Tuesday, December 9, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Pagi Aidil Adha yang syahdu ditemani takbir dan tahmid yang bergema di seluruh alam. Aidil Adha kali ini kurang sedikit kemeriahannya kerana dua orang adik tak dapat bersama menyambutnya di kampung. Seperti sebelumnya, kami teruskan tradisi kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi. Ada beberapa rumah wajib ziarah. Sepatutnya rumah-rumah ini dikunjungi semasa Aidil Fitri lalu namun kerana kesihatan ayahanda kurang mengizinkan ketika itu, kami isi dengan program makan, tidur dan menonton televisyen. Sungguh tidak produktif. Kami ganti dengan Aidil Adha ini. Terasa betapa persaudaraan ini satu nikmat. Terima kasih Ya Allah, masih lagi memberi kami kesempatan bersilaturrahim.

Wednesday, December 3, 2008

Kitalah Permata itu...

Satu

Peluang membantu penyelia memilih pekerja dari awal proses hingga peringkat mengatur temuduga tidak mudah yang disangka. Kalau dulu masa belajar, teorinya sangat menarik tapi realitinya tidak semenarik itu. Pelbagai ragam dan karenah manusia yang saya temui. Semuanya menginsafkan saya. Bukan senang rupanya memilih pekerja yang tepat pada masa yang tepat untuk tempat yang tepat. Sungguh...
Dua
Apabila terpilih, lakukanlah bersungguh-sungguh. Tak kira apa jawatan kita atau siapa pun kita, buatlah kerja betul-betul. Jangan lakukan sambil lewa. Terlalu berkira. Tunjukkan komitmen kita pada kerja. Anggaplah kerja kita sebagai ibadah. Kita mahukan keberkatan dalam hidup. Keberkatan itu bukan sekadar diukur dengan upah yang dibayar malah lebih dari itu...

Monday, November 10, 2008

Berlapang Dada...

Dalam kesibukan melunasi tugasan, hati tetap terkesan dengan perkhabaran itu. Sungguh, saya terkedu. Hati saya sebak. Saya ingin menangis. Sungguh..Kalau tangisan boleh meleraikan segala persoalan saya sanggup berbuat demikian. Namun saya tahu, saya kena akur. Keputusan telah dibuat. Segalanya telah termaktub. Persoalannya, bolehkah saya berlapang dada menerima perkhabaran itu? Saya sayangkannya. Saya membesar dan matang bersamanya. Saya belajar tentang kehidupan dengannya. Saya temui orang-orang berilmu tapi sentiasa merendah diri di dalamnya. Namun, ada sesuatu yang pasti. Hidup perlu diteruskan. Betullah, hidup ini tak seindah yang kita bayangkan!

Friday, November 7, 2008

Renungan bersama...

Buat sekian kalinya, saya menatap lagi kitab "Jangan Bersedih". Saya ingin mencari sesuatu. Sekurang-kurangnya sebagai penawar buat menenangkan hati yang rusuh tika dan saat ini. Lantas saya terjumpa kata-kata ini.
"Sekiranya kita mengharapkan agar diterima oleh semua pihak, disukai oleh semua orang, terhindar dari cela, bermakna kita sudah menyukai sesuatu yang mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai."

Wednesday, November 5, 2008

Pencerahan....

Hari Khamis yang penuh keberkatan. Peluang berusrah dan menadah ilmu dengan Cikgu Sidek Baba tidak boleh dipersiakan begitu saja. Seperti biasa, saya tersasar lagi ke rumah beliau. Namun begitu, saya selamat tiba ke rumahnya dengan bantuan Ustaz Mus. Setelah tiga jam membuka hati dan minda, kami seolah-olah menerima pencerahan. Namun pesan cikgu yang paling berbekas; tingkatkan ilmu dan jangan gadaikan prinsip walaupun berdepan dengan segala macam perubahan dalam era globalisasi ini.

