Showing posts with label Travelog Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Travelog Dakwah. Show all posts

Sunday, June 27, 2010

Bagaimana mahu berdepan dengan Tuhan...


26 Jun 2010

Malam

Kami bermuktamar. Pimpinan terkanan didudukkan di bahagian hadapan. Mengadap para muktamirin dan muktamirat. Ia umpama berada di kandang salah dalam mahkamah dan apabila ditanya tentang pertanggungjawaban. Saya sangat takut. Ini baru di dunia.

Bagaimana di Padang Masyhar nanti? Apakah yang akan saya tuturkan bila berdepan dengan Mu Ya Allah?

Sunday, May 16, 2010

Pengalaman Pertama yang Mendebarkan

16 Mei 2010

Pagi Ahad yang mendebarkan. Tugasan pertama merasmikan program kekeluargaan. Dengan doa yang panjang sesudah subuh saya melangkah ke Kolej Kesembilan UM.

Sejujurnya saya tiada pengalaman dalam perkara ini. ya Allah, berikanlah aku kefasihan dan ketenangan dalam menjyakan amanah ini.

Wednesday, May 12, 2010

Permintaan yang mendebarkan...


Hari Rabu.

Saya dan teman-teman sedang menunggu pesanan makanan ketika Hidayah menelefon dan membawa perkhabaran itu. Saya diminta merasmikan Sukan Taski daerah Kuala Langat. Perasaan bertindan-tindan. Cemas dan gemetar. Persoalannya apa yang patut saya katakan pada pertemuan itu nanti.

Bukankah saya pernah menyematkan di dada. Persoalan yang dihadapi untuk hari-hari mendatang akan dianggap sebagai satu cabaran untuk mematangkan diri. itu tekad saya. Nah, terimalah ia sebagai satu amanah.

Doa saya hanya satu, ya Allah, permudahkanlah.

Tuesday, April 27, 2010

Bukan mudah melawan rasa hati...


Isnin (26 April 2010)

Malam.

Saya berperang dengan perasaan lagi. Melawan rasa letih, mengantuk serta bisikan-bisikan dalam diri. Tempat yang agak jauh dan tak biasa dituju, nun di Selayang sana. Menambahkan lagi alasan.

Namun, selepas solat Maghrib dan berbuka ala kadar, saya gagahkan diri dengan harapan Allah permudahkan jalan ke sana. Alhamdulillah saya selamat tiba.

Saya mendapat pelajaran yang berguna. Perbincangan malam ini berkenaan bab 13 dari kitab Riyadhus Salihin. Jalan-jalan yang pernuh kebaikan seta kepentingan dan fadhilat solat sunat dhuha.

Terima kasih YA Allah,
Ni'mat yang amat jarang kusyukuri,
Dosa yang menggunung
Harap dan takut
Magfirah dan rahmahMu

Monday, April 26, 2010

Pengajaran yang berguna..


catatan 25 April 2010

Pagi
Menghadiri pertemuan MKA di UIA. Dalam berbincang perkara serius, kami disajikan juga dengan video-video yang menyentuh emosi dan minda.

1. Bagaimana Allah memandang kita.
Kita sering bertakbir dan menyebut Allah Maha Besar. Itu memang kita maklumi sejak dari dulu. Namun, kita mungkin terfikir, bagaimanakah agaknya pandangan Allah pada kita? Kita mungkin pernah terlihat e-mail atau catatan berkenaan kedudukan bumi secara universalnya dalam sistem matahari. Ahh..sangat kecil. Sekecil kuman yang hanya boleh dilihat menerusi mikroskop atau sekecil zarah atau juga sekecil titik noktah.

Lalu, bila kita menyedari situasi ini, masih tegarkah kita untuk berlagak sombong atas muka bumi tuhan ini? Siapalah kita untuk layak berperilaku demikian rupa.

