Thursday, April 30, 2009

Emas Hitam

Emas Hitam
menjadi sanjungan
jua rebutan

Kernanya
negara aman
pembangunan dijadikan sandaran

Kernanya
negara diserang
nyawa sebagai galang-ganti

Wednesday, April 29, 2009

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..2

26 April 2009 (Ahad)

Seawal pagi kami bersiap untuk ke acara sukan tahunan Tadika Tunas Budi di padang berhampiran. Seronok melihat keletah anak-anak. Terusir duka yang membebat diri sejak semalam. Sebelum itu, saya sempat membeli roti buat sarapan I dan Kak R.
Acara sukan usai lebih kurang jam 11. Selepas mengemas, kami sempat mengisi perut dengan nasi lemak yang pedas tapi sedap. Kemudian, teringat kak R dan I yang ditinggalkan di rumah. Kemudian, memutuskan untuk membeli nasi di kedai. Kami kepenatan. Berkejaran di tengah padang. Terkenangkan zaman kanak-kanak. Zaman ria yang tidak pernah berpenghujung.


kami tiba sebelum zuhur. Niat di hati mahu memejamkan mata sepicing dua. Melepaskan kelelahan yang merantai diri. Hati terkedu lagi. Melihat kak K di muka pintu. Suaranya perlahan dan badan yang terketar-ketar. Lantas saya pujuknya dengan secawan Nescafe dan biskut sebagai alas sebelum makan ubat. Dalam melayannya, saya perhatikan dia sudah tak mampu makan biskut tersebut. Hati disayat hiba. Besar ujian Allah buatnya. Dua minggu lepas dia masih ceria. Hari ini dia umpama budak kecil. Dia hanya meletakkan biskut tersebut ke bibirnya. Saya memujuknya agar dia menggigit biskut dan alhamdulillah dua keping biskut itu telah menjadi santapan. Kemudian, dia makan ubat sebelum membawanya ke bilik dan menggesanya tidur. Dia kebasahan. Peluh menitik di dahinya tapi pada masa yang sama dia kesejukan. kami menyelimutinya dan menemaninya seketika sambil membaca ayat kursi dan 4 Qul. Dia tertidur. Nampak benar dia keletihan.


Jam 2.30 petang kami sekali menjenguknya. Kami nampak kak K berpura-pura pejam mata. Aduh! saya tak terkata. Kami hanya mampu berdoa, berdoa agar meringankan bebannya. Itu yang termampu.

Selepas asar, kami dapati I sangat lemah. Dia demam. Kami merayau mencari klinik. Petang Ahad, tidak banyak klinik yang dibuka. Akhirnya, selepas bertanya orang, mencari petunjuk. Kami temui Klinik 24 jam Kumpulan City. Alhamdulillah.

Sebelum balik, saya menghantar Zalina dan 'dipaksa-rela' makan nasi ambang. Alhamdulillah, semoga Allah terus memberi kami kesihatan dan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam mendepani ujian-ujian yang mendatang.

Tuesday, April 28, 2009

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..

25 April 2008 (Sabtu)

Saya tiba Di Darwa (singkatan bagi Darul Wardah) tengahari Sabtu yang menyengat. Sebaik sampai, saya dikejutkan dengan berita Kak R yang sakit. Rupa-rupanya seminggu peninggalan saya banyak yang berlaku. Kak R dibawa ke klinik kerana gastrik. Kak R yang tak tidur malam. Kak R yang sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri lagi. Walaupun di luar panas menyengat, tapi hati saya kebanjiran. Namun, yang pasti kak R masih mampu tersenyum. Suaranya masih bising menegur saya.
Seusai solat zuhur, saya melihat kak R yang tak keruan. Terdengar rintihan demi rintihan. Apa lagi yang mampu saya lakukan. Simpati padanya melimpah ruah. Lantas, tanpa berfikir panjang, kami sekali lagi membawanya ke klinik berhampiran. Alhamdulillah, klinik itu masih dibuka.
Di klinik, keadaan serasa sukar. Kak R hanya boleh berbahasa Tamil. Malangnya, kami dan doktor tidak mampu berbahasa Tamil. Ia umpama bahasa itik dan ayam. Hanya bahasa badan yang digunakan untuk berkomunikasi dengan doktor. Doktor mengesahkan kak R sihat. Kak R juga mengakui yang dia sudah tidak sakit lagi. Kemudian, sempat singgah di kedai runcit berhampiran, membeli asikrim untuk tengahari yang panas. Sekadar terapi meleraikan jiwa yang rusuh.
Kemudian, singgah ke kedai dobi mengambil pakaian kak R sepanjang minggu. Sebaik sampai Darwa, kak R merintih kembali.
Saya ke rumah Ustazah setelah rumahnya dikunjungi sahabat yang lama tidak saya temui. Kemudian, kami berbincang panjang. Berkongsi pengalaman dan harapan. Mengenang kembali perit getir sepanjang empat bulan menubuhkan Darwa. Mengenangkan karenah pihak-pihak yang berwajib yang hanya bekerja makan gaji. Kerja bukan lagi dianggap ibadat tetapi kerja sebagai makan gaji. Tak semuanya begitu. Hanya segelintir yang bersikap demikian tetapi segelintir itulah yang merosakkkan imej islam. Mengenangkan karenah para penghuni yang rencam sifatnya. Setiap orang dengan ragam masing-masing. Namun, masing-masing menyokong satu sama lain. Anggapan saya selama ini tepat. Memenuhi keperluan rohani, emosi dan spiritual tidak semudah memenuhi rumah itu dengan keperluan material. Keperluan material boleh didapati di pasaraya, yang utama sediakan ongkosnya. Keperluan emosi, rohani dan spiritual bolehkah begitu? Menanamkan harapan dan keazaman serta iltizam bahawa Darwa akan mampu melindungi golongan yang memerlukan. Itulah objektif. Itulah nawaitu penubuhannya.
Kemudian, kami dikejutkan dengan panggilan telefon dari Darwa. Kak R meracau-racau dan menjerit-jerit. Lantas, kami ke Darwa. Kali ini, Ustazah yang memainkan peranan, Kami duduk berkeliling sekadar memerhatikan. Setelah diberi ubat, ustazah melakukan terapi cakra-aura. Doa kami Kak R boleh tidur dan dapat menenangkan dirinya. Malangnya tidak begitu. Dia masih meracau-racau. Kami kekagetan. Mungkinkah dia perlu dibawa ke hospital? Kami berbincang. Keputusan dibuat. Tidak perlu kerana Kak R telah diberi ubat tidur. Harapannya, malam ini dia dapat tidur dan dapat melupakan segala mimpi ngerinya. Kenyataannya, dia tetap tidak dapat tidur. Menurut kak Z, 3.30 pagi dia masih melayan F bercerita sambil sekali-sekala mengintai Kak R dibiliknya.

