Sunday, March 29, 2009

60 Minit untuk Bumi

28 Mar 2009
(8.30 - 9.30 malam)
Malam ini, kami juga ingin menyatakan sokongan kepada bumi. Saya dan seorang adik duduk bersama cahaya lilin sambil menonton Majalah Tiga. Apa salahnya bergelap untuk sejam jika ia memberi manfaat kepada manusia lain. Apatah lagi bila ia dilakukan dengan sukarela dan minda sedar.
Terkenang zaman dulu-dulu apabila eletrik terputus, kami adik-beradik akan duduk mengelilingi pelita atau lilin. Atau ayah akan pasang pelita gasolen yang cahayanya lebih terang. KAmi adik-beradik masih boleh menghabiskan kerja rumah yang diberi guru. Saya lebih suka lilin. Kami akan berebut-rebut untuk bermain dengan api lilin tersebut.
Benarlah. Hidup kita memerlukan cahaya. Cahaya yang akan menerangi sepanjang kegelapan. Ilmu juga cahaya.

Friday, March 27, 2009

Pembangunan

pembangunan
di mana-mana
bandar besar
pekan kecil
segalanya hebat
memukau mata
menongkat awan


masjid
dulunya kecil
kini tersergam indah
dulu penuh saf
kadangkala hingga ke tangga
kini
hanya tinggal beberapa saf
yang tinggal kanak-kanak dan orang tua



dulu
penghuninya begitu pemalu
bertudung litup menundukkan wajah
kini
semuanya terdedah
berpakaian ketat, sendat
rambut berwarna-warni
bertindik sana sini
kadang-kala
sukar dibeza jantina


inikah makna pembangunan
bangunan tinggi mengawan
tapi penghuninya
semakin jauh dari tuhan

inikan makna pembangunan
mengorbankan jatidiri
mengejar arus kemodenan

Wednesday, March 25, 2009

Cuti Rehat yang panjang...

Entah di mana silapnya. Di saat-saat tenaga perlu dioptimumkan, saya diserang virus itu. Saya diberi cuti sakit yang panjang. Namun, saya sempat menghabiskan novel tebal karya Salina Ibrahim "Bukan yang Pertama".

Lantas saya mengambil keputusan menghabiskan masa di kampung. Maka, menjelang subuh hari Jumaat saya selamat tiba di Jerteh. Namun, saya dilarang mendekati buku dan komputer. Akhirnya saya mengadap kotak empat persegi itu. Meniti dari satu saluran ke satu saluran. Pagi, saya menonton saluran OASIS. Petang dan malam hari Saluran HBO menjadi santapan mata saya.

Kemudian, saya akur. Sakit ini satu ruang dan peluang untuk diri saya berehat. Jua untuk saya memanjakan diri sendiri.

Tuesday, March 24, 2009

Sirah Junjungan Tahajjud Cinta

22 Mar 2009 (Ahad)
Malam
Kali pertama menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Kali pertama saya menonton teater ini. Saya sangat teruja. Ditambah lagi kemerduan suara Amy Search.
Teater dimulakan dengan zikir Asma' ul-Husna. Kemudian diiringi oleh pelakon-pelakon kecil yang membawa lampu. Itulah cahaya. Dari peristiwa bersejarah, kisah penyerangan kota Mekah oleh tentera bergajah yang dikepalai Abrahah dan bagaimana mereka hancur diserang oleh burung-burung Ababil.
Detik-detik kelahiran rasulullah. Bagaimana seluruh keluarga menerima kelahirannya dengan gembira. Begitu juga, ketika remaja, Rasullullah sering diejek kerana tidak bersama melakukan aktiviti-aktiviti mungkar. Segalanya disingkap satu-persatu. Ketika menerima wahyu yang pertama. Bagaimana para sahabat terpaksa melalui ujian yang cukup hebat, didera secara fizikal dan mental demi mempertahankan aqidah. Terasa begitu kerdil diri. Kadang-kala sekadar pandangan sinis atau sedikit kata nista, kita akan cepat melenting. Andainya Allah uji sedemikian rupa, mampukah kita mempertahankan iman dan islam kita?
Paling menyayat hati, apabila di saat Rasulullah hampir wafat. Peristiwa seorang sahabat yang terlalu ingin memeluk rasulullah dan melakukan sedikit provokasi. Semua sahabat yang ada bersamanya menawarkan diri sebagai galang-ganti. Begitu mereka menyintai rasulullah. Kita? Bagaimana orang kafir menghina rasulullah dan kita boleh membiarkannya. Segalanya bagai angin lalu. Bagaimana orang islam ditindas dan kita masih boleh bersuka-ria.

