Showing posts with label tanahair. Show all posts
Showing posts with label tanahair. Show all posts

Friday, August 22, 2008

Kitakah Yang Bersalah?

Sabtu lepas sehari suntuk telinga menadah ‘kebaikan dan kemurniaan hati’ Orang Melayu amnya dan pemimipin Melayu khasnya dalam seminar di Seremban. Hari ini, semasa sesi dengan Kastam Diraja Malaysia tentang industri huluan petroleum, dada diasak dengan cerita “kebaikan dan kemurahan hati” Orang Melayu. Temanya sama tapi jalan cerita dan wataknya berbeza. Semuanya isu Kedaulatan Negara. Begitu senang mereka memperdagangkan kedaulatan negara atas nama “Bilateral Agreement” dan kemudian bila dibawa ketengah, jawapannya amat mudah, situasi menang-menang. Begitu mudah mereka menodai kepercayaan rakyat marhaen. Begitu mudah mereka membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Kitakah yang bersalah? Tidak tahu memilih pemimpin atau pemimpin yang terlalu tamak, sanggup mengadaikan tanah air demi memenuhi kantung sendiri.

Friday, June 6, 2008

Minyak Naik Lagi...

Apa nak kata! Harga minyak dunia meningkat maka minyak Malaysia pun mesti naik mendadak. Bukan 10 sen tapi 78 sen. Aduh! dari RM1.92 sen seliter untuk petrol mendadak naik RM2.70. Semasa berbaris panjang ketika menunggu giliran mengisi penuh tangki kereta, saya sempat menghitung perbelanjaan minyak bulan ini dan bulan-bulan seterusnya. Dari RM100 kepada RM 150 sebulan. Aduh! Jumlah yang bukan sedikit. Ini diikuti kesan kenaikan harga barang lain kesan daripada kenaikan harga minyak.
Dalam kita mengalami krisis harga beras, ditambah kenaikan harga minyak yang mendadak. Saya kira rakyat terbanyak mengalami kesan yang paling dahsyat. Ini bukan lagi ribut taufan tapi tsunami. Sebelum ni tsunami buat pemimpin tapi kali ini tsunami buat rakyat marhaen. Ya Allah! Saya terbayangkan wajah-wajah sayu keluarga terdekat dan orang-orang kampung yang rata-rata berpendapatan sederhana. Betapa peritnya kehidupan.

Saturday, May 3, 2008

Masih belum bertemu jawapan

Berkelana dari Gombak ke Kelang dengan menaiki LRT dan komuter pada cuti Hari Pekerja membolehkan saya menghabiskan "Dewan Masyarakat" bulan Mei 2008. Isunya masih berlegar tentang analisa PRU 12. Pelbagai persoalan berlegar dalam benak saya. Apakah dengan tidak memberi mandat kepada parti pemerintah kita sebenarnya kehilangan ketuanan Melayu? Apakah maksud ketuanan Melayu itu? Apakah selama ini pihak pemerintah benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu? Mendaulatkan Bahasa Melayu? Tergadaikah nanti tanah air tercinta ini sebagaimana lagu "WARISAN" yang saya sering nyanyikan sejak zaman sekolah rendah? Apakah nasib orang Melayu nanti, apakah akan jadi pelarian di bumi sendiri? Banyaknya soalan....tak terzahir dengan kata-kata. Tiba-tiba dada saya sesak, sebak...

"Ya Allah, Jangan kau azab kami sepertimana kaum yang terdahulu..."