Showing posts with label Isa kamari. Show all posts
Showing posts with label Isa kamari. Show all posts

Thursday, December 17, 2009

Menara

Menara
Penulis: Isa Kamari
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Tahun: 2010
Harga: RM16.50


Alhamdulillah. Saya selesai memanjat Menara. Ia umpama pencarian diri. Memanjat tangga setinggi 200 tingkat di Kota Singa sambil bermuhasabah. Semakin tinggi tangga yang didaki, sepatutnya semakin tinggi ilmu fardhu ain kita. Ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah itu sepatutnya beriringan.

Seperti kata penulisnya menara ini perlu dibaca yang tersiratnya. Saya hanya menekuni yang tersurat sahaja. Begitulah kehidupan. Kita menilai apa yang nampak di permukaan.

Seperti juga memeluk Gerhana, ini saya kira kisah suka duka penulisnya. Kisah ini juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Maka anggaplah ini kisah kita. Kadang-kala kita tenggelam dalam hal-hal duniawi sehingga kita terlupa hal-hal selepas itu. kadang-kala kita terlupa orang-orang yang terpaksa kita korbankan ketika kita mengejar kejayaan demi kejayaan. Kita terlupa keluarga yang kita tinggalkan demi sebuah kejayaan dan pangkat yang melangit. Apabila kita tersedar dari kealpaan itu, kita sebenarnya sudah terlambat. Oh Tidak! Jangan biarkan ia berlaku. Sesekali tolehlah ke belakang, kejarlah mereka yang kita tinggalkan itu.

Apa lagi. Banyak sebenarnya. Tetapi yang tersirat itu biarlah tersemat di kalbu. Apa yang pasti, saya akan daki lagi menara ini. Mungkin ada lagi hikmah-hikmah yang boleh digali.


Ini novel kedua tulisan Isa Kamari yang saya baca selepas Memeluk Gerhana. Novel yang keempat sebenarnya. Satu lagi, Atas Nama Cinta, kisah Natrah yang tak mampu saya habiskan. Sudah empat kali saya mencuba tatapi gagal. Saya tenggelam dalam emosi yang parah. Novel Ketiga Tawassul, masih berbalut cantik di rak buku.

Friday, May 16, 2008

Kaabah, Lorong wahyu, Cinta Arafah

Saya belum pernah sampai ke sana. Sekadar mendengar cerita dan melihat foto-foto kota Mekah dan Madinah melalui teman-teman yang pernah menjadi tetamunya samada ketika umrah atau haji. Juga menatap gambar-gambarnya di dada akhbar dan kaca televisyen. Membaca puisi-puisi (walaupun saya kurang arif tentang puisi) tulisan Isa Kamari ini seolah-olah membayangkan saya pernah sampai ke sana. Terasa-rasa saya berada di setiap tempat yang di sebut dalam buku-buku ini. Bahasanya indah. Tambahan lagi, setiap puisi ditulis dalam tulisan rumi dan jawi. Inilah kiranya keunikan buku-buku ini. Apatah lagi apabila mendengar lagu-lagu puisi yang disampaikan oleh Kumpulan Sir fil Sir. Hati meronta-ronta ingin ke sana.