Tuesday, February 10, 2009

Catatan buat seorang teman lama...

Teman,

Izinkan aku bersendirian
Mencari kekuatan diri
membetulkan kekhilafan diri
mencari jati diri
menuju kematangan

Friday, February 6, 2009

Dewan Sastera Dec 08

Kulit depan majalah ini memaparkan pelbagai lukisan variasi eksperesi wajah dalam pelbagai keadaan oleh Tuan Nizar bin Kamal Arifin. Ada wajah girang. Wajah sedih. wajah suka duka kehidupan. Tanpa kita sedari, itulah wajah-wajah kita sebenarnya.
Saya belajar satu istilah baru- filologi (Philology). Menurut kamus Oxford Fajar English-Malay (2001) science or study of the development of language of a particular language; sains atau kajian mengenai perkembangan bahasa atau bahasa tertentu. Tokoh utama yang dikemukakan adalah pemenang anugerah Sastera MASTERA Datuk Dr. Siti Hawa Salleh. Beliau banyak mengkaji hikayat dari dulu hingga sekarang. Dalam artikel berkenaan juga, saya mendapat ilmu baru. Sebenarnya alam Melayu mempunyai pelbagai hikayat. Hanya beberapa yang saya pernah dengar. Antaranya Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Lemang Lebar Daun. Selebihnya, dari pembacaan itu baru saya ketemu nama-nama naskhah klasik tersebut. Tiba-tiba hati teruja. Mahu memiliki naskhah klasik tersebut. Satu pun memadai. Buat koleksi peribadi.
Terdapat juga dua artikel yang mengenang dua tokoh sasterawan negara. Kedua-duanya telah pergi menemui penciptanya. Arwah A. Samad Ismail dan Shaharom Hussin. Arwah A. Samad Ismail pernah saya baca karya-karya besarnya seperti Tembok Tidak Tinggi dan Kail Panjang Sejengkal. Namun, sayang sekali, saya tidak berkesempatan membaca karya-karya sejarawan dan sasterawan Shaharom Hussin. Mungkin selepas ini, saya akan mencari karya-karya tersebut.
Dalam satu resensi buku antologi puisi Salasilah karya penyair Zurinah Hassan, saya mengetahui bahawa Raden Galoh Cendera KIrana betul-betul wujud. Selama ini, saya beranggapan nama itu sekadar watak utama dalam Hikayat Panji Semirang. Aduh! betapa kerdilnya saya. Banyak sungguh sejarah dan budaya yang tidak saya ketahui. Terasa malu mengaku melayu muslim. Insyaallah, akan saya miliki antologi puisi yang bersahaja tapi menusuk jiwa. Seperti yang tercatat dalam resensi tersebut. "Melaka itu bermula dengan pokok melaka tetapi berakhir dengan seulas nangka." Sungguh tragis! Kisah kebobrokan raja-raja Melayu yang tertipu dengan kuasa.
Di dalamnya ada beberapa cerpen, yang paling membekas karangan Siti Hajar Mohd. Zaki yang mengisahkan perjuangan seorang wanita yang menuntut kesamarataan dengan lelaki waima menjadi imam dalam solat. Sungguh kasihan tapi bila diajak berperang menentang musuh...heii..saya takut darah...itulah kelemahan. Satu teguran yang sangat buat halus wanita. Lagi kisah hijab hasil nukilan Kamariah Kamarudin. Kisah yang banyak berkisah bagaimana meletakkan wanita di tempat yang sepatutnya. Antaranya melalui tuntutan bertudung atau hijab. Sungguh hijab itu satu undang-undang bukan pilihan. Juga buah tangan Pak Hamka menerusi cerpen Injik Utik. Saya tak pasti makna "Injik", mungkin cerpen dalam ejaan lama itu bermaksud nenek Utik. Satu kisah yang memilukan. Kisah kehidupan perempuan yang hanya berpeluang menyarung baju pengantin sebagai cita-cita yang tidak kesampaian. Impian itu tertunai dengan sekadar sebuah lakonan bagi memuaskan hati sendiri yang dibeli dengan duit tabungannya. Namun, akhirnya beliau sedar, kain itu nanti akan dijadikan kain kapan buat pakaian terakhir menjelang keberangkatan ke negeri abadi.
Apa yang paling saya suka, bahagian belakang Dewan Sastera yang memuatkan pantun Anak Dagang karya Siti Hawa Salleh dalam tulisan jawi. Begitu bersahaja tapi itulah cara orang dulu-dulu menasihati kita. Lembut tapi membekas di kalbu.

