Thursday, February 12, 2009

Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok


Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok
Penulis: Muhd Kamil Ibrahim
Penerbit:PTS Islamika
Tahun:2009
Muka surat:142
Harga: RM 18.00


Satu perkongsian catatan peribadi mengenai perjalanan dakwah penulis selepas beliau menunaikan haji. Juga diselitkan kisah-kisah harian yang kadang-kala menyentuh hati. Saya kagum dengan sifat dan sikap istiqamah penulis dalam melestarikan cita-cita mendekatkan diri pada Allah. Bahasanya bersahaja tapi kadang-kala boleh menitiskan air mata, kadang-kala boleh tersenyum-senyum geli hati.


Beliau sentiasa istiqamah dalam menunaikan solat jemaah walau di mana berada. juga istiqamah dalam menjaga solat. Istiqamah dalam berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Istiqamah dalam menunaikan solat sunat dipertiga malam. Istiqamah membaca al-Quran. Juga keazaman beliau untuk beri'tikaf di masjid di hujung bulan Ramadhan. Banyak lagi catatan tentang amalan lain yang patut kita amalkan. Amalan al-mathurat misalnya. Doa-doa yang patut kita amalkan setiap pagi dan petang. Membaca al-quran serta memahami maksud yang terkandung dalam patah-patah kata yang tertulis di kitabullah tersebut setiap hari. Bersedeqah dan pada masa yang sama turut berkongsi amalan-amalan yang dilakukan dengan orang lain.



Penulis juga mengingatkan kita betapa sebenarnya kalau kita berazam melakukan sesuatu insyaallah, Allah akan permudahkan. Penulis juga menjelaskan kepentingan konsep berdoa hanya kepadaNYA. Mohonlah kepada Allah. Segala apa yang dihajati. Insyaallah, Allah akan tunaikan.



Sungguh kadang-kala kita terlupa. Betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Nikmat-nikmat yang tak terhitung itu sepatutnya kita syukuri dan makin mendekatkan kita padaNya. Begitu juga, sepatutnya makin besar kedudukan kita, makin memudahkan kita untuk mendekatkan diri padaNYa. Ia menyedarkan saya bahawa hidup ini amat pendek sebenarnya. Maka rebutlah peluang yang ada. Peluang untuk berbakti sesama manusia dan peluang mendekatkan diri padaNYA.




Banyak yang boleh dipelajari dan diikuti serta diamalkan. Memang ada antaranya pernah kita amalkan tapi kadang-kala kita terlupa. Mungkin juga kerana kita terlalu sibuk lalu disibukkan dengan urusan-urusan keduniaan yang tiada penghujungnya.





No comments: