Tuesday, May 12, 2009

9 May 2009 (Sabtu)

Satu

Seawal pagi kami bertolak ke Stadium Jugra, Banting. Mengiringi Ustazah yang akan merasmikan sukan tahunan taski ABIM Kuala Langat. Kami disambut dengan gerimis pagi.

Hati teruja melihat anak-anak kecil berbaris di dalam khemah yang telah disediakan. Walaupun hujan, acara tetap diteruskan. Acara pertama dengan perarakan anak-anak taski ke pentas utama diikuti oleh bacaan doa dan ikrar bahawanya mereka akan bermain dengan penuh semangat kesukanan. Diikuti ucapan YDP ABIM Kuala Langat, Sdra Khairudin Abas. Kemudian, ustazah merasmikan acara tahunan tersebut. Dalam ucapannya, beliau menekankan betapa pentingnya keseimbanagan jasmani, emosi, inteletual dan spiritual dalam pembangunan kendiri anak-anak.



Dua

Kemudian, kami bergegas balik. Ada lagi perkara yang perlu diselesaikan. Kami menerima lagi seorang penghuni baru. Kesnya masih sama. Tersilap menafsir cinta. Terkhilaf dalam membuktikan kesetian kepada seorang adam. Duhai sahabat. Cinta itu begitu murni. Cinta itu anugerah buat manusia tetapi kenapa mesti menodainya? Saya terkenangkan serangkap madah dalam sebuah novel karya Salina Ibrahim. Kalau tak silap tajuknya "Untukmu Hana."

Cinta itu bahagia

Cinta itu indah

Cinta itu airmata

Cinta itu derita

Dalam cinta ada segala-galanya.

Tiga
Dalam kemeriahan sanak saudara menghantar Y, kami terpaksa minta diri. Niatnya ke Perpustakaan Raja Uda, di Shah Alam. Sempat singgah di kilang roti Gardenia. Membeli 200 bungkus roti untuk para peserta Fetival Nasyid perinkat negeri. Acara berlangsung dengan jayanya. Namun, saya tidak sempat menikmati lagu-lagu yang dipertandingan kerana sibuk menguruskan kerja-kerja belakang tabir. Begitulah kalau namanya urus setia. Di sini juga bertemu dengan seseorang. Aduh! Begitu cepat dunia berubah. Sepatutnya perubahan diri seiring dengan kematangan dan usia. Betul kata Inneke (pelakon Indonesia yang memegang watak Bonda dalam Mutiara Hati), PERUBAHAN TIDAK SEMUDAH MEMBALIKKAN TAPAK TANGAN.
Empat
Menjelang Maghrib kami tiba kembali ke Darwa. Kemudian saya ke rumah Zalina untuk makan malam atas jemputan keluarganya. Sebelum itu, Zalina sempat membelikan ayam goreng buat para penghuni Darwa. Hati agak tersentuh apabila mereka menanti kami pulang untuk menikmati ayam goreng tersebut. Saya hanya menemani mereka makan kerana sudah kekenyangan. Malam itu kami melakukan tiga perkara yang boleh mengukuhkan ikatan antara kami, makan berjemaah, solat berjemaah serta tidur bersama-sama.
Ya Allah, Kau lembutkan hati-hati kami dalam mendekatkan diri kami pada JalanMU, Kau mudahkan lah dan Tolonglah kami dalam MengingatiMu serta bantulah kami dan mensyukuri nikmatMu Ya Allah.





Wednesday, May 6, 2009

Wahai diri! Sesungguhnya sakit itu ujian untuk menghapuskan dosa-dosa...

Thursday, April 30, 2009

Emas Hitam

Emas Hitam
menjadi sanjungan
jua rebutan

Kernanya
negara aman
pembangunan dijadikan sandaran

Kernanya
negara diserang
nyawa sebagai galang-ganti

Wednesday, April 29, 2009

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..2

26 April 2009 (Ahad)

Seawal pagi kami bersiap untuk ke acara sukan tahunan Tadika Tunas Budi di padang berhampiran. Seronok melihat keletah anak-anak. Terusir duka yang membebat diri sejak semalam. Sebelum itu, saya sempat membeli roti buat sarapan I dan Kak R.
Acara sukan usai lebih kurang jam 11. Selepas mengemas, kami sempat mengisi perut dengan nasi lemak yang pedas tapi sedap. Kemudian, teringat kak R dan I yang ditinggalkan di rumah. Kemudian, memutuskan untuk membeli nasi di kedai. Kami kepenatan. Berkejaran di tengah padang. Terkenangkan zaman kanak-kanak. Zaman ria yang tidak pernah berpenghujung.


kami tiba sebelum zuhur. Niat di hati mahu memejamkan mata sepicing dua. Melepaskan kelelahan yang merantai diri. Hati terkedu lagi. Melihat kak K di muka pintu. Suaranya perlahan dan badan yang terketar-ketar. Lantas saya pujuknya dengan secawan Nescafe dan biskut sebagai alas sebelum makan ubat. Dalam melayannya, saya perhatikan dia sudah tak mampu makan biskut tersebut. Hati disayat hiba. Besar ujian Allah buatnya. Dua minggu lepas dia masih ceria. Hari ini dia umpama budak kecil. Dia hanya meletakkan biskut tersebut ke bibirnya. Saya memujuknya agar dia menggigit biskut dan alhamdulillah dua keping biskut itu telah menjadi santapan. Kemudian, dia makan ubat sebelum membawanya ke bilik dan menggesanya tidur. Dia kebasahan. Peluh menitik di dahinya tapi pada masa yang sama dia kesejukan. kami menyelimutinya dan menemaninya seketika sambil membaca ayat kursi dan 4 Qul. Dia tertidur. Nampak benar dia keletihan.