Thursday, February 5, 2009

Dimanakan Kucari Ganti

Hari ini kira-kira 22 tahun lalu, nenda kesayangan kami pergi menemui penciptanya. Sungguh! Saya merindui wajahnya yang tenang dan juga sikapnya yang penyabar.

Wednesday, February 4, 2009

Hikayat Panji Semirang

Sejak kecil saya menguliti buku ini. Saya mengulang-ulang membacanya. Saya sangat menyayanginya. Walaupun saya tidak memahami sangat kandungannya. Saya masih terbayang-bayang buku milik Pakcik saya itu. Kulitnya dibalut dengan pembalut biru dan lembaran-lembaran kertasnya sudah kuning. Tulisannya halus-halus.

Saya masih ingat. Berbelas tahun dulu. Naskhah itulah yang turut memyumbang markah dalam Bahasa Melayu ketika SPM. Namun, buku comel itu telah tiada. Jenuh saya mencarinya. Di segenap penjuru rumah. Kemudian, dalam kepayahan saya menerimanya. Buku itu telah tiada. Saya terfikir mahu mencarinya. Tapi di mana?

Saturday, January 31, 2009

Hari ini saya dilahirkan. Buat pertama kalinya saya menyambutnya di samping seluruh ahli keluarga. Hari ini juga kami meraikan kenduri kesyukuran sempena perkahwinan adik ketiga saya.





Ya Allah. Semoga umur yang masih tersisa ini diberkatiMU.

Sunday, January 25, 2009

Manzil Resam Uthmani

Saya beberapa kali memegang buku ini semasa ke Bangunan Tabung Haji selepas makan tengahari. Tergerak hati membelinya atas saranan Ustaz Zahazan Mohamed lewat kuliah tafsir yang saya dengar setiap pagi ketika bersiap-siap ke tempat kerja. Entah kenapa hati begitu takut untuk membelinya. Takut tak mampu mengamalkannya.
Akhirnya kitab comel yang mengandungi doa-doa ini saya miliki. Ia sempena cenderahati pernikahan Harmizi dan Za'emah. Kitab ini diberi bersama uncang kecil yang comel dan dua keping coklat Toblerone. Hati riang tak terkira. Riang kerana adik saya menamatkan zaman bujangnya. Riang kerana mendapat kitab ini. Semoga pernikahan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Friday, January 16, 2009

Pilihan

Saya diberi dua pilihan. Pilihan pertama berada di pejabat yang berhawa dingin. Masih di kuala yang berlumpur. Bekerja secara rasminya dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Bekerja dari Isnin hingga Jumaat. Sesekali bekerja di luar. Pendek kata, segalanya selesa. Ketua sentiasa ada. Boleh memberi tunjuk ajar dan bimbingan.
Pilihan kedua berada di lapangan. Bekerja tujuh hari seminggu. Isnin hingga Ahad. Nun jauh di negeri serambi Mekah. Tetapi dekat dengan kampung halaman. Boleh berulang-alik setiap hari kalau berkemampuan. Kerja bermula selepas solat subuh dan akan berakhir menjelang solat Isya'. Ketua nun jauh di Kuala nan berlumpur. Segala keputusan ditentukan sendiri dengan bimbingannya. Sentiasa berhubungan dengan manusia lain.
Saya tidak tahu memilih sebenarnya. Di saat orang lain tiada pilihan, saya diberi dua pilihan. Kedua-duanya ada pro dan kontra. Tidak bersyukurkah saya? Namun, apa yang pasti. Saya senantiasa berdoa dan berharap. Walau di mana dan ke mana pun saya dicampak dan tercampak. Saya tetap diberi peluang meningkatkan diri. Peluang untuk berusrah dan pada masa yang sama turut menyumbang untuk masyarakat. Ya Allah! Kau permudahkan segala urusan kerja dan urusan-urusan lain.