Friday, October 17, 2008

Catatan pengalaman

Pagi yang ceria. Malangnya saya sangat mengantuk. Semalam sampai di rumah seusai menghadiri Persidangan meja bulat jam 1.45 pagi. Apatah lagi pagi ni mengadap kerja yang memerlukan saya melihat angka-angka yang sangat halus. Aduh! Berganda-ganda kekuatan otot mata saya yang memang sedia kecil diperlukan. Semalam saya mengharungi hujan lebat dan jalan yang macet dengan jayanya. Inilah kelemahan saya, sentiasa berperang dengan nafsu. Peperangan ini sungguh sengit. Pernah suatu ketika, ketika nafsu hampir menang, saya terdengar lagu ilmu (betul ke tajuknya) dendangan kumpulan Raihan. Saya mendapat kekuatan, bahawa hidup ini perlu diisi dengan sesuatu yang bermanfaat. Nafsu ini perlu dididik. Caranya, hadirilah majlis ilmu. Inilah juga sebab musabab kenapa saya di Kuala yang berlumpur ini. Selain tempat mencari rezeki, di sini juga saya boleh mengutip ilmu Allah yang maha luas itu sebanyak-banyaknya.
Berbalik kepada Persidangan meja bulat semalam. Persidangan meja bulat yang diadakan di Kompleks Belia Shah Alam itu menyentuh tentang masalah dan hala tuju usahawan di Malaysia. Pembentangan oleh Prof Dr. Zainal Samicho, salah seorang pensyarah Uitm. Beliau mempunyai kepakaran dalam sains gunaan tapi pada masa yang sama boleh berbicara tentang keusahawanan. Inilah saya kira keistimewaan peribadi-peribadi orang ABIM. Slaid yang terpampang memang mengujakan. Terasa macam dalam dewan kuliah. Teringat nostalgia dulu-dulu, ketika bersama kawan-kawan menadah telinga, membukakan minda dan hati menadah ilmu. Berkejar ke dewan kuliah, lelah menyiapkan tugasan, letih melayan peperiksaan demi peperiksaan yang saban minggu, dan pada masa terluang menghadiri program-program KBM. Sungguh saya merindui saat itu. Apakah akan berulang lagi saat itu dalam hidup ini?

Monday, October 6, 2008

Corat-coret Aidil Fitri

SATU
Alhamdulillah, pagi yang berkat. Seperti biasa saya bersolat sunat Aidil Fitri di Masjid berdekatan rumah arwah datuk. Pagi-pagi lagi saya bersama bonda tiba. Masjid ini telah diperbesarkan beberapa tahun lalu. Namun masih tidak dapat menampung kapasiti jemaah yang ramai apabila tiba Aidil Fitri dan Aidil Adha. Begitu ramai perantau yang pulang. Saya berkesempatan jumpa beberapa teman zaman anak-anak. Bertegur sapa seketika. Biasanya ada perutusan dari sultan Terengganu setiap kali Hari Raya. Cuma satu peringatan buat diri. Memang kita dikehendaki membaca teks, membaca satu persatu tanpa meninggalkan walau sepatah pun. Sebolehnya baca dan kajilah apa yang tertulis. Kalau perlu diperbetul, perbetulkan. Mungkin ada "typo-error", mungkin tersilap pandang. Namun yang pasti, jangan sampai memalukan orang yang menulis dan menjatuhkan maruah kita sebagai pendakwah. ini peringatan buat kita yang senantiasa berhadapan dengan orang ramai dalam tugas-tugas dakwah.
DUA
Aidilfitri sepatutnya kita semarakkan ziarah menziarahi serta kunjung-mengunjungi rakan dan taulan. Ini yang ditanamkan oleh Ayahanda dan bonda pada saya dan adik-adik sejak kecil. Tidak lengkap hari raya tanpa aktiviti ini. Apatah lagi, apabila semua telah berhijrah dan bergelar perantau. Namun, niat mesti diperbetulkan. Aktiviti ziarah ini hendaknya janganlah kita cemari dengan benda lain. Memang hidup di zaman kemelesatan ekonomi ini menjengkelkan. Semua benda ada nilai. Tapi tolonglah jangan musnahkan nilai-nilai agama dan adat budaya kita dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sepatutnya.

Wednesday, October 1, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1429

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog. Malam ini saya menulis dalam lafaz tasbih, takbir dan tahmid memuji pencipta seluruh alam dan sekali-sekala diiringi dentuman bunyi mercun. Hati terasa sayu, malam ini madrasah Ramadhan telah kita tinggalkan. Madrasah Ramadahan yang dipenuhi dengan ujian dan kesibukan. Madrasah Ramadhan yang telah mematangkan saya. Ya Allah, Kau temukan aku dengan Ramadhan pada tahun-tahun mendatang.

