Saya tiba Di Darwa (singkatan bagi Darul Wardah) tengahari Sabtu yang menyengat. Sebaik sampai, saya dikejutkan dengan berita Kak R yang sakit. Rupa-rupanya seminggu peninggalan saya banyak yang berlaku. Kak R dibawa ke klinik kerana gastrik. Kak R yang tak tidur malam. Kak R yang sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri lagi. Walaupun di luar panas menyengat, tapi hati saya kebanjiran. Namun, yang pasti kak R masih mampu tersenyum. Suaranya masih bising menegur saya.
Seusai solat zuhur, saya melihat kak R yang tak keruan. Terdengar rintihan demi rintihan. Apa lagi yang mampu saya lakukan. Simpati padanya melimpah ruah. Lantas, tanpa berfikir panjang, kami sekali lagi membawanya ke klinik berhampiran. Alhamdulillah, klinik itu masih dibuka.
Di klinik, keadaan serasa sukar. Kak R hanya boleh berbahasa Tamil. Malangnya, kami dan doktor tidak mampu berbahasa Tamil. Ia umpama bahasa itik dan ayam. Hanya bahasa badan yang digunakan untuk berkomunikasi dengan doktor. Doktor mengesahkan kak R sihat. Kak R juga mengakui yang dia sudah tidak sakit lagi. Kemudian, sempat singgah di kedai runcit berhampiran, membeli asikrim untuk tengahari yang panas. Sekadar terapi meleraikan jiwa yang rusuh.
Kemudian, singgah ke kedai dobi mengambil pakaian kak R sepanjang minggu. Sebaik sampai Darwa, kak R merintih kembali.
Saya ke rumah Ustazah setelah rumahnya dikunjungi sahabat yang lama tidak saya temui. Kemudian, kami berbincang panjang. Berkongsi pengalaman dan harapan. Mengenang kembali perit getir sepanjang empat bulan menubuhkan Darwa. Mengenangkan karenah pihak-pihak yang berwajib yang hanya bekerja makan gaji. Kerja bukan lagi dianggap ibadat tetapi kerja sebagai makan gaji. Tak semuanya begitu. Hanya segelintir yang bersikap demikian tetapi segelintir itulah yang merosakkkan imej islam. Mengenangkan karenah para penghuni yang rencam sifatnya. Setiap orang dengan ragam masing-masing. Namun, masing-masing menyokong satu sama lain. Anggapan saya selama ini tepat. Memenuhi keperluan rohani, emosi dan spiritual tidak semudah memenuhi rumah itu dengan keperluan material. Keperluan material boleh didapati di pasaraya, yang utama sediakan ongkosnya. Keperluan emosi, rohani dan spiritual bolehkah begitu? Menanamkan harapan dan keazaman serta iltizam bahawa Darwa akan mampu melindungi golongan yang memerlukan. Itulah objektif. Itulah nawaitu penubuhannya.
Kemudian, kami dikejutkan dengan panggilan telefon dari Darwa. Kak R meracau-racau dan menjerit-jerit. Lantas, kami ke Darwa. Kali ini, Ustazah yang memainkan peranan, Kami duduk berkeliling sekadar memerhatikan. Setelah diberi ubat, ustazah melakukan terapi cakra-aura. Doa kami Kak R boleh tidur dan dapat menenangkan dirinya. Malangnya tidak begitu. Dia masih meracau-racau. Kami kekagetan. Mungkinkah dia perlu dibawa ke hospital? Kami berbincang. Keputusan dibuat. Tidak perlu kerana Kak R telah diberi ubat tidur. Harapannya, malam ini dia dapat tidur dan dapat melupakan segala mimpi ngerinya. Kenyataannya, dia tetap tidak dapat tidur. Menurut kak Z, 3.30 pagi dia masih melayan F bercerita sambil sekali-sekala mengintai Kak R dibiliknya.
No comments:
Post a Comment