Namun begitu, jangan kita lupa, Allah memandang hamba-hambaNya berdasarkan keimanan dan takwa. Jom, kita berebut-rebut melakukan kebaikan untuk meningkatkan iman dan takwa kita yang sering ada pasang dan surutnya itu.

2. Kita pernah berjaya menguasai dunia.
Turut dirakamkan kejayaan demi kejayaan yang pernah dirakam sejarah kehebatan umat islam membina empayar. Diiringi lagu Alarm-Me, hati begitu tersentuh. Kerana kita meninggalkan islam, maka jadilah kita sepeti sekarang. Ayuh, kita belajar dari sejarah, kita amalkan islam secara menyeluruh dalam diri dan ummah.


3. Power of Dreams.
Kisah bagaimana Sirobashi Honda yang memulakan impiannya dengan basikal yang berenjin untuk krisis petrol selepas perang, kemudian seterusnya lahirlah kereta, kereta lumba, bot, kapal terbang dan segalanya. Semuanya bermula dari kegagalan. Seperti katanya, kejayaan demi kejayaan itu hanya satu peratus dari 99 peratus kegagalan yang pernah ditempuhinya. Oelh itu, jangan takut untuk gagal dan berani mencuba.


4. Kematian.
Slid-slid berkenaan kematian dengan diiringi lagu Andai kutahu dendangan kumpulan Ungu itu begitu menyentuh hati. Bersediakah kita pada sebuah kematian yang tak pernah kita tahu bila dan bagaimana caranya?


Petang
Saya berpeluang menziarahi rakan lama bersama bayi barunya. Pengalamannya membuatkan saya berfikir panjang. Kehidupan ini begitu. Hidup ini pengorbanan. Kita perlu korbankan sesuatu untuk dapatkan sesuatu. Itu sunatullah. Betul, kebahagiaan itu sangat mahal harganya.

Sunday, March 7, 2010

Suatu catatan...


6 Mac 2010

Alhamdulillah, kami selesai berjemaah subuh dan diikuti dengan bacaan al-mathurat. setelah berkenalan dengan penghuni darwa dan tazkirah ringkas, kami bersiap untuk ke program.


Kami ke Kompleks Warga Emas Seksyen 24, Shah Alam ditemani gerimis sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, seperti yang dirancang kami selamat tiba. hati sungguh berdebar-debar. Seumpama lebah di dalam perut saya. Saya bimbang akan kehadiran para Helwa. Namun akhirnya, kami berjaya mengumpul 60 orang Helwa. Ya Allah, kehadiran yang bermakna. Alhamdulillah.

Program dimulakan dengan ucapan Pn. Latifah selaku ketua Helwa Wilayah dan ucap utama oleh Tuan Ahmad Kamal berkenaan Pertanian Bandar dan Alam Sekitar. Beliau menekankan tentang kepentingan kaum Helwa dalam membangunkan industri pertanian. Juaga peranan kaum hawa dalam memdidik anak-anak dalam mempraktikkan baja oganik. Beliau juga memberi penerangan bagaimana membuat sendiri baja organik dari bahan-bahan buangan sisa rumah.


Kemudian kami dipecahkan mengikut kepada beberapa kumpulan untuk merangka beberapa program sepanjang tahun. Setelah sessi pembentanagn dan solat zuhur, majlis bersurai.

Buat semua Helwa yang menjayakan program, terima kasih. Jambangan bunga ini untuk anda.

Friday, February 26, 2010

Selamat menyambut Maulidur Rasul

Jumaat yang mulia. Cuaca tenang. Banyak yang perlu dilakukan hari ini.

Pagi

Perjumpaan terakhir sebelum program minggu depan.

Petang
Menziarah Am dan menjemput Helwa-helwa ke program minggu depan. Hati berdebar-debar menanti kehadiran untuk program tersebut.

Ohh..hari ini Maulidur Rasul..

Ya Rasulullah,
Kami sangat terhutang budi,
Kami rindu untuk bertemumu,

Ya Rasulullah,
Terima kasih,
mengenalkan kami dengan iman dan islam.