Tuesday, September 23, 2008

Masjid Muaz Bin Jabal, Sentul

Pertama kali saya berbuka di Masjid. Kami hanya berbuka dengan beberapa biji tamar, beberapa potong tembikai dan semangkuk bubur lambuk. Walaupun sederhana namun cukup untuk mengalas perut sebelum solat Maghrib.

Monday, September 22, 2008

Sabar...sabar....

Mungkin itulah satu-satunya perkataan yang boleh digunapakai ketika ini. Mengenangkan kita berada dalam bulan yang berkah, bulan rahmat. Bukankah sabar itu sebahagian dari IMAN.

Tuesday, September 16, 2008

Ramadhan itu Panas

Ramadhan maksudnya panas dan hangat. Itulah yang saya rasakan apabila tiga hari berada di kampung. Cuacanya sangat panas. Membahang. Betapa bersyukurnya apabila dikenangkan keadaan cuaca di Kuala Lumpur yang lembap dan sentiasa hujan. Betapa manusia sentiasa lupa. Lupa menghargai segala anugerah Allah buat kita. Sememangnya inilah antara hikmah yang terkandung dalam maksud ayat 216 surah al-Baqarah. "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Monday, September 8, 2008

Sukarnya mengendalikan Program

Saya amat terkilan. Saya hampir berputus harap. Saya tidak suka birokrasi. Birokrasi memang menyusahkan. Mepersulitkan keadaan. Kalau tidak kerana amanah, kalau tidak kerana ingin menjana dana untuk Darul Wardah, tidak saya menempuh birokrasi ini. Saya pujuk hati sendiri, ini baru sedikit, memang jalan perjuangan itu tidak mudah...

Thursday, September 4, 2008

Belangkasuwa

Alfatihah buat Allahyarhamah Sharifah Zarina Binti Tuan Man, salah seorang rakan serumah saya semasa mengaji di kampus hijau, Serdang. Semoga Allah mencucuri rahmat buatnya dan menempatkan rohnya bersama-sama orang yang beriman. Amin.

Monday, September 1, 2008

Sunday, August 24, 2008

Tuan Rejab F.I.


Saya membesar bersama karya-karyanya. Saya tidak pernah bertemu muka dengan beliau, tetapi hari ini, Allah memberi saya rezeki itu. Dipertemukan dengan beliau yang saya uliti tulisan-tulisannya sejak sekolah rendah. Rasa begitu terharu malah dalam kesibukannya masih sempat menandatangani satu helaian diari saya.
(Terima kasih buat Amy yang bersusah payah mendapatkan gambar ini dari Tuan Arif)

Friday, August 22, 2008

Kitakah Yang Bersalah?

Sabtu lepas sehari suntuk telinga menadah ‘kebaikan dan kemurniaan hati’ Orang Melayu amnya dan pemimipin Melayu khasnya dalam seminar di Seremban. Hari ini, semasa sesi dengan Kastam Diraja Malaysia tentang industri huluan petroleum, dada diasak dengan cerita “kebaikan dan kemurahan hati” Orang Melayu. Temanya sama tapi jalan cerita dan wataknya berbeza. Semuanya isu Kedaulatan Negara. Begitu senang mereka memperdagangkan kedaulatan negara atas nama “Bilateral Agreement” dan kemudian bila dibawa ketengah, jawapannya amat mudah, situasi menang-menang. Begitu mudah mereka menodai kepercayaan rakyat marhaen. Begitu mudah mereka membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Kitakah yang bersalah? Tidak tahu memilih pemimpin atau pemimpin yang terlalu tamak, sanggup mengadaikan tanah air demi memenuhi kantung sendiri.

Friday, August 8, 2008

Bowling

Saya tak pernah bermain bowling. Namun, permintaan teman untuk memeriahkan karnival sukan antara jabatan saya turutkan. Sekadar suka-suka. Menghilangkan stress setelah penat bekerja. Keputusannya, taklah mengecewakan walaupun kadang-kala bola tu melencong ke kanan atau ke kiri.

