Wednesday, March 18, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Novel ini telah beberapa kali saya baca malangnya saya tak mampu menkhatamnya. Kali ini saya benar-benar berazam mahu menghabiskan novel ini. Mahu menggali kekuatan Salsabila dalam mendepani ujian-ujian kehidupan. Ini janji saya. Sebagaimana saya menghabiskan buku tulisan John Gray...Men From Mars, Women From Venus..

Monday, March 16, 2009

Hari yang berakhir...permulaan sebuah tanggungjawab

15 Mac 2009 (Ahad)

Satu
Pagi yang ceria. Saya memandu tenang di awal pagi menuju ke rumah Ustazah Hazlina dan kemudian kami akan ke Pulau Indah. Niatnya mahu meraikan pasangan Nurul Hasanah dan pasangan yang baru menjenguk alam baru.
Dua
Mengikut perancangan awal, kami akan ke Bukit Cerakah dan kemudian Ke Hotel De Palma, Ampang memenuhi undangan wanita JIM tetapi atas sebab-sebab teknikal, saya bersendirian ke Hotel De Palma. Semasa berhenti mengisi petrol, saya terpandang SMS dari Puan Latifah. Permintaannya mudah. Minta tolong mengisi usrah di surau berhampiran rumahnya di Jalan Cochrane selepas solat isya' nanti. Saya mencongak-congak masa dan tahap diri. Aduh! Maaf, tak dapat saya langsaikan permintaan tersebut. Apatah lagi mengenangkan esok hari bekerja.
Tiga
Alhamdullillah, saya selamat tiba di Hotel De Palma, Ampang. Kali ini saya mengambil pengangkutan awam. Saya parkir kereta di Stesen LRT Terminal Putra. Menaiki LRT ke Ampang Park dan dari sana menaiki bas Srijaya. Saya tiba jam 3.30 petang. Kemudian sessi perkenalan bermula. Sambil makan-makan char keoy teow, sandwich dan ayam kampung goreng kami bertukar-tukar program. Bertukar-tukar pandangan bagaimana memperkasa ummah. Majlis berakhir jam 6 petang.
Satu hari lagi berakhir. Saya gembira dalam kepenatan. Saya dapat menunaikan satu lagi amanah. Namun, saya pasti ini baru sedikit. Permulaan kepada satu tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas.
Lalu saya terbayangkan tugas Rasulullah. Cabaran dan dugaannya. Rasanya sangat sedikit. Saya sangat malu padamu Ya Habibullah. Kekasih Allah.
Ya Allah, permudahkan semua urusanku...Jangan kau bebani aku dengan ujian yang tak dapat aku tanggung sebagaimana engkau uji umat-umat terdahulu..

Pesta Buku Jakarta, Matta Fair 09 dan Kamera baru

14 Mar 2009 (Sabtu)
Kami bercadang ke Pesta Buku Jakarta pada 3 hingga 5 Julai 2009. Saya talah menghubungi beberapa agen pelancongan dan boleh dikatakan setiap minggu tengok website MAS untuk dapatkan harga yang terbaik. Namun, senarai nama belum ada. Saya tak dapat mendaftar untuk tiket kapal terbang.
Kebetulan, hujung minggu ada MATTA Fair. Pertama kali ke Matta Fair. Saya tiba seawal jam 10.30 pagi. Orang belum ramai. Alhamdulillah, malam sebelumnya Ezat telah memberi senarai beberapa agen pelancongan yang patut saya lawati. Satu PWTC saya tawaf. Cuba mencari harga yang terbaik. Malangnya, harga yang saya dapat terkeluar dari belanjawan yang sepatutnya. Daripada 15 peserta yang memberi persetujuan awal, akhirnya tinggal 5 orang dan kerana sebab-sebab tertentu kami membatalkan hasrat tersebut.
Orang semakin ramai, kepala mula berdenyut dan perut mula berkeroncong. Tanpa saya sedar jam telah menunjukkan ke angka 4. Maknanya sudah 5 jam saya berlegar-legar di Dewan Satu yang terletak di Seberang Sungai itu. Sedikit kepenatan tapi saya rasa gembira. Gembira kerana saya mampu melaksanakan satu lagi amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Walau apa hasilnya, itu tidak penting. Apa yang penting satu amanah telah selesai.
Dalam perjalanan pulang, saya sengaja singgah di Pameran Ditigal. Niatnya mencari satu kamera yang menggunakan bateri Lithium. Kamera sekarang menggunakan Bateri AA. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat sebuah kamera Samsung beserta beberapa hadiah percuma. Antaranya "Simcard" 2G, pelindung skrin, sebuah beg untuk komputer, tuala muka dan tali yang bertulis "Samsung". Tali itu untuk "thumdrive" saya yang bersepah-sepah letaknya.
Malangnya, hasrat untuk menjenguk adik-adik yang berkhemah di Bukit Cerakah terpaksa di lupakan. Saya balik dalam hujan yang menggila setelah mengisi perut di Restoran Resepi Rahsia.

