Cuti sekolah memang sinonim dengan kenduri kahwin. Hari ini saya meraikan Anis dan pasangannya di Taman Maluri. Saya tiba di rumah jam 5. Masih kepenatan. Saya cuba menelefon Zalina sekadar memberitahunya saya hanya akan ke Darwa pagi-pagi esok. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapat tahu yang Y telah dihantar ke HTAR kerana masa melahirkan telah tiba. Lagi terkejut pabila diberitahu yang y tidak membawa barang keperluan untuk bayinya. Keluarganya telah diberitahu tapi semuanya di kampung halaman. Tiada sanak saudara yang berada di Kuala Lumpur.
Tanpa berlengah saya memandu ke Darwa. Mengambil Zalina dirumahnya serta menjenguk Darwa seketika. Kemudian mencongak destinasi untuk membeli barangan keperluan bayi Y. Selepas maghrib, kami memutuskan ke Mydin USJ. Namun dalam kekalutan itu, kami masih sempat bersantai menikmati makan malam. Alhamdulillah.
Pencarian bermula. Terasa agak sukar. Maklumlah kami tiada pengalaman membeli barangan keperluan bayi. Kadang-kala talian hayat digunakan, bertanya itu ini dari yang arif. Seketika saya termenung, mencongak dan menghitung betapa barang-barang yang dicari agak mahal harganya. Kami pulang dengan barangan penuh satu troli. Jam melewati 10.30 malam.
Sepanjang perjalanan, pelbagai yang kami bincangkan. Pengajaran dan ikhtibar yang amat mahal nilainya. Betapa berharganya maruah dan kehormatan diri. Betapa mahalnya sebuah kepercayaan. Betapa sucinya ikatan pernikahan yang sah. Semuanya saling melengkapi.
No comments:
Post a Comment