Kulit depan majalah ini memaparkan pelbagai lukisan variasi eksperesi wajah dalam pelbagai keadaan oleh Tuan Nizar bin Kamal Arifin. Ada wajah girang. Wajah sedih. wajah suka duka kehidupan. Tanpa kita sedari, itulah wajah-wajah kita sebenarnya.
Saya belajar satu istilah baru- filologi (Philology). Menurut kamus Oxford Fajar English-Malay (2001) science or study of the development of language of a particular language; sains atau kajian mengenai perkembangan bahasa atau bahasa tertentu. Tokoh utama yang dikemukakan adalah pemenang anugerah Sastera MASTERA Datuk Dr. Siti Hawa Salleh. Beliau banyak mengkaji hikayat dari dulu hingga sekarang. Dalam artikel berkenaan juga, saya mendapat ilmu baru. Sebenarnya alam Melayu mempunyai pelbagai hikayat. Hanya beberapa yang saya pernah dengar. Antaranya Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Lemang Lebar Daun. Selebihnya, dari pembacaan itu baru saya ketemu nama-nama naskhah klasik tersebut. Tiba-tiba hati teruja. Mahu memiliki naskhah klasik tersebut. Satu pun memadai. Buat koleksi peribadi.
Terdapat juga dua artikel yang mengenang dua tokoh sasterawan negara. Kedua-duanya telah pergi menemui penciptanya. Arwah A. Samad Ismail dan Shaharom Hussin. Arwah A. Samad Ismail pernah saya baca karya-karya besarnya seperti Tembok Tidak Tinggi dan Kail Panjang Sejengkal. Namun, sayang sekali, saya tidak berkesempatan membaca karya-karya sejarawan dan sasterawan Shaharom Hussin. Mungkin selepas ini, saya akan mencari karya-karya tersebut.
Dalam satu resensi buku antologi puisi Salasilah karya penyair Zurinah Hassan, saya mengetahui bahawa Raden Galoh Cendera KIrana betul-betul wujud. Selama ini, saya beranggapan nama itu sekadar watak utama dalam Hikayat Panji Semirang. Aduh! betapa kerdilnya saya. Banyak sungguh sejarah dan budaya yang tidak saya ketahui. Terasa malu mengaku melayu muslim. Insyaallah, akan saya miliki antologi puisi yang bersahaja tapi menusuk jiwa. Seperti yang tercatat dalam resensi tersebut. "Melaka itu bermula dengan pokok melaka tetapi berakhir dengan seulas nangka." Sungguh tragis! Kisah kebobrokan raja-raja Melayu yang tertipu dengan kuasa.
Di dalamnya ada beberapa cerpen, yang paling membekas karangan Siti Hajar Mohd. Zaki yang mengisahkan perjuangan seorang wanita yang menuntut kesamarataan dengan lelaki waima menjadi imam dalam solat. Sungguh kasihan tapi bila diajak berperang menentang musuh...heii..saya takut darah...itulah kelemahan. Satu teguran yang sangat buat halus wanita. Lagi kisah hijab hasil nukilan Kamariah Kamarudin. Kisah yang banyak berkisah bagaimana meletakkan wanita di tempat yang sepatutnya. Antaranya melalui tuntutan bertudung atau hijab. Sungguh hijab itu satu undang-undang bukan pilihan. Juga buah tangan Pak Hamka menerusi cerpen Injik Utik. Saya tak pasti makna "Injik", mungkin cerpen dalam ejaan lama itu bermaksud nenek Utik. Satu kisah yang memilukan. Kisah kehidupan perempuan yang hanya berpeluang menyarung baju pengantin sebagai cita-cita yang tidak kesampaian. Impian itu tertunai dengan sekadar sebuah lakonan bagi memuaskan hati sendiri yang dibeli dengan duit tabungannya. Namun, akhirnya beliau sedar, kain itu nanti akan dijadikan kain kapan buat pakaian terakhir menjelang keberangkatan ke negeri abadi.
Apa yang paling saya suka, bahagian belakang Dewan Sastera yang memuatkan pantun Anak Dagang karya Siti Hawa Salleh dalam tulisan jawi. Begitu bersahaja tapi itulah cara orang dulu-dulu menasihati kita. Lembut tapi membekas di kalbu.
No comments:
Post a Comment