Sunday, March 29, 2009

60 Minit untuk Bumi

28 Mar 2009
(8.30 - 9.30 malam)
Malam ini, kami juga ingin menyatakan sokongan kepada bumi. Saya dan seorang adik duduk bersama cahaya lilin sambil menonton Majalah Tiga. Apa salahnya bergelap untuk sejam jika ia memberi manfaat kepada manusia lain. Apatah lagi bila ia dilakukan dengan sukarela dan minda sedar.
Terkenang zaman dulu-dulu apabila eletrik terputus, kami adik-beradik akan duduk mengelilingi pelita atau lilin. Atau ayah akan pasang pelita gasolen yang cahayanya lebih terang. KAmi adik-beradik masih boleh menghabiskan kerja rumah yang diberi guru. Saya lebih suka lilin. Kami akan berebut-rebut untuk bermain dengan api lilin tersebut.
Benarlah. Hidup kita memerlukan cahaya. Cahaya yang akan menerangi sepanjang kegelapan. Ilmu juga cahaya.

Friday, March 27, 2009

Pembangunan

pembangunan
di mana-mana
bandar besar
pekan kecil
segalanya hebat
memukau mata
menongkat awan


masjid
dulunya kecil
kini tersergam indah
dulu penuh saf
kadangkala hingga ke tangga
kini
hanya tinggal beberapa saf
yang tinggal kanak-kanak dan orang tua



dulu
penghuninya begitu pemalu
bertudung litup menundukkan wajah
kini
semuanya terdedah
berpakaian ketat, sendat
rambut berwarna-warni
bertindik sana sini
kadang-kala
sukar dibeza jantina


inikah makna pembangunan
bangunan tinggi mengawan
tapi penghuninya
semakin jauh dari tuhan

inikan makna pembangunan
mengorbankan jatidiri
mengejar arus kemodenan

Wednesday, March 25, 2009

Cuti Rehat yang panjang...

Entah di mana silapnya. Di saat-saat tenaga perlu dioptimumkan, saya diserang virus itu. Saya diberi cuti sakit yang panjang. Namun, saya sempat menghabiskan novel tebal karya Salina Ibrahim "Bukan yang Pertama".

Lantas saya mengambil keputusan menghabiskan masa di kampung. Maka, menjelang subuh hari Jumaat saya selamat tiba di Jerteh. Namun, saya dilarang mendekati buku dan komputer. Akhirnya saya mengadap kotak empat persegi itu. Meniti dari satu saluran ke satu saluran. Pagi, saya menonton saluran OASIS. Petang dan malam hari Saluran HBO menjadi santapan mata saya.

Kemudian, saya akur. Sakit ini satu ruang dan peluang untuk diri saya berehat. Jua untuk saya memanjakan diri sendiri.

Tuesday, March 24, 2009

Sirah Junjungan Tahajjud Cinta

22 Mar 2009 (Ahad)
Malam
Kali pertama menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Kali pertama saya menonton teater ini. Saya sangat teruja. Ditambah lagi kemerduan suara Amy Search.
Teater dimulakan dengan zikir Asma' ul-Husna. Kemudian diiringi oleh pelakon-pelakon kecil yang membawa lampu. Itulah cahaya. Dari peristiwa bersejarah, kisah penyerangan kota Mekah oleh tentera bergajah yang dikepalai Abrahah dan bagaimana mereka hancur diserang oleh burung-burung Ababil.
Detik-detik kelahiran rasulullah. Bagaimana seluruh keluarga menerima kelahirannya dengan gembira. Begitu juga, ketika remaja, Rasullullah sering diejek kerana tidak bersama melakukan aktiviti-aktiviti mungkar. Segalanya disingkap satu-persatu. Ketika menerima wahyu yang pertama. Bagaimana para sahabat terpaksa melalui ujian yang cukup hebat, didera secara fizikal dan mental demi mempertahankan aqidah. Terasa begitu kerdil diri. Kadang-kala sekadar pandangan sinis atau sedikit kata nista, kita akan cepat melenting. Andainya Allah uji sedemikian rupa, mampukah kita mempertahankan iman dan islam kita?
Paling menyayat hati, apabila di saat Rasulullah hampir wafat. Peristiwa seorang sahabat yang terlalu ingin memeluk rasulullah dan melakukan sedikit provokasi. Semua sahabat yang ada bersamanya menawarkan diri sebagai galang-ganti. Begitu mereka menyintai rasulullah. Kita? Bagaimana orang kafir menghina rasulullah dan kita boleh membiarkannya. Segalanya bagai angin lalu. Bagaimana orang islam ditindas dan kita masih boleh bersuka-ria.