Friday, March 13, 2009

Baca dan Catat

Baca, baca, baca,
catat, catat, catat
manusia cepat lupa
apa yang dibaca

sebuah catatan
kekal selamanya

kita adalah
apa yang kita baca

Thursday, March 12, 2009

Pursuit of Happyness...


Filem Inggeris ini menceritakan tentang kisah benar Chris Gardner yang begitu gigih berusaha mencapai cita-citanya. Kisah kemelaratan hidup yang menyebabkannya berjuang untuk keluar dari kemiskinan tersebut.

Betul, tidak mudah untuk berada di puncak. Ujian demi ujian perlu dilalui. Namun, dugaan dan cabaran itu berjaya dilalui dengan tabah. Saya seakan-akan mendapat sedikit suntikan semangat. Hidup ini begitu. Walau apa dugaan melanda, kita wajib teruskan perjalanan hingga ke titik noktahnya.

Begitu janji Allah. Setiap kesusahan ada kemudahan. Setiap kesusahan ada kemudahan. Allah juga tidak mengubah nasib sesuatu kaum hingga kaum itu sendiri merubahnya. Mari kita pakat-pakat berdoa agar Allah memudahkan semua urusan kita di sini dan di sana.


Wednesday, March 11, 2009

OGA 2009 Datang lagi...

Sebab-sebab untuk pergi ke OGA 2009 (Oil and Gas Showcase) pada 11 hingga 13 Jun depan di Pusat persidangan Kuala Lumpur (KLCC)
1. Mendapat maklumat tentang produk
2. Boleh melihat produk dengan lebih jelas..biasanya hanya dilihat dalam katalog sahaja
3. Kumpul beg kertas
4. Kumpul buku nota, alatulis dan sebagainya
5. Kalau nasib baik, boleh dapat "thumb drive".

Tuesday, March 10, 2009

A Litre of Tears

Drama Jepun sebelas episod ini pernah ditayangkan di stesen tivi tempatan tetapi saya tidak berpeluang menontonnya. Lantas saya mencari DVD. Ia kisah benar bagaimana seorang gadis bijak yang berusia 15 tahun didignosis penyakit "Spinocerebellar Degeneration Disease" yang menyebabkan ototnya tidak berfungsi. ketika pertama kali beliau disahkan mengidap penyakit yang tidak diketahui punca dan tiada penawar, doktor mencadangkan agar beliau menulis apa sahaja mengenai perubahan-perubahan yang berlaku terhadapnya.
Dalam masa yang begitu pantas, penyakitnya begitu cepat merebak. Satu persatu nikmat ditarik. Akhirnya beliau terlantar. Namun, beliau sangat optimis melawan penyakitnya. Begitu juga keluarganya. Mereka sekeluarga begitu tabah mendepani ujian itu. Beliau sedih kerana tidak mampu membantu manusia lain. Namun, ibunya telah menyarankan agar beliau meneruskan catatan hariannya. Dengan bantuan gurunya, ibunya telah menerbitkan catatan-catatan kehidupannya dan ia memberi inspirasi kepada orang lain. Begitu kesudahan cerita ini.
Ini cerita sebuah ketabahan, kekeluargaan serta persahabatan. Selesai menonton DVD ini pelbagai pertanyaan terlontar di minda. Andai kata saya diuji seperti Aya adakah saya mampu melaluinya dengan tabah? Walaupun pada mula, beliau mempersoalkan takdirnya tapi akhirnya beliau akur. Beliau harus melakukan sesuatu yang terbaik setiap hari kerana beliau tidak tahu apa lagi yang akan berlaku terhadapnya. Nikmat mana lagi yang akan ditarik balik?
Begitu juga kita. Sepatutnya melakukan yang terbaik setiap hari kerana kita tak pasti apakah kita yang sihat walafiat hari ini masih mampu mengulangi perkara yang sama keesokan harinya.