Sunday, August 23, 2009

Catatan Ramadhan

Hari kedua umat islam berpuasa. Cuaca waktu tengahari panas terik. Saya menjenguk kain baju di ampaian. Kelihatan kelibat seorang perempuan bersama anak perempuan remajanya. Memberi salam. Katanya mahu sedikit derma seikhlas hati. Buat meringan beban suami yang sakit. Aduh! Saya terkedu. Bayangkan di tengahari yang panas terik di bulan Ramadhan. Berjalan dari rumah ke rumah mengharapkan sesuatu (tiada perkataan untuk ini). Saya merenung ke dalam diri. Teringat maksud ayat-ayat yang diulang berkali-kali dalam surah Al-Rahman. "Maka nikmat TuhanMu yang manakah yang kamu dustakan?"

Tuesday, August 11, 2009

Ole-ole dari Jakarta

Kejutan dari Linda. CD terbaru dari penyanyi nasyid yang kami ikuti di UIA minggu lepas- Di Bawah Langitmu. Saya teruja. Saya juga sempat meminjam CD Ya Rahman dari Zila. Hari-hari saya akan diceriakan dengan lagu-lagu Opick.

Monday, August 10, 2009

Hari Isnin yang memenatkan. Seawal pagi menerima kejutan demi kejutan. Seusai solat maghrib saya merehatkan mata dan minda. Sudah mengembara jauh. Melepaskan segala keresahan siang hari. Tiba-tiba dikejutkan dengan sms dari Tuan setiausaha. Ya Allah, saya terlepas usrah lagi. Saya cuba menyemak peti sms. Begitu juga peti emel. Kosong. Ralat rasanya. Apatah lagi bila ia diadakan di Anjung Berkat. Petanda apakah ini? Ya Allah, permudahkan segala urusan Kami, jangan hukum kami dengan ujian yang tak dapat kami pikul.

Friday, August 7, 2009

Konsert Opick- UIA

6 Ogos 2009 (Khamis)

Sudah lamanya rasanya tidak menikmati konsert nasyid secara 'live'. Malam ini saya berpeluang menjadikan konsert ini sebagai terapi. Walaupun dimulakan agak lambat, namun tetap terhibur dengan alunan suara lunak Opick yang pertama kali diterbangkan dari negara seberang. Banyak lagu diperdengarkan. Kami turut sama menyanyikannya. Sangat teruja walaupun kebanyakan lagunya baru pertama kali mendengarnya. Sebelum balik, masih sempat membeli cd "CAHAYA HATI".

Monday, August 3, 2009

Seminar dan Muktamar ABIM Pusat

Pemimpin
Datang dan pergi
Silih berganti

Amanah yang diberikan
akan dipersoalkan
akan dipertanggungjawabkan


Begitu juga kita
Sebagai pengikut
Wajib akur dan taat
Selama mana mereka menunaikan yang hak


Shah Alam
2 Ogos 2009