Monday, March 23, 2009

Menjejak Kenangan...

22 Mar 2009 (Ahad)

Saya bertolak setelah menikmati roti canai bersama penghuni Darul wardah ke UPM. Semalam semasa usrah, saya diberitakan oleh Dr. Nur Izura yang hari ini ada pertemuan dengan Alumni Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) UPM. Saya teruja. Memang setiap tahun diadakan perjumpan sebegini, malangnya saya tidak dapat turut serta. Tahun lepas, pertemuan yang serupa dibatalkan di saat akhir apabila tarikh yang sama saya menerima kedatangan Quratul Aireene ke dalam keluarga saya.
Kali ini pertemuan berlangsung di Bukit Ekspo, UPM. Bertahun-tahun rasanya saya tidak menjejakkan kaki ke kampus hijau ini. Sambil memandu, saya mengutip kembali kenangan yang tertinggal. Sudah sedekad berlalu. Tetapi sagalanya tetap segar di ingatan.
Kami bertaaruf ringkas. Para senior datang memberi semangat buat adik-adik. Pelbagai pesanan dan kata-kata nasihat yang kami dapat. Seperti kata Pak Yob, mantan presiden KBM dan kini seorang usahawan yang berjaya. KBM banyak mendidik dirinya. Warga KBM bertebaran di segenap pelusuk alam bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara juga.
Majlis berakhir setelah kami selesai menjamu selera. Semoga ukhuwwah ini akan berkekalan dan kami di sini senantiasa mendoakan adik-adik berjaya serta dipermudahkan semua urusan.
Buat adik-adik KBM, terutamaya Ana, Atiah, -sekadar beberapa nama. Jangan mengalah kerana di sinilah kita mengenal erti sebuah kehidupan.
Saya tertinggal kamera comel saya. Pastinya saya akan akan kembali dalam waktu terdekat.

Usrah Gabungan WAP, Tamrin PEPIAS dan Kenduri Maulid

Sabtu (21 Mac 2009)

Satu

Saya bertolak seawal pagi menuju ke Masjid Negeri. Niatnya satu. Menghadiri usrah Gabungan WAP. Hari ini topik yang akan didiskusikan adalah " Makna di sebalik Tafsir Mimpi Raja oleh Nabi Yusuf". Alhamdulillah, traffik bergerak lancar. Saya selamat tiba.
Banyak yang diperkatakan. Segalanya berkenaan pengurusan sumber. Bagaimana kita mengurus sumber untuk berdepan dengan masa susah. Begitu Allah pergilirkan. Silih berganti. Secara logiknya begitu. Tahun 1987, kita mengalami kemelesatan ekonomi. Begitu juga tahun 1998 dan seterusnya kini tahun 2009. Majlis berakhir jam 12 tengahari.
Dua
Saya dan Hidayah sempat menjenguk adik-adik PEPIAS yang bertamrin di Surau Al-Hidayah Seksyan 11, Shah Alam. Masa begitu mencemburui kami. Kami sekadar sempat berkenalan dengan adik-adik PEPIAS. Selepas solat Zuhur berjemaah, kami terpaksa ke Darul Wardah. Perjalanan ke Darul Wardah hanya mengambil masa 20 minit.
Tiga
Jam tiga kami bertolak ke rumah Zalina untuk menghadiri Kenduri Kesyukuran sempena maulidur rasul. Betapa banyaknya makanan. Ada pelbagai jenis. Terima kasih Ya Allah atas nikmat rezeki dan ukhuwwah ini.

Wednesday, March 18, 2009

Rumah Idaman...