Monday, April 27, 2009

Dialah primadona itu

Dia dilahirkan suci
Ibubapanya mencorakkan hindu
Namun tak lama
Dia kembali kepada agama fitrah

Perjalanan hidupnya
Tak seindah diimpikan
Penderaan demi penderaan
Ujian demi ujian
Dilalui dengan tabah
Demi mempertahankan kalimah suci

Dia bukanlah barang komoditi
Tapi itulah realiti
Akhirnya dia melahirkan
Anak sekecil itu
Turut menjadi mangsa
Didera dan terbunuh

Kematiannya
Turut mematikan jiwanya
Terlantar tidak berdaya

Berdekad lamanya
Belajar melupakan segalanya
Cara tersendiri

Senyuman terukir
Hatinya
Hanya Allah Maha Mengetahui

Darul Wardah

Thursday, April 23, 2009

Terima kasih Ya Allah..

Terima kasih Ya Allah, atas nikmat rezeki yang kau kurniakan. Jadikan aku sebahagian daripada hambaMU yang bersyukur serta tidak lokek untuk memberi kembali.

Wednesday, April 22, 2009

Bulan dan matahari

Tiba-tiba saya terkenangkan seorang dia.

Dikau umpama bulan
berusaha menerangi kegelapan
menjadi petunjuk
buat sang pelayar

aku ibarat sang mentari
berjerih menerangi alam
menberi cahaya
buat sebuah kehidupan

bulan dan mentari
peranannya seakan sama
menerangi siang hari
menerangi gelap malam

bulan dan mentari bertembung
gerhana menampakkan diri

Monday, April 20, 2009

Majlis Kesyukuran Prof Dr. Khadijah...

18 April 2009 (Sabtu)

Sabtu

Jam 11.00 pagi saya memandu ke Darul Wardah. Kami berjanji akan bersama-sama ke Hotel De Palma, seksyen 19 Shah Alam untuk meraikan Majlis kesyukuran Prof Dr. Khadijah. Malangnya, Ustazah dan Hidayah tidak sempat balik ke Darul Wardah dari Ampang Jaya. Pilihan yang ada konvoi dengan YDP ke tempat yang dituju.

Alhamdulillah, kami antara orang pertama tiba. kami dihidangkan dengan pengisian fizikal dan jiwa yang menarik. Majlis diserikan dengan deklamasi sajak oleh Cikgu Muslimin. Juga ucapan alu-aluan oleh En. Nik Yusuf. Istimewanya, Prof turut mengupas persoalan sains dan kaitannya islam. Banyak yang saya pelajari. Sekali lagi bliau menekankan bahawa otak kita adalah 'thumb drive' terbesar yang allah kurniakan buat kita. Sebelum balik, kami sempat singgah di pasar malam. Saya membeli sedikit makanan buat makan malam.

Saya sampai Darul Wardah jam 6 petang. Penat memang penat. Sesuatu berlaku. Di saat ini kesabaran saya memang teruji. Saya cuba bersabar. Perbanyakkan istighfar. Aduh! saya tetap saya. Masih belum berjaya mengawal sifat marah. Sungguh! Saya belajar tetapi kadang-kala kesabaran saya tergugat juga.

