Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Thursday, January 5, 2012

Ceritera Cinta


Semalam, saya bertemu dengan seorang teman lama. Berkongsi cerita tentang kehidupan yang telah dilalui dan sama-sama meniti harapan agar kehidupan akan datang terus ceria. Ceritera cintanya sangat dramatik. Membuatkan saya berfikir panjang. Mensyukuri anugerah Ilahi. Mengajar agar lebih menghargai seorang Dia yang tak lama lagi akan datang dalam hidup saya.

Banyak yang berlegar dalam fikiran. Tentang ujian Allah terhadap kita di sini. Allah tidak menguji sesuatu yang di luar kesanggupan kita. Tentang doa kita saban sujud dan munajat supaya tidak membebani kita dengan ujian yang tidak kita sanggup memikulnya. Tentang nikmat manakah yang selalu kita dustai. Tentang kita menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik untuk kita, dan kita membenci sesuatu sedangkan itulah yang terbaik buat kita.

Doa saya biarlah kehidupan kami nanti seperti gambar di atas, senantiasa tenang dan baik-baik saja. Amin.

Wednesday, November 3, 2010

Akhirnya..kebenaran tetap menang.


Saya sentiasa percaya dan menyakini, kebenaran walau dalam apa jua bentuk PASTI akan menampakkan dirinya. Ini kisah kehidupan dalam mencari sebuah kebahagian yang panjang. Dalam apa jua perbuatan sesama insan, kejujuran dan keikhlasan itulah pegangan. Jika salah satu tiada, tak bermakna sebuah ikatan.

Wahai teman, berpadalah dalam kehidupan. kita sering kemilau dengan cantiknya permata, namun kita kadang-kala boleh tertipu dalam membezakannya dengan kaca. Sungguh! Seringkali kita terkhilaf, kaca pada tangan orang itu lebih indah dan berharga dari permata yang saban hari dalam genggaman kita.

Wednesday, January 27, 2010

Diam itu Lebih Baik...


Kita selalu mendengar atau membaca sebaris ayat ini dituturkan. Namun, kita jarang mengaplikasikannya dalam kehidupan. Hari ini dalam satu pertemuan saya hanya mendiamkan diri. Cuba mempraktikkan kata-kata bahawa DIAM ITU LEBIH BAIK DARI BERKATA-KATA.

Ternyata ia berhasil. Saya hanya mendengar dan cuba menganalisa setiap butir bicara yang diperkatakan. Betullah, lagi banyak kita berkata-kata, lagi banyak kelemahan diri kita akan tonjolkan.

Tuesday, December 15, 2009

Fire Drill 2009

"Fire Drill" Menara Citibank. Sayalah antara yang menggagalkannya. Saban tahun sejak 2003, mengambilkira masalah kesihatan (alasan) dan kerja yang berlambak, kami menuruni tingkat 28 dengan lif. Ha..ha..ha...ha...

Monday, April 27, 2009

Dialah primadona itu

Dia dilahirkan suci
Ibubapanya mencorakkan hindu
Namun tak lama
Dia kembali kepada agama fitrah

Perjalanan hidupnya
Tak seindah diimpikan
Penderaan demi penderaan
Ujian demi ujian
Dilalui dengan tabah
Demi mempertahankan kalimah suci

Dia bukanlah barang komoditi
Tapi itulah realiti
Akhirnya dia melahirkan
Anak sekecil itu
Turut menjadi mangsa
Didera dan terbunuh

Kematiannya
Turut mematikan jiwanya
Terlantar tidak berdaya

Berdekad lamanya
Belajar melupakan segalanya
Cara tersendiri

Senyuman terukir
Hatinya
Hanya Allah Maha Mengetahui

Darul Wardah

Thursday, April 23, 2009

Terima kasih Ya Allah..

Terima kasih Ya Allah, atas nikmat rezeki yang kau kurniakan. Jadikan aku sebahagian daripada hambaMU yang bersyukur serta tidak lokek untuk memberi kembali.

Tuesday, March 10, 2009

A Litre of Tears

Drama Jepun sebelas episod ini pernah ditayangkan di stesen tivi tempatan tetapi saya tidak berpeluang menontonnya. Lantas saya mencari DVD. Ia kisah benar bagaimana seorang gadis bijak yang berusia 15 tahun didignosis penyakit "Spinocerebellar Degeneration Disease" yang menyebabkan ototnya tidak berfungsi. ketika pertama kali beliau disahkan mengidap penyakit yang tidak diketahui punca dan tiada penawar, doktor mencadangkan agar beliau menulis apa sahaja mengenai perubahan-perubahan yang berlaku terhadapnya.
Dalam masa yang begitu pantas, penyakitnya begitu cepat merebak. Satu persatu nikmat ditarik. Akhirnya beliau terlantar. Namun, beliau sangat optimis melawan penyakitnya. Begitu juga keluarganya. Mereka sekeluarga begitu tabah mendepani ujian itu. Beliau sedih kerana tidak mampu membantu manusia lain. Namun, ibunya telah menyarankan agar beliau meneruskan catatan hariannya. Dengan bantuan gurunya, ibunya telah menerbitkan catatan-catatan kehidupannya dan ia memberi inspirasi kepada orang lain. Begitu kesudahan cerita ini.
Ini cerita sebuah ketabahan, kekeluargaan serta persahabatan. Selesai menonton DVD ini pelbagai pertanyaan terlontar di minda. Andai kata saya diuji seperti Aya adakah saya mampu melaluinya dengan tabah? Walaupun pada mula, beliau mempersoalkan takdirnya tapi akhirnya beliau akur. Beliau harus melakukan sesuatu yang terbaik setiap hari kerana beliau tidak tahu apa lagi yang akan berlaku terhadapnya. Nikmat mana lagi yang akan ditarik balik?
Begitu juga kita. Sepatutnya melakukan yang terbaik setiap hari kerana kita tak pasti apakah kita yang sihat walafiat hari ini masih mampu mengulangi perkara yang sama keesokan harinya.

Wednesday, July 23, 2008

Pohon yang rendang dan lebat berbuah

Alangkah baiknya kalau saya sebatang pohon rendang yang senantiasa lebat berbuah. Andainya ada tangan-tangan nakal yang melontar batu atau kayu, tetap memberi mereka buah yang enak dimakan serta dapat mengenyangkan perut.