Sekadar gambar hiasan
Sebuah catatan yang sentiasa akan diingati. Seseorang anak Adam itu akan berbahagia sekiranya dikurniakan
1. Pasangan yang baik
2. Rumah yang baik
3. Kenderaan yang baik
dan begitulah sebaliknya. Ini petikan kata-kata Nabi Muhammad. Oleh itu, mari kita pakat-pakat berusaha untuk mendapat kesemuanya.
p/s- Ada pepatah juga mengatakan hati orang yang kita sayang adalah rumah terbaik. Betulkah begitu?





Tunggu Teduh Dulu

Novel ini telah beberapa kali saya baca malangnya saya tak mampu menkhatamnya. Kali ini saya benar-benar berazam mahu menghabiskan novel ini. Mahu menggali kekuatan Salsabila dalam mendepani ujian-ujian kehidupan. Ini janji saya. Sebagaimana saya menghabiskan buku tulisan John Gray...Men From Mars, Women From Venus..

Monday, March 16, 2009

Hari yang berakhir...permulaan sebuah tanggungjawab

15 Mac 2009 (Ahad)

Satu
Pagi yang ceria. Saya memandu tenang di awal pagi menuju ke rumah Ustazah Hazlina dan kemudian kami akan ke Pulau Indah. Niatnya mahu meraikan pasangan Nurul Hasanah dan pasangan yang baru menjenguk alam baru.
Dua
Mengikut perancangan awal, kami akan ke Bukit Cerakah dan kemudian Ke Hotel De Palma, Ampang memenuhi undangan wanita JIM tetapi atas sebab-sebab teknikal, saya bersendirian ke Hotel De Palma. Semasa berhenti mengisi petrol, saya terpandang SMS dari Puan Latifah. Permintaannya mudah. Minta tolong mengisi usrah di surau berhampiran rumahnya di Jalan Cochrane selepas solat isya' nanti. Saya mencongak-congak masa dan tahap diri. Aduh! Maaf, tak dapat saya langsaikan permintaan tersebut. Apatah lagi mengenangkan esok hari bekerja.
Tiga
Alhamdullillah, saya selamat tiba di Hotel De Palma, Ampang. Kali ini saya mengambil pengangkutan awam. Saya parkir kereta di Stesen LRT Terminal Putra. Menaiki LRT ke Ampang Park dan dari sana menaiki bas Srijaya. Saya tiba jam 3.30 petang. Kemudian sessi perkenalan bermula. Sambil makan-makan char keoy teow, sandwich dan ayam kampung goreng kami bertukar-tukar program. Bertukar-tukar pandangan bagaimana memperkasa ummah. Majlis berakhir jam 6 petang.
Satu hari lagi berakhir. Saya gembira dalam kepenatan. Saya dapat menunaikan satu lagi amanah. Namun, saya pasti ini baru sedikit. Permulaan kepada satu tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas.
Lalu saya terbayangkan tugas Rasulullah. Cabaran dan dugaannya. Rasanya sangat sedikit. Saya sangat malu padamu Ya Habibullah. Kekasih Allah.
Ya Allah, permudahkan semua urusanku...Jangan kau bebani aku dengan ujian yang tak dapat aku tanggung sebagaimana engkau uji umat-umat terdahulu..

