Sunday, August 24, 2008

Tuan Rejab F.I.


Saya membesar bersama karya-karyanya. Saya tidak pernah bertemu muka dengan beliau, tetapi hari ini, Allah memberi saya rezeki itu. Dipertemukan dengan beliau yang saya uliti tulisan-tulisannya sejak sekolah rendah. Rasa begitu terharu malah dalam kesibukannya masih sempat menandatangani satu helaian diari saya.
(Terima kasih buat Amy yang bersusah payah mendapatkan gambar ini dari Tuan Arif)

Friday, August 22, 2008

Kitakah Yang Bersalah?

Sabtu lepas sehari suntuk telinga menadah ‘kebaikan dan kemurniaan hati’ Orang Melayu amnya dan pemimipin Melayu khasnya dalam seminar di Seremban. Hari ini, semasa sesi dengan Kastam Diraja Malaysia tentang industri huluan petroleum, dada diasak dengan cerita “kebaikan dan kemurahan hati” Orang Melayu. Temanya sama tapi jalan cerita dan wataknya berbeza. Semuanya isu Kedaulatan Negara. Begitu senang mereka memperdagangkan kedaulatan negara atas nama “Bilateral Agreement” dan kemudian bila dibawa ketengah, jawapannya amat mudah, situasi menang-menang. Begitu mudah mereka menodai kepercayaan rakyat marhaen. Begitu mudah mereka membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Kitakah yang bersalah? Tidak tahu memilih pemimpin atau pemimpin yang terlalu tamak, sanggup mengadaikan tanah air demi memenuhi kantung sendiri.

Friday, August 8, 2008

Bowling

Saya tak pernah bermain bowling. Namun, permintaan teman untuk memeriahkan karnival sukan antara jabatan saya turutkan. Sekadar suka-suka. Menghilangkan stress setelah penat bekerja. Keputusannya, taklah mengecewakan walaupun kadang-kala bola tu melencong ke kanan atau ke kiri.

Wednesday, July 23, 2008

Pohon yang rendang dan lebat berbuah

Alangkah baiknya kalau saya sebatang pohon rendang yang senantiasa lebat berbuah. Andainya ada tangan-tangan nakal yang melontar batu atau kayu, tetap memberi mereka buah yang enak dimakan serta dapat mengenyangkan perut.

Tuesday, July 22, 2008

Lima

Serasa macam semalam saya melangkahkan kaki memasuki ruang pejabat ini. Diperkenalkan kepada satu persatu staf yang ada di situ. Pejam celik pejam celik begitu cepat masa berlalu. Hari ini genap lima tahun saya di sini. Banyak yang dapat saya pelajari. Belajar tentang tanggungjawab. Belajar tentang hidup dan kehidupan.

Friday, July 11, 2008

Perancangan kita..Perancangan Allah

Minggu ini sepatutnya saya menyambung kerja-kerja yang tertangguh minggu lepas. Sebaik tiba di pejabat pagi Isnin, dikejutkan dengan panggilan telefon dari penyelia supaya menggantikan tempat rakan setugas yang mengambil cuti kecemasan. Tiga hari menggantikannya cukup memenatkan. Bertambah penat melihat kerja sendiri yang tak dapat disiapkan seperti apa yang dirancang.
Dalam kepayahan melunasi tanggungjawab, saya menginsafi betapa kerdilnya diri. Ya Allah, betapa hebatnya kuasamu. Betapa kita merancang, tapi kalau Allah tak permudahkan, tak akan terlaksana. Betullah..perancangan Allah itu lebih tepat buat kita hambanya.

Thursday, July 3, 2008

Lelah

Akhirnya..bulan Jun yang memenatkan itu tiba ke penghujungnya. Saya memang kelelahan, lebih-lebih lagi meladeni dua kumpulan auditor serentak. Permintaannya rencam. Lebih-lebih lagi bertindak sebagai perantara dengan pihak pengurusan. Betul. Saya terpaksa kesampingkan kerja-kerja asasi saya. Setiap hari balik lambat dan adakalanya hujung minggu berkampung di pejabat. Banyak benda yang saya korbankan. Kesihatan turut terganggu. Majlis ilmu banyak yang saya abaikan. Ahhh...terasa sangat rugi..

Bukan itu sahaja, sebagai orang islam kita sememangnya senantiasa diuji..lepas satu, satu ujian. Kejutan demi kejutan. Semuanya menginsafkan. Apa yang pasti Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Bulan Julai ini saya ingin merehatkan minda sebaik mungkin...bercuti, melakukan apa sahaja yang terbaik dan pastinya Ogos atau September nanti ada tugasan baru yang bakal menanti...