Malam

Darul Wardah menerima seorang lagi penghuni baru. Bermacam cerita. Sungguh! Semuanya dijadikan ikhtibar dan pengajaran. Hidup ini perlu ikut peraturan dan undang-undang. Peraturan dan undang-undang ciptaan Allah itu bukan untuk orang lain. Tetapi untuk kita makhluknya.

Tuesday, April 14, 2009

Tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia

Satu

Hari ini saya mengisi e-borang untuk LHDN. Alhamdulillah, saya mendapat kembali bayaran cukai yang telah dilakukan majikan sepanjang tahun 2008.


Dua

Buat pertama kalinya saya menyahut seruan derma darah. Mula-mula agak gementar tetapi alhamdullillah semuanya berjalan dengan lancar.

Monday, April 13, 2009

Hujan di hati

12 April 2009 (Ahad)

Satu
Seawal 6.30 pagi saya belajar menjadi pendengar yang setia. Cuba menenangkan hati Makcik L yang kerusuhan. Sekeping Hati yang masih kesedihan akibat perpisahan dengan suami yang berpergian ke negeri abadi. Juga saya belajar ketaatan seorang anak dalam meladeni permintaan demi permintaan seorang ibu.


Dua
Saya bersama Ustazah ke pasar Pandamaran. Kami membeli barang ayam, ikan, sotong serta sayur-sayuran untuk seminggu. Sempat juga membasahkan tekak dengan minuman cincau yang diusahakan IKS. Keluaran Ajwa. Namun, tekak tetap terkenangkan cincau keluaran Fitrah itu.

Tiga
Kami semua ke Econsave. Membeli barang-barang keperluan untuk Darul Wardah. Juga seronok melihat perkembangan Kak R yang telah pandai memilih apa yang dihajatinya. Penuh satu troli barang untuk Darul Wardah. kemudian singgah di asrama untuk mengambil anak lelaki Kak R.


Jam 5 petang saya pulang ke Gombak. Saya tinggalkan Darul Wardah dengan pelbagai perasaan. Semuanya bersatu menjadi satu. Ditambah dengan hujan yang begitu lebat. Begitulah hati saya. Saya tinggalkan mereka dengan harapan mereka dapat menyesuaikan diri di Darul Wardah.

Terima kasih Ya Allah. Memberi saya kesempatan dan peluang untuk bersama-sama berkongsi cerita duka mereka. Semuanya kisah kehidupan yang memberi saya pelbagai ikhtibar. Mematangkan saya. Menginsafkan saya. Insyaallah, akan saya coretkan pengalaman-pengalaman mereka. Sebagai tatapan bahawa ujian yang kita hadapi tidaklah sesukar ujian-ujian yang mereka tempuhi dalam mempertahankan kalimah suci itu.


Sunday, April 12, 2009

Selepas Dua Minggu

11 April 2009 (Sabtu)

Pagi

Seawal pagi saya bertolak ke Khalifah Institut. Hari ini saya mengiringi Ustazah Hazlina yang memberi ceramah berkenaan pendidikan anan-anak. Namun, saya sampai agak terlambat tetapi masih sempat melakarkan pesanan demi pesanan dalam catatan saya. Majlis usai dalam jam 11 pagi setelah kami mengalas perut dengan makanan yang enak.
Kami bertolak ke Darul Wardah. Perjalanan kami masih lagi lancar. Dua minggu saya tidak menjenguk Darul Wardah. Pelbagai perubahan yang berlaku. Pengurus berhenti kerja tetapi alhamdulillah telah mendapat penggantinya serta pertambahan beberapa orang penghuninya. Terasa meriah pabila saya melangkah ke Darul Wardah.
Malam
Saya bukanlah pendengar yang baik tetapi saya belajar menjadi seorang yang empati. Satu persatu kisah tersingkap. Semuanya menginsafkan saya. Betapa selama ini saya hidup dengan kasih sayang keluarga dan sahabat yang melimpah ruah.

Thursday, April 9, 2009

Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah

Alhamdulillah...terima kasih ya Allah atas nikmat iman dan islam yang kau anugerahkan buat saya sekeluarga. Terima ksih atas rezeki yang kau anugerahkan, semoga rezeki yang kau anugerahkan ini tidak membuatkan saya lupa dan akan memudahkan saya untuk terus berbakti pada keluarga dan orang-orang sekeliling saya.
Satu peringatan buat diri yang selalu lupa. Dalam rezeki yang dikurniakan itu, ada hak orang lain juga. Oleh itu, jangan lupa tunaikan zakat dan dan bersedeqah. Itulah bekalan buat kita di sana.

Saturday, April 4, 2009

Selamat Hari Lahir Ba'

Semoga Allah anugerahkan kesihatan dan keberkatan buat Ba'. Terima kasih atas didikan ba' selama ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Friday, April 3, 2009

Selamat datang Aufal...

Hari ini keluarga kami dimeriahkan dengan kelahiran Aufal


Satu Kelahiran
Berakhir satu penantian
hadir bersama
amanah dan tanggungjawab
buat ayah dan ibu

Wednesday, April 1, 2009

Tugasan baru

Hari ini saya memulakan tugasan baru. Saya hanya mampu berdoa semoga Allah mempermudahkan segala tugasan ini. Amin...