Wednesday, July 23, 2008

Pohon yang rendang dan lebat berbuah

Alangkah baiknya kalau saya sebatang pohon rendang yang senantiasa lebat berbuah. Andainya ada tangan-tangan nakal yang melontar batu atau kayu, tetap memberi mereka buah yang enak dimakan serta dapat mengenyangkan perut.

Tuesday, July 22, 2008

Lima

Serasa macam semalam saya melangkahkan kaki memasuki ruang pejabat ini. Diperkenalkan kepada satu persatu staf yang ada di situ. Pejam celik pejam celik begitu cepat masa berlalu. Hari ini genap lima tahun saya di sini. Banyak yang dapat saya pelajari. Belajar tentang tanggungjawab. Belajar tentang hidup dan kehidupan.

Friday, July 11, 2008

Perancangan kita..Perancangan Allah

Minggu ini sepatutnya saya menyambung kerja-kerja yang tertangguh minggu lepas. Sebaik tiba di pejabat pagi Isnin, dikejutkan dengan panggilan telefon dari penyelia supaya menggantikan tempat rakan setugas yang mengambil cuti kecemasan. Tiga hari menggantikannya cukup memenatkan. Bertambah penat melihat kerja sendiri yang tak dapat disiapkan seperti apa yang dirancang.
Dalam kepayahan melunasi tanggungjawab, saya menginsafi betapa kerdilnya diri. Ya Allah, betapa hebatnya kuasamu. Betapa kita merancang, tapi kalau Allah tak permudahkan, tak akan terlaksana. Betullah..perancangan Allah itu lebih tepat buat kita hambanya.

Thursday, July 3, 2008

Lelah

Akhirnya..bulan Jun yang memenatkan itu tiba ke penghujungnya. Saya memang kelelahan, lebih-lebih lagi meladeni dua kumpulan auditor serentak. Permintaannya rencam. Lebih-lebih lagi bertindak sebagai perantara dengan pihak pengurusan. Betul. Saya terpaksa kesampingkan kerja-kerja asasi saya. Setiap hari balik lambat dan adakalanya hujung minggu berkampung di pejabat. Banyak benda yang saya korbankan. Kesihatan turut terganggu. Majlis ilmu banyak yang saya abaikan. Ahhh...terasa sangat rugi..

Bukan itu sahaja, sebagai orang islam kita sememangnya senantiasa diuji..lepas satu, satu ujian. Kejutan demi kejutan. Semuanya menginsafkan. Apa yang pasti Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Bulan Julai ini saya ingin merehatkan minda sebaik mungkin...bercuti, melakukan apa sahaja yang terbaik dan pastinya Ogos atau September nanti ada tugasan baru yang bakal menanti...

Saturday, June 28, 2008

Kejutan

Pagi Jumaat nan indah. Namun, sekelip mata ia berubah. Perkhabaran itu mengubah segalanya. Seluruh alam berduka nestapa.

Monday, June 16, 2008

Saya selesai membaca Manikam Kalbu. Ada masa saya akan cuba tuliskan apa yang saya faham tentang busana melayu. Sekarang sedang menikmati buah tangan Prof Mohd Kamil Ibrahim dan novel Warkah Cinta Berbau Syurga. Juga autobiografi Natrah-Atas Nama Cinta karya Isa Kamari.

Selamat Hari Bapa

Buat ba' yang paling saya sayang, terima kasih kerana mendidik dan membesarkan saya. Semoga Allah sentiasa merahmati dan melindungi ba'. Terima kasih....sesungguhnya jasa dan budi ba' tak dapat saya balas hingga akhir hayat.

Sunday, June 8, 2008

Salju Sakinah


Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Halaman: 559
Harga: RM 20.80 (rebat 20%)


Novel yang berlatarkan Jordan dan Singgarang, saya kira sebuah mukim dalam daerah Batu Pahat ini banyak mengajar agar kita berjiwa besar. Tak kira apa jantina. Baik lelaki mahupun wanita. Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan makhluk. Setiap masa, waktu senang mahupun susah. Sentiasa memahami dan menghazami maksud ayat 286 surah al-Baqarah. Sememangnya Allah tidak pernah dan tidak akan membebani kita dengan ujian-ujian yang tak mampu kita hadapi. Ingatlah! Dalam surah al-Insyirah Allah menegaskan bahawa setiap kesempitan ada kemudahan. Senantiasa redha dan berlapang dada dengan ujian Allah. Sentiasa memahami bahawa setiap ujian susah dan senang itu ada hikmah yang besar di dalamnya. Novel ini juga mendidik kita bahawa sentiasa bersabar dan jangan cepat melenting dengan caci-maki dan umpat keji manusia.