Sunday, February 21, 2010

Manisnya ukhuwwah

Petang Sabtu, saya memandu ke Sri Al-Huda. Nawaitu membincangkan perjalan progam pada 6 Mar 2010. Sementara menunggu sahabat-sahabat lain, saya sempat membaca bahan untuk usrah hari Isnin. bab 12 dari kItab Riyadhus-Salihin. Bbab ini membincangkan untuk menghimpunkan segala kebaikan sebagai bekalan di sana.

Kemudian, satu persatu sahabat tiba. Paling tak disangka, petang yang syahdu ini saya dipertemukan dengan Puan Rohani Mohamad. Antara orang-orang terawal yang saya temui ketika belajar menjadi aktivis masyarakat. Lama kami tidak bertemu. Seingat saya, kali terakhir bertemu, ketika saya masih lagi bergelar pelajar.


Kami berjemaah maghrib dan bersama-sama mengikuti usrah malam itu yang banyak menyentuh persoalah tauhid. Juga sedikit penerangan dari wakil rumah anak yatim Takbai(AYATA.) Antara yang menyentuh minda dan naluri tentang beruntungnya kita dilahir dan dibesarkan di Malaysia berbanding mereka yang berjerih di bumi sendiri.

Monday, January 25, 2010

Mujahadah Melawan Hawa Nafsu...


Alhamdulillah. Saya berjaya juga ke usrah. Aktiviti yang telah lama saya tinggalkan. Terubat seketika kerinduaan.


Saya tiba ke rumah YDP sebaik sahaja laungan azan Isya'. Kami solat isya' berjemaah diikuti bacaan al-Mathurat. Pengisian jasmani dan pengisian rohani. Bertepatan dengan perbincangan usrah malam ini. Kupasan kitab Riyadus-Salihin oleh Ustaz Azman.

Apa yang terlekat dihati- suatu pesanan Nabi, Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati kita. Pbila kita datang kepadanya dengan berjalan, Allah datang dengan berlari.

Begitulah kalau dianalogikan dengan saya. Setelah lama beruzlah, malam ini saya diberi sedikit kekuatan. Saya bermohon agar terus diberi kekuatan. Demi mendapat keredhaanMu Ya Allah. Amin.

Sunday, January 17, 2010

Meneruskan Kesinambungan Perjuangan Helwa.


Pagi Ahad yang cerah. Saya memandu dari KElana Jaya ke Gombak dengan ditemani gemersik suara dari Opick. Saya tiba seawal jam 8 pagi di SRI Al-Huda, Gombak. Majlis ini anjuran HELWA WIlayah. Masa senggang selama sejam saya penuhi dengan membaca buku TIp- tip Cemerlang dari Al-Quran.

Pengisian pagi ini oleh Ustazah Hazlina. Sudah lama tidak mendengar dan mengikuti program bersamanya.

Pabila bercakap tentang Helwa, kita tercari -cari model yang patut dijadikan ikutan. Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, wanita itu adalah isteri kesayangan Rasulullah S.a.w iaitu Syaidatina Khadijah Al-Khuwailid. Inilah wanita ikutan sepanjang zaman. ( Saya teringat buku yang belum sempat saya habiskan di rumah).

Antara ciri-ciri kecemerlangan Beliau:
1. Tarbiyyah Akidah
Sebelum beliau meminang Muhamad, beliaua telah dipinang Saudagar hebat Muawiyah bin Abu Sufyan. Tetapi kerana imannya pada Allah, beliau memilih Muhamad yang jujur dan amanah.

2. Tarbiyyah Akliah- pemikiran yang berdasarkan al-Quran dan al-sunnah

3. Tarbiyyah aklakiayyah- Terbahagi kepada dua. Akhlak zahir dan batin. Akhlak batin seperti sabar dan ikhlas serta meletakkan pergantungan hanya kepada Allah.

