12 April 2009 (Ahad)
Satu
Seawal 6.30 pagi saya belajar menjadi pendengar yang setia. Cuba menenangkan hati Makcik L yang kerusuhan. Sekeping Hati yang masih kesedihan akibat perpisahan dengan suami yang berpergian ke negeri abadi. Juga saya belajar ketaatan seorang anak dalam meladeni permintaan demi permintaan seorang ibu.
Dua
Saya bersama Ustazah ke pasar Pandamaran. Kami membeli barang ayam, ikan, sotong serta sayur-sayuran untuk seminggu. Sempat juga membasahkan tekak dengan minuman cincau yang diusahakan IKS. Keluaran Ajwa. Namun, tekak tetap terkenangkan cincau keluaran Fitrah itu.
Tiga
Kami semua ke Econsave. Membeli barang-barang keperluan untuk Darul Wardah. Juga seronok melihat perkembangan Kak R yang telah pandai memilih apa yang dihajatinya. Penuh satu troli barang untuk Darul Wardah. kemudian singgah di asrama untuk mengambil anak lelaki Kak R.
Jam 5 petang saya pulang ke Gombak. Saya tinggalkan Darul Wardah dengan pelbagai perasaan. Semuanya bersatu menjadi satu. Ditambah dengan hujan yang begitu lebat. Begitulah hati saya. Saya tinggalkan mereka dengan harapan mereka dapat menyesuaikan diri di Darul Wardah.
Terima kasih Ya Allah. Memberi saya kesempatan dan peluang untuk bersama-sama berkongsi cerita duka mereka. Semuanya kisah kehidupan yang memberi saya pelbagai ikhtibar. Mematangkan saya. Menginsafkan saya. Insyaallah, akan saya coretkan pengalaman-pengalaman mereka. Sebagai tatapan bahawa ujian yang kita hadapi tidaklah sesukar ujian-ujian yang mereka tempuhi dalam mempertahankan kalimah suci itu.
No comments:
Post a Comment