Novel ini mengajak pembacanya agar senantiasa mengimarahkan majlis ilmu. Menyarankan agar membudayakan tabiat membaca buku. Membaca buku setiap hari serta memperkenalkan kita dengan beberapa kitab yang bagus. Antaranya Jangan bersedih, Minhajul Abidin, Pendidikan awal kanak-kanak.

Saya tersentuh dengan lafaz doa Prof. Abu Harith buat Sumayyah ketika Sumayyah menemui beliau sebelum berangkat ke Malaysia.


“Moga kamu benar-benar menjadi seorang muslimah seorang mukminah seorang mujahidah seorang muslihah dan seorang Sumayyah yang kuat mempertahankan aqidah dan agamanya sebagaimana Sumayyah Ummu Ammar, isteri kepada Yasir.”


Seorang muslimah bermakna dia dia perlu menjadi seorang wanita islam yang benar-benar mengamalkan segala tuntutan agama sepertimana yang digariskan oleh Al-Quran dan as-Sunnah. Bukan hanya kalimah syahadah sebagai bukti keislaman, malah menjadikan islam sebagai cara hidup.


Seorang mukminah baginya bukan sekadar beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul-rasul, beriman kepada Kitab-kitab, beriman kepada Hari Akhirat, beriman kepada Qada’ dan Qadar; bahkan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Tegal hakikat iman yang sempurna itu adalah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badan.


Seorang mujahidah menurut pemahamannya adalah seorang wanita yang berjihad dan bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi demi memastikan Islam terus bernafas dan dipandang tinggi.


Seorang muslihah adalah seorang wanita yang berperanan melakukan tugas-tugas islah dan pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku dalam umat dan masyarakat.


Seorang Sumayyah, nama srikandi Islam zaman Rasulullah. Itulah ibu kepada Ammar bin Yasir yang menjadi wanita Islam pertama yang gugur sebagai syahid-demi mempertahankan iman dan aqidah.

Friday, June 6, 2008

Minyak Naik Lagi...

Apa nak kata! Harga minyak dunia meningkat maka minyak Malaysia pun mesti naik mendadak. Bukan 10 sen tapi 78 sen. Aduh! dari RM1.92 sen seliter untuk petrol mendadak naik RM2.70. Semasa berbaris panjang ketika menunggu giliran mengisi penuh tangki kereta, saya sempat menghitung perbelanjaan minyak bulan ini dan bulan-bulan seterusnya. Dari RM100 kepada RM 150 sebulan. Aduh! Jumlah yang bukan sedikit. Ini diikuti kesan kenaikan harga barang lain kesan daripada kenaikan harga minyak.
Dalam kita mengalami krisis harga beras, ditambah kenaikan harga minyak yang mendadak. Saya kira rakyat terbanyak mengalami kesan yang paling dahsyat. Ini bukan lagi ribut taufan tapi tsunami. Sebelum ni tsunami buat pemimpin tapi kali ini tsunami buat rakyat marhaen. Ya Allah! Saya terbayangkan wajah-wajah sayu keluarga terdekat dan orang-orang kampung yang rata-rata berpendapatan sederhana. Betapa peritnya kehidupan.

Thursday, June 5, 2008

Kenaikan minyak sepanjang zaman

Saya ambil data ini dari emel yang dihantar oleh seorang sahabat. Saya harap data kenaikan harga minyak ini shahih.

zaman Mahathir
sebelum 90 - RM 0.89
tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 ( kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 ( kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 ( kenaikan RM 0.02)


zaman Pak Lah
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 ( kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 ( kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
05/06/2008 - RM 2.70 (kenaikan RM 0.78)

Friday, May 30, 2008

Buku lagi....