4. Tarbiyyah Riyadiyyah. Ini yang sering kita lupakan sedangkan kita selalu mendengar pepatah "Akal yang sihat datang dari badan yang Sihat.

Program ini juga bertujuan merapatkan ukhuwwah.

Saturday, January 9, 2010

Bengkel Perancangan Strategik PPW


Pagi yang damai. Kami bersama beberapa delegasi dari Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah berhimpun dalam merangka satu pelan dan modus operandi PPW. Kami bertukar-tukar pandangan dalam majlis yang agak santai. Inilah juga ruang dan peluang untuk bertanya khabar dan merapatkan ukhuwwah.

Sunday, July 26, 2009

Darwa, Anjung Berkat dan Kompleks PKNS

Sabtu (25 Julai 2009)


Satu
Saya tiba agak lambat di Darwa. Ada beberapa peristiwa berlaku sepanjang dua minggu saya tidak ke sana. A telah selamat melahirkan anak lelaki. Kejadian yang hampir serupa dilalui dengan Y. Berbeza suasana dan keadaan. Jika Y, anaknya diberi pada keluarga yang memerlukan tetapi keluarganya masih mahu menjaganya walaupun sedikit lambat. Tetapi, anak A masih bersamanya tetapi A tidak dijaga oleh keluarganya sendiri. Saya terkedu. Apa lagi kata yang boleh dizahirkan. Saya juga berkenalan dengan penghuni baru, W bersama anak kecilnya S.

Dua

Saya dan Hidayah kemudian ke Anjung Berkat. Menyiapkan laporan Aktiviti Helwa untuk muktamar yang akan berlangsung minggu depan.

Tiga

Kami kemudian ke Kompleks PKNS Shah Alam. Kami mengagihkan pamphlet "Forum Bicara Ummah" yang akan berlangsung Jumaat malam di Masjid Negeri. Kali ini kami mengedar pamphlet tersebut dari kereta ke kereta di tempat letak kereta di Kompleks PKNS.

Kami juga meninjau-ninjau cenderamata untuk panelis Forum. Namun, sempat singgah di Pesta Buku Selangor. Selepas bersiar-siar dan membeli dua buah buku di PKNS, kami memutuskan mencari cenderamata di Mydin, S18.

Empat

Selepas solat maghrib, kami ke Mydin. Alhamdulillah, apa yang dicari kami temui di sini. Makan malam di Sekesyen 19 sebelum bertolak ke Darwa. Saya tiba ke Darwa jam 1o.45 malam.

Sabtu yang panjang dan memenatkan namun tetap gembira. Pelbagai perkara telah saya langsaikan pada hari ini.

Tuesday, June 23, 2009

Jalan Nan Terbentang



Jalan nan terbentang
Penuh onak dan duri
Jua kerikil tajam

Acapkali aku tersungkur
Luka, berdarah
Dalam kepayahan
Bangkit kembali melangkah

Tidak mudah
Namun terpaksa akur
Begitu sunnatullah



Friday, June 19, 2009

Jerubu di hati.

Pandangan kabur. Nampak mendung tetapi bila keluar rupanya panas membahang. Membakar muka dan anggota badan yang tak terlindung oleh pakaian. Rupanya jerubu sedang melanda ibu kota. Jerubu di luar. Jerubu juga di hati saya.


Segalanya menghimpit fikiran, emosi dan tumpuan. Kerja-kerja asasi yang saban hari minta dilunasi. Ditambah dengan warna-warni Darwa. Juga taraf kesihatan yang turun naik. Segalanya minta dilayan dengan adil dan saksama.


Saya hanya manusia biasa. Saban hari saya mendidik hati agar bersabar. Bersabar dalam meladeni penghuni Darwa yang memang bermasalah. Namun, darjah kesabaran semakin lama semakin menurun. Saya bertahan. Pujuk hati. Tangani mereka dengan hikmah.



