Dalam kesibukan melunasi tugasan, hati tetap terkesan dengan perkhabaran itu. Sungguh, saya terkedu. Hati saya sebak. Saya ingin menangis. Sungguh..Kalau tangisan boleh meleraikan segala persoalan saya sanggup berbuat demikian. Namun saya tahu, saya kena akur. Keputusan telah dibuat. Segalanya telah termaktub. Persoalannya, bolehkah saya berlapang dada menerima perkhabaran itu? Saya sayangkannya. Saya membesar dan matang bersamanya. Saya belajar tentang kehidupan dengannya. Saya temui orang-orang berilmu tapi sentiasa merendah diri di dalamnya. Namun, ada sesuatu yang pasti. Hidup perlu diteruskan. Betullah, hidup ini tak seindah yang kita bayangkan!
Monday, November 10, 2008
Friday, November 7, 2008
Renungan bersama...
Buat sekian kalinya, saya menatap lagi kitab "Jangan Bersedih". Saya ingin mencari sesuatu. Sekurang-kurangnya sebagai penawar buat menenangkan hati yang rusuh tika dan saat ini. Lantas saya terjumpa kata-kata ini.
"Sekiranya kita mengharapkan agar diterima oleh semua pihak, disukai oleh semua orang, terhindar dari cela, bermakna kita sudah menyukai sesuatu yang mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai."
Wednesday, November 5, 2008
Pencerahan....
Hari Khamis yang penuh keberkatan. Peluang berusrah dan menadah ilmu dengan Cikgu Sidek Baba tidak boleh dipersiakan begitu saja. Seperti biasa, saya tersasar lagi ke rumah beliau. Namun begitu, saya selamat tiba ke rumahnya dengan bantuan Ustaz Mus. Setelah tiga jam membuka hati dan minda, kami seolah-olah menerima pencerahan. Namun pesan cikgu yang paling berbekas; tingkatkan ilmu dan jangan gadaikan prinsip walaupun berdepan dengan segala macam perubahan dalam era globalisasi ini.
Friday, October 17, 2008
Catatan pengalaman
Pagi yang ceria. Malangnya saya sangat mengantuk. Semalam sampai di rumah seusai menghadiri Persidangan meja bulat jam 1.45 pagi. Apatah lagi pagi ni mengadap kerja yang memerlukan saya melihat angka-angka yang sangat halus. Aduh! Berganda-ganda kekuatan otot mata saya yang memang sedia kecil diperlukan. Semalam saya mengharungi hujan lebat dan jalan yang macet dengan jayanya. Inilah kelemahan saya, sentiasa berperang dengan nafsu. Peperangan ini sungguh sengit. Pernah suatu ketika, ketika nafsu hampir menang, saya terdengar lagu ilmu (betul ke tajuknya) dendangan kumpulan Raihan. Saya mendapat kekuatan, bahawa hidup ini perlu diisi dengan sesuatu yang bermanfaat. Nafsu ini perlu dididik. Caranya, hadirilah majlis ilmu. Inilah juga sebab musabab kenapa saya di Kuala yang berlumpur ini. Selain tempat mencari rezeki, di sini juga saya boleh mengutip ilmu Allah yang maha luas itu sebanyak-banyaknya.
Berbalik kepada Persidangan meja bulat semalam. Persidangan meja bulat yang diadakan di Kompleks Belia Shah Alam itu menyentuh tentang masalah dan hala tuju usahawan di Malaysia. Pembentangan oleh Prof Dr. Zainal Samicho, salah seorang pensyarah Uitm. Beliau mempunyai kepakaran dalam sains gunaan tapi pada masa yang sama boleh berbicara tentang keusahawanan. Inilah saya kira keistimewaan peribadi-peribadi orang ABIM. Slaid yang terpampang memang mengujakan. Terasa macam dalam dewan kuliah. Teringat nostalgia dulu-dulu, ketika bersama kawan-kawan menadah telinga, membukakan minda dan hati menadah ilmu. Berkejar ke dewan kuliah, lelah menyiapkan tugasan, letih melayan peperiksaan demi peperiksaan yang saban minggu, dan pada masa terluang menghadiri program-program KBM. Sungguh saya merindui saat itu. Apakah akan berulang lagi saat itu dalam hidup ini?
Monday, October 6, 2008
Corat-coret Aidil Fitri
SATU
Alhamdulillah, pagi yang berkat. Seperti biasa saya bersolat sunat Aidil Fitri di Masjid berdekatan rumah arwah datuk. Pagi-pagi lagi saya bersama bonda tiba. Masjid ini telah diperbesarkan beberapa tahun lalu. Namun masih tidak dapat menampung kapasiti jemaah yang ramai apabila tiba Aidil Fitri dan Aidil Adha. Begitu ramai perantau yang pulang. Saya berkesempatan jumpa beberapa teman zaman anak-anak. Bertegur sapa seketika. Biasanya ada perutusan dari sultan Terengganu setiap kali Hari Raya. Cuma satu peringatan buat diri. Memang kita dikehendaki membaca teks, membaca satu persatu tanpa meninggalkan walau sepatah pun. Sebolehnya baca dan kajilah apa yang tertulis. Kalau perlu diperbetul, perbetulkan. Mungkin ada "typo-error", mungkin tersilap pandang. Namun yang pasti, jangan sampai memalukan orang yang menulis dan menjatuhkan maruah kita sebagai pendakwah. ini peringatan buat kita yang senantiasa berhadapan dengan orang ramai dalam tugas-tugas dakwah.
DUA
Aidilfitri sepatutnya kita semarakkan ziarah menziarahi serta kunjung-mengunjungi rakan dan taulan. Ini yang ditanamkan oleh Ayahanda dan bonda pada saya dan adik-adik sejak kecil. Tidak lengkap hari raya tanpa aktiviti ini. Apatah lagi, apabila semua telah berhijrah dan bergelar perantau. Namun, niat mesti diperbetulkan. Aktiviti ziarah ini hendaknya janganlah kita cemari dengan benda lain. Memang hidup di zaman kemelesatan ekonomi ini menjengkelkan. Semua benda ada nilai. Tapi tolonglah jangan musnahkan nilai-nilai agama dan adat budaya kita dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sepatutnya.
Wednesday, October 1, 2008
Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1429
Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog. Malam ini saya menulis dalam lafaz tasbih, takbir dan tahmid memuji pencipta seluruh alam dan sekali-sekala diiringi dentuman bunyi mercun. Hati terasa sayu, malam ini madrasah Ramadhan telah kita tinggalkan. Madrasah Ramadahan yang dipenuhi dengan ujian dan kesibukan. Madrasah Ramadhan yang telah mematangkan saya. Ya Allah, Kau temukan aku dengan Ramadhan pada tahun-tahun mendatang.
Tuesday, September 23, 2008
Masjid Muaz Bin Jabal, Sentul
Pertama kali saya berbuka di Masjid. Kami hanya berbuka dengan beberapa biji tamar, beberapa potong tembikai dan semangkuk bubur lambuk. Walaupun sederhana namun cukup untuk mengalas perut sebelum solat Maghrib.
Subscribe to:
Posts (Atom)