Saya bergegas ke KLCC selepas selesai waktu kerja. Seperti selalu saya mabuk buku. Tangan terus mencapai buku-buku yang saya hajati. Melayang beberapa keping not biru tapi hati puas. Adat orang kurang duit, beli buku masa buku ada diskaun. Harap-harap stok buku-buku ini cukup sampai Pesta Buku hujung April Tahun depan.
1. The secret oleh Rhonda Bryne
2. Warkah Cinta Berbau Syurga ole A. Ubaidillah Alias
3. Wang, Anda dan Islam: Halal dan Haram dalam Kewangan dan Perbankan oleh Zaharuddin Abd Rahman
4.Setengah Berisi Setengah Kosong oeh Parlindungan Marpaung
5. Salju Sakinah oleh Zaid Akhtar
6. Minda Muslim Super oleh Dr. Danial Zainal Abidin
7. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman oleh Muhd Kamil Ibrahim
8. Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah oleh Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof

Monday, May 26, 2008

Khazanah lama....


Semasa bercuti sambil menemani ibu dan adik di Puchong, saya sempat menyelongkar beberapa kotak buku dan nota-nota lama masa mengaji di Lembah Pantai dulu. Tujuannya mencari novel seorang teman yang dah lama dipinjam. Niat dihati mahu memulangkannya walaupun satu novel telah lesap dipinjam seorang kawan. Akhirnya, dua novel itu selamat saya temui dalam kotak-kotak tersebut. Bukan itu saja, saya juga bertemu dengan buku-buku ini...Entah bila saya beli, saya tak pasti.
1. Pembangunan di Malaysia Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna oleh Wan Mohd Nor Wan Daud
2. Mengurus Stres oleh Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom
3. Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4.Khazanah Intelektual Islam Editor oleh Nurcholis Majid
5. Kreativiti dalam Penciptaan Karya Sastera oleh Hizairi Othman
6. Srengenge oleh Shahnon Ahmad

Sunday, May 18, 2008

Masih mencari...

Hari ini sempat menghadiri kelas penulisan "Teknik Surah Yusuf" oleh Sifu Puan Ainon. Banyak ilmu yang dikongsi beliau. Begitu juga maklumat tentang dunia buku. Setelah satu hari berkongsi ilmu dengan beliau, satu soalan bermain di minda. Bolehkah saya menulis buku, yang islami, yang evergreen? Apakah bidang yang perlu saya pelopori?

Friday, May 16, 2008

Kaabah, Lorong wahyu, Cinta Arafah

Saya belum pernah sampai ke sana. Sekadar mendengar cerita dan melihat foto-foto kota Mekah dan Madinah melalui teman-teman yang pernah menjadi tetamunya samada ketika umrah atau haji. Juga menatap gambar-gambarnya di dada akhbar dan kaca televisyen. Membaca puisi-puisi (walaupun saya kurang arif tentang puisi) tulisan Isa Kamari ini seolah-olah membayangkan saya pernah sampai ke sana. Terasa-rasa saya berada di setiap tempat yang di sebut dalam buku-buku ini. Bahasanya indah. Tambahan lagi, setiap puisi ditulis dalam tulisan rumi dan jawi. Inilah kiranya keunikan buku-buku ini. Apatah lagi apabila mendengar lagu-lagu puisi yang disampaikan oleh Kumpulan Sir fil Sir. Hati meronta-ronta ingin ke sana.

Thursday, May 8, 2008

Catatan Pengalaman

Segalanya bermula untuk berkongsi ilmu fardhu ain kepada saudara baru terutamanya kaum ibu. Walaupun kami juga sebenarnya masih lagi belajar dan akan terus belajar. Bukankah menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim. Namun, kami perasan ada yang kurang fasih mengucap dua kalimah syahadah walaupun telah lama menganut islam. Kami mulakan kelas selama dua jam latih tubi membaca syahadah dan al-fatihah dalam kumpulan. Sesekali kami mengalunkan irama puji-pujian dendangan kumpulan Raihan. Ada beberapa kesukaran terutamanya dalam menyebut kalimah asyhadu, Allah dan rasul Allah.