Monday, March 23, 2009

Menjejak Kenangan...

22 Mar 2009 (Ahad)

Saya bertolak setelah menikmati roti canai bersama penghuni Darul wardah ke UPM. Semalam semasa usrah, saya diberitakan oleh Dr. Nur Izura yang hari ini ada pertemuan dengan Alumni Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) UPM. Saya teruja. Memang setiap tahun diadakan perjumpan sebegini, malangnya saya tidak dapat turut serta. Tahun lepas, pertemuan yang serupa dibatalkan di saat akhir apabila tarikh yang sama saya menerima kedatangan Quratul Aireene ke dalam keluarga saya.
Kali ini pertemuan berlangsung di Bukit Ekspo, UPM. Bertahun-tahun rasanya saya tidak menjejakkan kaki ke kampus hijau ini. Sambil memandu, saya mengutip kembali kenangan yang tertinggal. Sudah sedekad berlalu. Tetapi sagalanya tetap segar di ingatan.
Kami bertaaruf ringkas. Para senior datang memberi semangat buat adik-adik. Pelbagai pesanan dan kata-kata nasihat yang kami dapat. Seperti kata Pak Yob, mantan presiden KBM dan kini seorang usahawan yang berjaya. KBM banyak mendidik dirinya. Warga KBM bertebaran di segenap pelusuk alam bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara juga.
Majlis berakhir setelah kami selesai menjamu selera. Semoga ukhuwwah ini akan berkekalan dan kami di sini senantiasa mendoakan adik-adik berjaya serta dipermudahkan semua urusan.
Buat adik-adik KBM, terutamaya Ana, Atiah, -sekadar beberapa nama. Jangan mengalah kerana di sinilah kita mengenal erti sebuah kehidupan.
Saya tertinggal kamera comel saya. Pastinya saya akan akan kembali dalam waktu terdekat.

Usrah Gabungan WAP, Tamrin PEPIAS dan Kenduri Maulid

Sabtu (21 Mac 2009)

Satu

Saya bertolak seawal pagi menuju ke Masjid Negeri. Niatnya satu. Menghadiri usrah Gabungan WAP. Hari ini topik yang akan didiskusikan adalah " Makna di sebalik Tafsir Mimpi Raja oleh Nabi Yusuf". Alhamdulillah, traffik bergerak lancar. Saya selamat tiba.
Banyak yang diperkatakan. Segalanya berkenaan pengurusan sumber. Bagaimana kita mengurus sumber untuk berdepan dengan masa susah. Begitu Allah pergilirkan. Silih berganti. Secara logiknya begitu. Tahun 1987, kita mengalami kemelesatan ekonomi. Begitu juga tahun 1998 dan seterusnya kini tahun 2009. Majlis berakhir jam 12 tengahari.
Dua
Saya dan Hidayah sempat menjenguk adik-adik PEPIAS yang bertamrin di Surau Al-Hidayah Seksyan 11, Shah Alam. Masa begitu mencemburui kami. Kami sekadar sempat berkenalan dengan adik-adik PEPIAS. Selepas solat Zuhur berjemaah, kami terpaksa ke Darul Wardah. Perjalanan ke Darul Wardah hanya mengambil masa 20 minit.
Tiga
Jam tiga kami bertolak ke rumah Zalina untuk menghadiri Kenduri Kesyukuran sempena maulidur rasul. Betapa banyaknya makanan. Ada pelbagai jenis. Terima kasih Ya Allah atas nikmat rezeki dan ukhuwwah ini.

Wednesday, March 18, 2009

Rumah Idaman...











Sekadar gambar hiasan
Sebuah catatan yang sentiasa akan diingati. Seseorang anak Adam itu akan berbahagia sekiranya dikurniakan
1. Pasangan yang baik
2. Rumah yang baik
3. Kenderaan yang baik
dan begitulah sebaliknya. Ini petikan kata-kata Nabi Muhammad. Oleh itu, mari kita pakat-pakat berusaha untuk mendapat kesemuanya.
p/s- Ada pepatah juga mengatakan hati orang yang kita sayang adalah rumah terbaik. Betulkah begitu?