Pesta Buku Jakarta, Matta Fair 09 dan Kamera baru

14 Mar 2009 (Sabtu)
Kami bercadang ke Pesta Buku Jakarta pada 3 hingga 5 Julai 2009. Saya talah menghubungi beberapa agen pelancongan dan boleh dikatakan setiap minggu tengok website MAS untuk dapatkan harga yang terbaik. Namun, senarai nama belum ada. Saya tak dapat mendaftar untuk tiket kapal terbang.
Kebetulan, hujung minggu ada MATTA Fair. Pertama kali ke Matta Fair. Saya tiba seawal jam 10.30 pagi. Orang belum ramai. Alhamdulillah, malam sebelumnya Ezat telah memberi senarai beberapa agen pelancongan yang patut saya lawati. Satu PWTC saya tawaf. Cuba mencari harga yang terbaik. Malangnya, harga yang saya dapat terkeluar dari belanjawan yang sepatutnya. Daripada 15 peserta yang memberi persetujuan awal, akhirnya tinggal 5 orang dan kerana sebab-sebab tertentu kami membatalkan hasrat tersebut.
Orang semakin ramai, kepala mula berdenyut dan perut mula berkeroncong. Tanpa saya sedar jam telah menunjukkan ke angka 4. Maknanya sudah 5 jam saya berlegar-legar di Dewan Satu yang terletak di Seberang Sungai itu. Sedikit kepenatan tapi saya rasa gembira. Gembira kerana saya mampu melaksanakan satu lagi amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Walau apa hasilnya, itu tidak penting. Apa yang penting satu amanah telah selesai.
Dalam perjalanan pulang, saya sengaja singgah di Pameran Ditigal. Niatnya mencari satu kamera yang menggunakan bateri Lithium. Kamera sekarang menggunakan Bateri AA. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat sebuah kamera Samsung beserta beberapa hadiah percuma. Antaranya "Simcard" 2G, pelindung skrin, sebuah beg untuk komputer, tuala muka dan tali yang bertulis "Samsung". Tali itu untuk "thumdrive" saya yang bersepah-sepah letaknya.
Malangnya, hasrat untuk menjenguk adik-adik yang berkhemah di Bukit Cerakah terpaksa di lupakan. Saya balik dalam hujan yang menggila setelah mengisi perut di Restoran Resepi Rahsia.

Friday, March 13, 2009

Baca dan Catat

Baca, baca, baca,
catat, catat, catat
manusia cepat lupa
apa yang dibaca

sebuah catatan
kekal selamanya

kita adalah
apa yang kita baca

Thursday, March 12, 2009

Pursuit of Happyness...


Filem Inggeris ini menceritakan tentang kisah benar Chris Gardner yang begitu gigih berusaha mencapai cita-citanya. Kisah kemelaratan hidup yang menyebabkannya berjuang untuk keluar dari kemiskinan tersebut.

Betul, tidak mudah untuk berada di puncak. Ujian demi ujian perlu dilalui. Namun, dugaan dan cabaran itu berjaya dilalui dengan tabah. Saya seakan-akan mendapat sedikit suntikan semangat. Hidup ini begitu. Walau apa dugaan melanda, kita wajib teruskan perjalanan hingga ke titik noktahnya.

Begitu janji Allah. Setiap kesusahan ada kemudahan. Setiap kesusahan ada kemudahan. Allah juga tidak mengubah nasib sesuatu kaum hingga kaum itu sendiri merubahnya. Mari kita pakat-pakat berdoa agar Allah memudahkan semua urusan kita di sini dan di sana.


Wednesday, March 11, 2009

OGA 2009 Datang lagi...

Sebab-sebab untuk pergi ke OGA 2009 (Oil and Gas Showcase) pada 11 hingga 13 Jun depan di Pusat persidangan Kuala Lumpur (KLCC)
1. Mendapat maklumat tentang produk
2. Boleh melihat produk dengan lebih jelas..biasanya hanya dilihat dalam katalog sahaja
3. Kumpul beg kertas
4. Kumpul buku nota, alatulis dan sebagainya
5. Kalau nasib baik, boleh dapat "thumb drive".