Apabila mendapat papan putih, kami mulakan mengajar iqra’. Hati tersentuh sayu apabila mereka bertanya, “ bila nak ajar ABC? Kami pun nak pandai membaca macam orang lain.” Bayangkan, setelah 50 tahun merdeka, ada lagi insan-insan yang tidak kenal ABC. Alangkah! Alangkah! Sedihnya hati. Tak terluah dengan kata-kata. Kita berjaya membina bangunan pencakar langit, kita teruja apabila ada rakyat negara telah ke angkasa lepas. Kita berbangga apabila rakyat Malaysia mampu menawan puncak Gunung Everest, malah kita kagum apabila ada antara kita telah ke Kutub Utara dan Selatan. Bagaimana dengan mereka? Akan terus begitukah mereka? Terpinggir dalam arus kepesatan pembangunan negara. Apa yang dikesalkan, mereka bukan berada nun jauh di pedalaman, terpaksa menyeberang sungai untuk ke tempat mereka, meredah hutan belantara untuk sampai ke sana. Mereka hanya terletak di pinggir bandar. Hanya 20 minit berkereta dari Pekan Kayu Hijau.



Lalu kami bercadang mengilirkan jadual. Seminggu iqra’, seminggu lagi ABC menggunakan kaedah BACALAH ANAKKU. Bermulalah kelas a…i…u…ba..bi..bu…ca..ci..cu…Methodnya mudah. Baca berulang-ulang kali. Sesekali bergilir-gilir menyebutnya. Sungguh! Latihan lidah yang menghiburkan walaupun kerap kali tersasul.


Namun, cabaran juga tak kurang hebat. Mungkin inilah ujian, inilah dugaan. Bukan senang nak buat kebaikan. Tidak semudah menyebut ABC, alif ba taa, 123. Walau apa dan bagaimana rintangan yang datang, insyaallah, kelas tetap dijalankan. Bukankah ianya satu amanah? Bukankah Allah hanya bertanya apa yang telah kita usahakan? Allah tidak akan bertanya apa hasil dari apa yang kita usahakan. Banyak-banyaklah bersabar, bukankah sabar itu sebahagian daripada iman. Mungkin inilah tarbiyyah dari Allah untuk mendidik hati kita. Menanamkan sifat mahmudah dan membuang karat mazmumah. Mematangkan diri dalam menjalani kehidupan yang entah bila penghujungnya. Sungguh! Hidup ini tak seindah yang dibayangkan.


Semoga Allah beri kami kesihatan dan kekuatan untuk terus istiqamah dalam menjayakan program ini. Misi kami hanya satu, moga-moga mereka dapat menyebut kalimah syahadah dan membaca al-Fatihah dengan betul. Biarlah kalimah suci ini tersemat kukuh dalam hati-hati kita semua. Amin.

Saturday, May 3, 2008

Masih belum bertemu jawapan

Berkelana dari Gombak ke Kelang dengan menaiki LRT dan komuter pada cuti Hari Pekerja membolehkan saya menghabiskan "Dewan Masyarakat" bulan Mei 2008. Isunya masih berlegar tentang analisa PRU 12. Pelbagai persoalan berlegar dalam benak saya. Apakah dengan tidak memberi mandat kepada parti pemerintah kita sebenarnya kehilangan ketuanan Melayu? Apakah maksud ketuanan Melayu itu? Apakah selama ini pihak pemerintah benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu? Mendaulatkan Bahasa Melayu? Tergadaikah nanti tanah air tercinta ini sebagaimana lagu "WARISAN" yang saya sering nyanyikan sejak zaman sekolah rendah? Apakah nasib orang Melayu nanti, apakah akan jadi pelarian di bumi sendiri? Banyaknya soalan....tak terzahir dengan kata-kata. Tiba-tiba dada saya sesak, sebak...

"Ya Allah, Jangan kau azab kami sepertimana kaum yang terdahulu..."

Monday, April 21, 2008

Ahad yang bermakna

Sepatutnya pagi ini kami mengadakan kelas untuk orang asli tapi disebabkan masalah komunikasi kelas ditunda ke minggu depan. Saya dan Zila makan tengah hari di Seri Gombak. Kemudian, lepak di rumah sambil membaca Mingguan Malaysia dan The Star selepas jalan-jalan tengok "rumah impian". Sesekali mata menjeling gelagat ND Lala, Tantiana, Liza Abdullah, Badul dan Saleh Yaakob dalam filem Jejaka Perasan tayangan TV3.