Jam 2.30 petang kami sekali menjenguknya. Kami nampak kak K berpura-pura pejam mata. Aduh! saya tak terkata. Kami hanya mampu berdoa, berdoa agar meringankan bebannya. Itu yang termampu.

Selepas asar, kami dapati I sangat lemah. Dia demam. Kami merayau mencari klinik. Petang Ahad, tidak banyak klinik yang dibuka. Akhirnya, selepas bertanya orang, mencari petunjuk. Kami temui Klinik 24 jam Kumpulan City. Alhamdulillah.

Sebelum balik, saya menghantar Zalina dan 'dipaksa-rela' makan nasi ambang. Alhamdulillah, semoga Allah terus memberi kami kesihatan dan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam mendepani ujian-ujian yang mendatang.

Tuesday, April 28, 2009

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..

25 April 2008 (Sabtu)

Saya tiba Di Darwa (singkatan bagi Darul Wardah) tengahari Sabtu yang menyengat. Sebaik sampai, saya dikejutkan dengan berita Kak R yang sakit. Rupa-rupanya seminggu peninggalan saya banyak yang berlaku. Kak R dibawa ke klinik kerana gastrik. Kak R yang tak tidur malam. Kak R yang sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri lagi. Walaupun di luar panas menyengat, tapi hati saya kebanjiran. Namun, yang pasti kak R masih mampu tersenyum. Suaranya masih bising menegur saya.
Seusai solat zuhur, saya melihat kak R yang tak keruan. Terdengar rintihan demi rintihan. Apa lagi yang mampu saya lakukan. Simpati padanya melimpah ruah. Lantas, tanpa berfikir panjang, kami sekali lagi membawanya ke klinik berhampiran. Alhamdulillah, klinik itu masih dibuka.
Di klinik, keadaan serasa sukar. Kak R hanya boleh berbahasa Tamil. Malangnya, kami dan doktor tidak mampu berbahasa Tamil. Ia umpama bahasa itik dan ayam. Hanya bahasa badan yang digunakan untuk berkomunikasi dengan doktor. Doktor mengesahkan kak R sihat. Kak R juga mengakui yang dia sudah tidak sakit lagi. Kemudian, sempat singgah di kedai runcit berhampiran, membeli asikrim untuk tengahari yang panas. Sekadar terapi meleraikan jiwa yang rusuh.
Kemudian, singgah ke kedai dobi mengambil pakaian kak R sepanjang minggu. Sebaik sampai Darwa, kak R merintih kembali.
Saya ke rumah Ustazah setelah rumahnya dikunjungi sahabat yang lama tidak saya temui. Kemudian, kami berbincang panjang. Berkongsi pengalaman dan harapan. Mengenang kembali perit getir sepanjang empat bulan menubuhkan Darwa. Mengenangkan karenah pihak-pihak yang berwajib yang hanya bekerja makan gaji. Kerja bukan lagi dianggap ibadat tetapi kerja sebagai makan gaji. Tak semuanya begitu. Hanya segelintir yang bersikap demikian tetapi segelintir itulah yang merosakkkan imej islam. Mengenangkan karenah para penghuni yang rencam sifatnya. Setiap orang dengan ragam masing-masing. Namun, masing-masing menyokong satu sama lain. Anggapan saya selama ini tepat. Memenuhi keperluan rohani, emosi dan spiritual tidak semudah memenuhi rumah itu dengan keperluan material. Keperluan material boleh didapati di pasaraya, yang utama sediakan ongkosnya. Keperluan emosi, rohani dan spiritual bolehkah begitu? Menanamkan harapan dan keazaman serta iltizam bahawa Darwa akan mampu melindungi golongan yang memerlukan. Itulah objektif. Itulah nawaitu penubuhannya.
Kemudian, kami dikejutkan dengan panggilan telefon dari Darwa. Kak R meracau-racau dan menjerit-jerit. Lantas, kami ke Darwa. Kali ini, Ustazah yang memainkan peranan, Kami duduk berkeliling sekadar memerhatikan. Setelah diberi ubat, ustazah melakukan terapi cakra-aura. Doa kami Kak R boleh tidur dan dapat menenangkan dirinya. Malangnya tidak begitu. Dia masih meracau-racau. Kami kekagetan. Mungkinkah dia perlu dibawa ke hospital? Kami berbincang. Keputusan dibuat. Tidak perlu kerana Kak R telah diberi ubat tidur. Harapannya, malam ini dia dapat tidur dan dapat melupakan segala mimpi ngerinya. Kenyataannya, dia tetap tidak dapat tidur. Menurut kak Z, 3.30 pagi dia masih melayan F bercerita sambil sekali-sekala mengintai Kak R dibiliknya.

Monday, April 27, 2009

Dialah primadona itu

Dia dilahirkan suci
Ibubapanya mencorakkan hindu
Namun tak lama
Dia kembali kepada agama fitrah

Perjalanan hidupnya
Tak seindah diimpikan
Penderaan demi penderaan
Ujian demi ujian
Dilalui dengan tabah
Demi mempertahankan kalimah suci

Dia bukanlah barang komoditi
Tapi itulah realiti
Akhirnya dia melahirkan
Anak sekecil itu
Turut menjadi mangsa
Didera dan terbunuh

Kematiannya
Turut mematikan jiwanya
Terlantar tidak berdaya

Berdekad lamanya
Belajar melupakan segalanya
Cara tersendiri

Senyuman terukir
Hatinya
Hanya Allah Maha Mengetahui

Darul Wardah

Thursday, April 23, 2009

Terima kasih Ya Allah..

Terima kasih Ya Allah, atas nikmat rezeki yang kau kurniakan. Jadikan aku sebahagian daripada hambaMU yang bersyukur serta tidak lokek untuk memberi kembali.