Wahai adik-adik,



Kami tak minta dibalas. Tak mengharapkan penghargaan. Namun, Janganlah sampai kekurangan dan ketidaksempurnaan itu dijaja ke seluruh pelusuk alam. Memang kami akui, Darwa penuh dengan kekurangan dan ketidaksempurnaan. Darwa masih bertatih. Masih dalam segala kepayahan namun kami cuba bagi yang terbaik. Darwa takkan sama dengan rumah ayahbonda yang senantiasa mendamaikan hati dan menyejukkan jiwa. Begitu juga, pengurus atau para sukarelawan yang datang, tak dapat dibandingkan dengan pujukan dan layanan dari keluarga tercinta. Terimalah seadanya. Kalian pasti tahu, kenapa kalian di Darwa. Untuk apa kalian menghuni darwa. Semuanya kerana harapan keluarga yang mahukan kalian BERUBAH. Benar, PERUBAHAN itu bukan mudah tapi bukanlah sesuatu yang sukar dan mustahil untuk dilakukan.

Monday, June 15, 2009

Sempadan Yang memisahkan..

13 Jun 2009 (Sabtu)

Saya tidak sempat ke Darwa minggu ini. Ada berita gembira yang saya terima. Alhamdulillah, Y telah selamat melahirkan bayi lelaki pada 10 Jun 2009. Namun, benarlah janji Allah. Kita hanya merancang tetapi Allah itu Perencana yang Maha Agung. Bayi itu diserahkan oleh keluarga Y kepada keluarga yang lebih memerlukan. Harapan dan doa kami semoga bayi Y mampu menjadi anak yang soleh serta tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh ibu dan bapanya.

Begitu jua harapan dan doa kami buat Y, semoga beliau belajar dari kesilapan ini. Mengerti bahawa hidup ini perlu ada peraturannya. Peraturan itu bukan menyusahkan tetapi sebagai sempadan. Sempadan yang memisahkan antara yang haq dan yang batil.

Menanti kehadiran tetamu istimewa

7 Jun 2009 (Ahad)

Jam 11 pagi, kami bertolak ke HTAR. Niatnya menghantar barang-barang Y dan menziarahinya. Namun, hasrat hati tidak kesampaian. Niat kami terhalang kerana bukan masa melawat. Kami begegas pulang ke Darwa. Ada tetamu menanti.

Kami tiba di Darwa disambut senyuman oleh Puan Bi (pegawai khas YB Shuhaimi). Beliau dalam perjalanan ke kenduri kahwin tetapi sempat singgah meluangkan waktu sambil membawa barang-barang dapur untuk Darwa. Kami bercerita panjang. Dari kisah Darwa hingga isu semasa. Terima kasih. Hanya itu yang mampu kami lafazkan. Semoga Allah permudahkan urusan tuan dan puan yang budiman.

Monday, June 8, 2009

Inilah caranya Allah mendidik Kami..

6 Jun 2009 (Sabtu)

Cuti sekolah memang sinonim dengan kenduri kahwin. Hari ini saya meraikan Anis dan pasangannya di Taman Maluri. Saya tiba di rumah jam 5. Masih kepenatan. Saya cuba menelefon Zalina sekadar memberitahunya saya hanya akan ke Darwa pagi-pagi esok. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapat tahu yang Y telah dihantar ke HTAR kerana masa melahirkan telah tiba. Lagi terkejut pabila diberitahu yang y tidak membawa barang keperluan untuk bayinya. Keluarganya telah diberitahu tapi semuanya di kampung halaman. Tiada sanak saudara yang berada di Kuala Lumpur.
Tanpa berlengah saya memandu ke Darwa. Mengambil Zalina dirumahnya serta menjenguk Darwa seketika. Kemudian mencongak destinasi untuk membeli barangan keperluan bayi Y. Selepas maghrib, kami memutuskan ke Mydin USJ. Namun dalam kekalutan itu, kami masih sempat bersantai menikmati makan malam. Alhamdulillah.
Pencarian bermula. Terasa agak sukar. Maklumlah kami tiada pengalaman membeli barangan keperluan bayi. Kadang-kala talian hayat digunakan, bertanya itu ini dari yang arif. Seketika saya termenung, mencongak dan menghitung betapa barang-barang yang dicari agak mahal harganya. Kami pulang dengan barangan penuh satu troli. Jam melewati 10.30 malam.
Sepanjang perjalanan, pelbagai yang kami bincangkan. Pengajaran dan ikhtibar yang amat mahal nilainya. Betapa berharganya maruah dan kehormatan diri. Betapa mahalnya sebuah kepercayaan. Betapa sucinya ikatan pernikahan yang sah. Semuanya saling melengkapi.