Tuesday, March 10, 2009

A Litre of Tears

Drama Jepun sebelas episod ini pernah ditayangkan di stesen tivi tempatan tetapi saya tidak berpeluang menontonnya. Lantas saya mencari DVD. Ia kisah benar bagaimana seorang gadis bijak yang berusia 15 tahun didignosis penyakit "Spinocerebellar Degeneration Disease" yang menyebabkan ototnya tidak berfungsi. ketika pertama kali beliau disahkan mengidap penyakit yang tidak diketahui punca dan tiada penawar, doktor mencadangkan agar beliau menulis apa sahaja mengenai perubahan-perubahan yang berlaku terhadapnya.
Dalam masa yang begitu pantas, penyakitnya begitu cepat merebak. Satu persatu nikmat ditarik. Akhirnya beliau terlantar. Namun, beliau sangat optimis melawan penyakitnya. Begitu juga keluarganya. Mereka sekeluarga begitu tabah mendepani ujian itu. Beliau sedih kerana tidak mampu membantu manusia lain. Namun, ibunya telah menyarankan agar beliau meneruskan catatan hariannya. Dengan bantuan gurunya, ibunya telah menerbitkan catatan-catatan kehidupannya dan ia memberi inspirasi kepada orang lain. Begitu kesudahan cerita ini.
Ini cerita sebuah ketabahan, kekeluargaan serta persahabatan. Selesai menonton DVD ini pelbagai pertanyaan terlontar di minda. Andai kata saya diuji seperti Aya adakah saya mampu melaluinya dengan tabah? Walaupun pada mula, beliau mempersoalkan takdirnya tapi akhirnya beliau akur. Beliau harus melakukan sesuatu yang terbaik setiap hari kerana beliau tidak tahu apa lagi yang akan berlaku terhadapnya. Nikmat mana lagi yang akan ditarik balik?
Begitu juga kita. Sepatutnya melakukan yang terbaik setiap hari kerana kita tak pasti apakah kita yang sihat walafiat hari ini masih mampu mengulangi perkara yang sama keesokan harinya.

Saturday, March 7, 2009

Matahari

Matahari
seakan-akan malu
mengintai
dari celahan pepohonan
mengiringi kepulangan
ke pangkuan ayahbonda

Monday, March 2, 2009

Catatan Hujung Minggu 1

28 Feb 2009 (Sabtu)

Satu

Saya berbual panjang dengan Kak Azini. Tentang pelbagai perkara. Dari perihal peribadi, masalah helwa hinggalah keadaan politik terkini di Perak.


Dua

Saya bertolak ke Darul Wardah. Jalan raya yang sesak memang menyesakkan dada. Perjalanan mengambil masa dua jam. Dalam perjalanan, mendapat telefon dari sifu meminta saya mengendalikan majlis bacaan Yassin dan mesyuarat Mawaddah di darul wardah. Alhamdulillah, saya tiba di Darul Wardah jam dua petang.

Seusai solat zuhur, majlis bacaan Yassin dimulakan di setiap bilik. Kemudian kami berkumpul di ruang tamu bersama-sama mengaminkan doa surah Yassin. selepas itu, kami memperkenalkan Darul Wardah serta mewar-warkan program-program yang akan diadakan sepanjang tahun 2009/2010. Kami dihidangkan dengan nasi air hasil tangan Surya dan Hasanah. Terima kasih buat semua kerana sudi mengimarahkan majlis ini.

Tiga

Kami berlima menikmati makan malam di Mama Tomyam. Terima kasih buat Kak Mawar. Semoga senantiasa dimurahkan rezeki. Sebelum tidur, saya sempat melayan novel jiwang...
Aa+ Bb hasil nukilan Hlovete.


1 Mac 2009 (Ahad)

Empat

Saya bercadang kembali ke Gombak di awal pagi tetapi sememangnya perancangan Allah itu lebih tepat. Ketika bersiap-siap untuk keluar membeli roti canai, pengurus Darul Wardah menerima panggilan telefon dari Puan S yang meminta untuk menempatkan anak gadisnya. Lantas saya menunda perjalanan pulang sehingga Puan S tiba. Kemudian, kami ke kedai membeli sarapan dan barang-barang runcit untuk beberapa hari.

Sambil menunggu Puan S, saya sempat mengkhatamkan novel 5 tahun 5 bulan juga buah tangan Hlovete. Puan S bersama keluarganya tiba jam 3 petang. Seusai solat Asar, kami berangkat pulang dengan harapan Nur betah tinggal di sana. Semoga Nur bisa berubah sebagaimana harapan keluarganya. Perjalanan pulang kami diiringi gerimis dan kadang-kala lebat menggila dan begitulah keadaan jalan raya. Sesak dan padat. Alhamdulillah, saya tiba di rumah jam 7 Petang.

Lima
Saya melayan 4 episod DVD "A litre of Tears" yang dibeli pada Jumaat lepas.