Seawal pagi kami bersiap untuk ke acara sukan tahunan Tadika Tunas Budi di padang berhampiran. Seronok melihat keletah anak-anak. Terusir duka yang membebat diri sejak semalam. Sebelum itu, saya sempat membeli roti buat sarapan I dan Kak R.
Acara sukan usai lebih kurang jam 11. Selepas mengemas, kami sempat mengisi perut dengan nasi lemak yang pedas tapi sedap. Kemudian, teringat kak R dan I yang ditinggalkan di rumah. Kemudian, memutuskan untuk membeli nasi di kedai. Kami kepenatan. Berkejaran di tengah padang. Terkenangkan zaman kanak-kanak. Zaman ria yang tidak pernah berpenghujung.
kami tiba sebelum zuhur. Niat di hati mahu memejamkan mata sepicing dua. Melepaskan kelelahan yang merantai diri. Hati terkedu lagi. Melihat kak K di muka pintu. Suaranya perlahan dan badan yang terketar-ketar. Lantas saya pujuknya dengan secawan Nescafe dan biskut sebagai alas sebelum makan ubat. Dalam melayannya, saya perhatikan dia sudah tak mampu makan biskut tersebut. Hati disayat hiba. Besar ujian Allah buatnya. Dua minggu lepas dia masih ceria. Hari ini dia umpama budak kecil. Dia hanya meletakkan biskut tersebut ke bibirnya. Saya memujuknya agar dia menggigit biskut dan alhamdulillah dua keping biskut itu telah menjadi santapan. Kemudian, dia makan ubat sebelum membawanya ke bilik dan menggesanya tidur. Dia kebasahan. Peluh menitik di dahinya tapi pada masa yang sama dia kesejukan. kami menyelimutinya dan menemaninya seketika sambil membaca ayat kursi dan 4 Qul. Dia tertidur. Nampak benar dia keletihan.
Jam 2.30 petang kami sekali menjenguknya. Kami nampak kak K berpura-pura pejam mata. Aduh! saya tak terkata. Kami hanya mampu berdoa, berdoa agar meringankan bebannya. Itu yang termampu.
Selepas asar, kami dapati I sangat lemah. Dia demam. Kami merayau mencari klinik. Petang Ahad, tidak banyak klinik yang dibuka. Akhirnya, selepas bertanya orang, mencari petunjuk. Kami temui Klinik 24 jam Kumpulan City. Alhamdulillah.
Sebelum balik, saya menghantar Zalina dan 'dipaksa-rela' makan nasi ambang. Alhamdulillah, semoga Allah terus memberi kami kesihatan dan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam mendepani ujian-ujian yang mendatang.
No comments:
Post a Comment