Saya mula membaca buku ini di akhir-akhir tahun 2008 dan berjaya mengkhatamnya di awal 2009. Sebuah buku yang berkisar tentang sebuah kehidupan. Bukan sahaja bagaimana sepatutnya cinta sebelum kahwin diuruskan tetapi segalanya. Dari bagaimana memilih pasangan yang ditetapkan dalam islam. Bukan kerana kacaknya atau jelitanya pasangan kita. Bukan juga kerana namanya yang tersohor seluruh alam. Bukan juga kerana hartanya yang bertimbun-timbun. Tetapi kerana agamanya. Tidak semestinya seorang ustaz atau ustazah, tapi dia mengamalkan islam dalam seluruh aspek kehidupan. Berazam untuk senantiasa lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Perkahwinan itu satu tanggungjawab. Perkahwinan juga satu amanah. Seandainya kasih-sayang telah hilang, biarlah tanggungjawab dan amanah itu yang mengukuhkan sebuah ikatan. Buku ini mengingatkan kita bahawa terima pasangan kita seadanya, mensyukuri kelebihannya serta redha dan berlapang dada dengan kekurangannya.
Buku ini juga menceritakan bagaimana mendidik anak menurut acuan yang sepatutnya dalam dunia tanpa sempadan ini. Tidak mudah bagi ibu-bapa yang bekerjaya dan pada masa yang sama berdakwah di jalan Allah. Tapi itulah cabarannya. Mendidik anak-anak agar cemerlang rohani, emosi dan intelek. Itu dugaannya. Mendidik anak-anak dalam erti kata cemerlang dalam pelajaran dan pada masa yang sama cemerlang sahsiah diri. Tahu membezakan yang mana baik dan buruk. Tahu dosa dan pahala. Tips-tips pendidikan anak-anak ini diceritakan secara tidak langsung melalui contoh-contoh kehidupan peribadinya.
Buku ini mengingatkan saya agar memuliakan orang tua yang masih hidup. Menggembirakan hatinya. Senatiasa menghubunginya walaupun kadang-kala kita dihambat tugasan demi tugasan. Percayalah! Tidak rugi kita mengutamakan mereka.
Buku ini mengajar saya sesuatu; Erti Hidup Untuk Memberi....
No comments:
Post a Comment