Malamnya, kami solat berjemaah sambil dihidangkan dengan tazkirah atau ceramah oleh Tok Guru Nik Aziz di surau yang baru dibuka 17 April 2008 lepas. Insyaallah, kalau berkesempatan saya akan tulis apa ilmu yang dikutip dari tuan guru.

Terima kasih Ya Allah, atas rezeki yang Kau limpahkan pada kami.

Wednesday, April 16, 2008

Busana Melayu

Suatu ketika dulu, ketika membelek-belek majalah Fokus SPM (Februari 2006), halaman 43 saya terjumpa artikel “E-mel dari Faisal Tehrani” yang saya kira kita boleh manfaatkan bersama. Berikut adalah petikan artikel tersebut:
Apabila kita bercakap mengenai busana Melayu pula, kita telah memiliki pelbagai jenis busana, tekstil dan kain tenun yang diakui seluruh dunia sangat tinggi mutunya. Apalah salah memakai baju kurung?

Gambaran tentang baju kurung ialah baju yang longgar, bertangan panjang selain berpesak dan kembang di bahagian bawah. Kalau perempuan mengenakan baju kurung biasanya dengan kain sarung ikatan ombak mengalun, kalau lelaki biasanya dipakai dengan seluar, dilengkapi samping. Sekarang perubahan demi perubahan, baju kurung sudah diberi nafas moden. Apabila saya sebutkan moden ini tidak bermakna baju kurung boleh dipadankan dengan skirt! Kita harus mengetahui dasar sesuatu untuk melakukan perubahan. Pada baju kurung dasarnya longar, bertangan panjang dan kainnya tidaklah tipis menampakkan kulit.

Baju kurung ada daripada jenis teluk belanga dan ada cekak musang. Pada sekeliling tebukan leher baju yang berlapik dengan kain lain dan dijahit secara sembat halus, atau bahagian pinggir bulatan yang dijahitkan dengan tulang belut halus memaparkan kehalusan orang Melayu. Pada pangkal belah yang dibuat kancing baju dengan rumah kancing yang dijahit dengan jahitan insang pari itu memiliki maksud tersendiri. Rumah satu kancing itu melambangkan pegangan dan kepercayaan Tuhan Yang Maha Esa. Justeru baju kurung melambangkan pegangan dan kepercayaan si pemakainya. Ia bukanlah satu busana yang boleh digandingkan dengan apa sahaja seperti jeans koyak bercontengan sana sini. Si pemakainya pula tahu malu kerana ingatan terhadap kancing yang satu ialah Tuhan yang Maha Melihat jadi si pemakainya sentiasa menjaga akhlak.

Soal busana Melayu tidak berakhir dengan tekstil dan cara memakainya tetapi yang penting ialah falsafahnya. Adat orang Melayu ada menyebut tentang berpakaian yang berbunyi begini: Sesiapa memakai terbuka aurat tanda imannya sudah berkarat. Tanda orang yang tidak semenggah, berkain baju berdedah-dedah, sesiapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adat orang Melayu jati, berkain baju terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang, sesiapa memakai tembus mata, tanda dirinya di dalam nista. Memakai terlalu ketat, agamanya hilang binasa adat. Sesiapa berbaju terlalu sempit, imannya malap jiwanya sakit. Busana Melayu itu pantang ia mengada-ada. Kerana membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru-meniru, supaya tak hilang maruah Melayu. Apabila memakai baju tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai baju elok menurut adat supaya tidak membawa mudarat. Kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai.

Tuesday, April 15, 2008

Peringatan buat diri

BEFORE LEAVING OFFICE FOR HOME
PLEASE LEAVE YOUR OFFICE PROBLEMS

AT OFFICE

Thursday, April 10, 2008

Lakukanlah Sepenuh Hati

Kerja
Lakukanlah bersungguh-sungguh
Kerja itu amanah
Kerja itu tanggunggungjawab
Kerja itu ibadah
Segalanya akan dipersoalkan
Segalanya akan diberi ganjaran
Semoga kita beroleh pahala
Semoga kita beroleh keberkatan
Amin.....

Salam Perkenalan

Saya mulakan blog ini dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Semoga ia membawa manfaat buat semua. Amin