebenarnya. Di saat orang lain tiada pilihan, saya diberi dua pilihan. Kedua-duanya ada pro dan kontra. Tidak bersyukurkah saya? Namun, apa yang pasti. Saya senantiasa berdoa dan berharap. Walau di mana dan ke mana pun saya dicampak dan tercampak. Saya tetap diberi peluang meningkatkan diri. Peluang untuk berusrah dan pada masa yang sama turut menyumbang untuk masyarakat. Ya Allah! Kau permudahkan segala urusan kerja dan urusan-urusan lain.

Wednesday, January 14, 2009

Aku Terima Nikahnya

Saya mula membaca buku ini di akhir-akhir tahun 2008 dan berjaya mengkhatamnya di awal 2009. Sebuah buku yang berkisar tentang sebuah kehidupan. Bukan sahaja bagaimana sepatutnya cinta sebelum kahwin diuruskan tetapi segalanya. Dari bagaimana memilih pasangan yang ditetapkan dalam islam. Bukan kerana kacaknya atau jelitanya pasangan kita. Bukan juga kerana namanya yang tersohor seluruh alam. Bukan juga kerana hartanya yang bertimbun-timbun. Tetapi kerana agamanya. Tidak semestinya seorang ustaz atau ustazah, tapi dia mengamalkan islam dalam seluruh aspek kehidupan. Berazam untuk senantiasa lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Perkahwinan itu satu tanggungjawab. Perkahwinan juga satu amanah. Seandainya kasih-sayang telah hilang, biarlah tanggungjawab dan amanah itu yang mengukuhkan sebuah ikatan. Buku ini mengingatkan kita bahawa terima pasangan kita seadanya, mensyukuri kelebihannya serta redha dan berlapang dada dengan kekurangannya.


Buku ini juga menceritakan bagaimana mendidik anak menurut acuan yang sepatutnya dalam dunia tanpa sempadan ini. Tidak mudah bagi ibu-bapa yang bekerjaya dan pada masa yang sama berdakwah di jalan Allah. Tapi itulah cabarannya. Mendidik anak-anak agar cemerlang rohani, emosi dan intelek. Itu dugaannya. Mendidik anak-anak dalam erti kata cemerlang dalam pelajaran dan pada masa yang sama cemerlang sahsiah diri. Tahu membezakan yang mana baik dan buruk. Tahu dosa dan pahala. Tips-tips pendidikan anak-anak ini diceritakan secara tidak langsung melalui contoh-contoh kehidupan peribadinya.


Buku ini mengingatkan saya agar memuliakan orang tua yang masih hidup. Menggembirakan hatinya. Senatiasa menghubunginya walaupun kadang-kala kita dihambat tugasan demi tugasan. Percayalah! Tidak rugi kita mengutamakan mereka.


Buku ini mengajar saya sesuatu; Erti Hidup Untuk Memberi....

Friday, January 9, 2009

5 tahun Perkhidmatan

Semasa mula-mula melangkah ke pejabat ini lima tahun lalu, ada majlis pemberian hadiah untuk teman sekerja yang telah berkhidmat selama 3 dan 5 tahun. Ketika itu, saya terfikir, mampukah saya kekal selama itu. Paling kurang 3 tahun. Masa berlalu, dua tahun lepas saya menerima hadiah untuk perkhidmatan selama 3 tahun dari Martin Chalmers. Alhamdulillah, hari ini saya menerima hadiah itu dari Tuan Haji Rohaizak. Selama itu, banyak saya pelajari. Tentang hidup dan kehidupan. Tentang tanggungjawab dan amanah.

Thursday, January 8, 2009

Ujian...

Ujian itu pelbagai sifatnya. Kadang-kala dalam bentuk kesakitan dan keperitan hidup. Ada kalanya dalam bentuk kesenangan dan kemewahan. Ujian-ujian ini sebenarnya tanda rahmat dan kasih sayang Allah buat kita makhluknya. Ujian kesakitan dan keperitan hidup biasanya ramai yang boleh melaluinya. Masa ini kita memang senantiasa mendekatkan diri pada Allah. Bergantung harap hanya padaNYA. Yang paling ditakuti ujian kesenangan kerana kita terleka dan terlupa. Janganlah hendaknya kita terlupa yang setiap rezeki yang kita dapat itu ada hak orang lain juga. Maka tunaikanlah hak orang lain itu. Tunaikanlah zakat. Perbanyakkanlah sedeqah. Itulah bekalan kita di sana nanti.
Saya teringat kata-kata Ustaz Jaafar semasa menjalani TOT suatu waktu dulu. Hidup ini seumpama peperiksaan. Keputusannya hanya satu. Lulus atau gagal. Gagal dalam peperiksaan akademik, kita boleh mengulanginya kembali. Gagal dalam hidup bagaimana ya? Bolehkah kita mengulangi kehidupan kita kembali?

Saturday, January 3, 2009

Kenduri buku...

Buku-buku yang dibeli semasa jualan akhir tahun DBP di Ulu Kelang

1. Kamus Peribahasa Melayu Disusun oleh Abdullah Hussain- RM 10.20
2. Iktikaf oleh Nora-RM3.60
3. Salah Asuhan oleh Abdoel Moeis-RM1.00
4. Landas Kreativiti Penulisan Cerpen oleh Othman Puteh-RM2.40
5. Kembang Selaut oleh J.M. Aziz-RM1.50
6.Jejak Kreatif oleh Arenawati -RM3.60
7. Puisi-puisi pilihan oleh Usman Awang-RM1.00
8. Sastera dan Kemanusiaan-RM1.00
9.Glosari Industri Petroleum -RM1.00
10. Sukma Angin oleh Arenawati-RM9.00
11. Menangani Penulisan Kreatif Sastera Remaja oleh Talib Samat-RM2.55
12. Kamus Inggeris Melayu Dewan-RM20.00
13. Meorouv Toga oleh Arenawati-RM5.40