Tuesday, May 26, 2009

Cabaran Pertama

25 May 2009 (Isnin)
Cabaran paling besar buat saya adalah bermusyawarah dan berusrah merentas pelusuk negeri di waktu malam. Ini tugasan pertama. Bermusyawarah di Anjung Berkat. Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Saya bersama Zalina bertolak ke Anjung berkat selepas bekerja dari Gombak. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Kami tiba di Anjung Berkat sebelum maghrib. Malah masih sempat menjamah bihun sup untuk makan malam.
Jam 10 malam saya mengundurkan diri. Kami tiba di rumah jam 11.15 malam. Terima kasih YA Allah. Memberi kami kesihatan, kekuatan dan mempermudahkan urusan kami.

Monday, May 25, 2009

Hari yang indah

24 Mei 2009 (Ahad)

Saya memandu diawal pagi. Singgah sebentar di rumah Kak Faiz di Kemensah Heights untuk mengambil barang untuk Darwa. Kemudian melanjutkan perjalanan ke Darwa. Dua minggu berlalu. Pelbagai perkara berlaku di Darwa. Hari ini F beserta bayi comelnya akan keluar dari Darwa. Ada juga seorang penghuni baru, Kak L bersama anak kecilnya Azwan. Serta perletakan jawatan pengurusnya.
Kes Kak L sama seperti Kak F, kesusahan hidup menyebabkan suaminya yang merupakan seorang mualaf terpaksa pulang kepangkuan keluarga yang bukan islam. Di sini berlakulah pertembungan nilai antara menantu dan mertua. Akibatnya dia terusir jauh. Ketika samapai ke Darwa 18 Mei yang lalu, beliau keletihan. Menurutnya berhari-hari beliau tidak menjamah makanan. Memang saya tidak mempu berkata apa. Lantas saya teringat sebahagian maksud surah Ar-Rahman. "Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan?" Bersyukurlah kita, sekurang-kurangnya kita ada makanan untuk dimakan dan rumah untuk berlindung dari hujan dan panas.
Keluarga Y datang menzirahinya. Kami berbincang panjang. Tentang realiti dan harapan. Tentang Hikmah Kejadian. Cuba melihat dan merenung kehidupan dalam perpektif yang berbeza. Mungkin inilah caranya Allah menolong kita mendekatkan diri padaNYA. Saya diberi kesempatan. Belajar dari pengalaman. Mengambil ikhtibar dari penghuni-penghuni Darwa secara tidak langsung.
Senja menjenguk diri. Saya terpaksa mengundur diri berangkat pulang ke Gombak. Ada amanah lain bakal menanti.

Wednesday, May 13, 2009

Pagi Minggu yang Manis...

10 May 2009 (Ahad)

Alhamdulillah...pagi ni kami semua berkumpul dan bersolat subuh berjemaah dengan berimamamahkan Ustazah. Kemudian kami beramai-ramai membaca surah Yasin. Kemudian kami sempat bersarapan bersama-sama sebelum Kak Hayad berlepas melunaskan tanggungjawabnya sebagai penuntut. Alangkah indahnya ukhuwwah ini. Manisnya menusuk hati.