Thursday, October 22, 2009

Impian Tsu-Ryi


Impian Tsu-Ryi
Penulis: Nisah Haji Haron
Penerbit: Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd.
Tahun: 2004
Muka surat: 185
Harga: RM 15.00


Banyak saya pelajari dari antologi 15 kumpulan cerpen remaja ini. Saya bersetuju dengan Puan Zaiton dalam kata pengantarnya. Latar penceritaannya berlaku di seluruh alam maya. Laut, udara, Darat. Ini membuatkan saya sentiasa tersenyum sendirian ketika membacanya. Saya juga berfantasi dan berimaginasi sama dengan latar cerpennya. Saya bayangkan saya berenang di samudera yang cantik, terbang di udara dengan kereta palng laju macam filem "Star-War". Menunggang binatang comel di angkasa raya. Saya juga bayangkan saya boleh menukar dimensi masa. Seketika dalam masa sekarang, kemudian balik ke masa silam dan pergi pula ke masa hadapan. Sungguh! Terasa sangat bahagia dan teruja. Hilang segala stress.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengulas buku pengarang tersohor ini, tapi apa yang penting walau di mana kita berada, maruah serta jatidiri perlu kita pertahankan seutuhnya. Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan serta jalinan persahabatan.

Setiap cerpen menggalakkan kita agar berakhlak mulia. Hukum alam itu mudah. Setiap kejahatan atau kebatilan itu akan terbongkar juga akhirnya. Kebatilan itu akan dikalahkan oleh kebenaran. Oleh itu, sebagai muslim, jadikan akhlak mulia itu sebagai perhiasan diri. Kita tak akan pernah rugi. Di sini juga di sana.


Terasa rugi kerana terlambat membaca buku ini. Saya membaca kumpulan cerpen ini ketika tidak lagi remaja walaupun beberapa cerpennya telah dan pernah saya baca ketika zaman persekolahan dulu.

Monday, October 19, 2009

Permudahkan urusan, setiap detik dan ketika...

Banyak yang ingin saya lakukan. Pelbagai rintangan dan kekangan yang perlu saya harungi. Aduh..terasa diri amat kerdil. Tak pernah saya rasa sebegini sedih. Rasa bersalah yang amat sangat. Lama saya termenung. Merenung ke dalam diri. Keterbasan waktu dan ruang. Semuanya bagaikan menghimpit.

Kemudian saya insaf. sekadar menenangkan hati yang rusuh. Saya bukan seperti dulu lagi. Bebas ke sana ke mari. Berusrah, bertamrin dan berprogram. Allah uji saya dengan tanggungjawab dan amanah yang baru. Saya tidak boleh kesampingkan amanah ini. Walaupun saya tahu, amanah itu juga lebih berat, lebih hebat.

Ya Allah, kau permudahkan segala urusan. Hanya itu doa saya..setiap detik dan ketika.

Thursday, October 15, 2009

Hukum Alam..

Saya percaya dan saya yakini. Sejak dulu. Sejak zaman saya remaja lagi bahawa

Untuk disayangi, kita perlu menyayangi
Untuk dihargai, kita perlu menghargai
Untuk dihormati, kita perlu menghormat
Untuk difahami, kita perlu memahami

Namun kadang kala kita terlupa. Kita sibuk bertanya komitmen orang lain sedangkan kita sebenarnya tak buat apa-apapun. Tanpa segan silu kita memperlekehkan komitmen orang lain. Kita dengan sinikal memtetawakan kekangan dan halangan orang lain. Oh! Begini rupanya dunia. Betul juga kata pepatah lama, kawan ketawa mudah dicari.

Thursday, August 27, 2009

Amanah dan Tanggungjawab


Saya masih ingat masa itu. Pertama kali belajar hadith berkenaan "Amanah dan Tanggungjawab". Saya hanya menghafaznya tanpa memahami maksud yang tersirat. Secara jujurnya, saya menghafaz hadith yang panjang itu bagi memudahkan saya menjawab soalan peperiksaan.


Kemudian, menginjak dewasa, apabila secara tabiinya dipertanggungjawabkan dengan pelbagai perkara, persoalan amanah itu bermain-main di minda dan hati saya. Saya sangat takut. Takut tidak mampu menunaikan segala amanah itu. Apalagi yang mampu saya lakukan. Saya hanya mampu mengharapkan Allah mempermudahkan segala urusan dan tidak membebani saya dengan ujian yang tidak mampu saya memikulnya. Saya percaya dan yakin setiap yang berlaku ada pelbagai hikmah. Saya juga menyakini yang setiap ujian pasti ada jalan keluarnya. Cuma jalan itu perlu diteroka.
Amanah ini menuntut komitmen yang bukan sedikit. Mungkin ini caranya Allah mendidik saya supaya lebih menghargai masa yang telah diberikan.

Ramadhan ini


Bulan yang penuh keberkatan ini selain dari menghabiskan bacaan al-quran, saya juga ingin menghabiskan kitab Tasawwur Moden karangan Pak Hamka. Saya mahu mencari-gali saripati keluhuran budi dan kejernihan hati.

Sunday, August 23, 2009

Catatan Ramadhan

Hari kedua umat islam berpuasa. Cuaca waktu tengahari panas terik. Saya menjenguk kain baju di ampaian. Kelihatan kelibat seorang perempuan bersama anak perempuan remajanya. Memberi salam. Katanya mahu sedikit derma seikhlas hati. Buat meringan beban suami yang sakit. Aduh! Saya terkedu. Bayangkan di tengahari yang panas terik di bulan Ramadhan. Berjalan dari rumah ke rumah mengharapkan sesuatu (tiada perkataan untuk ini). Saya merenung ke dalam diri. Teringat maksud ayat-ayat yang diulang berkali-kali dalam surah Al-Rahman. "Maka nikmat TuhanMu yang manakah yang kamu dustakan?"