Drama Jepun sebelas episod ini pernah ditayangkan di stesen tivi tempatan tetapi saya tidak berpeluang menontonnya. Lantas saya mencari DVD. Ia kisah benar bagaimana seorang gadis bijak yang berusia 15 tahun didignosis penyakit "Spinocerebellar Degeneration Disease" yang menyebabkan ototnya tidak berfungsi. ketika pertama kali beliau disahkan mengidap penyakit yang tidak diketahui punca dan tiada penawar, doktor mencadangkan agar beliau menulis apa sahaja mengenai perubahan-perubahan yang berlaku terhadapnya.
Dalam masa yang begitu pantas, penyakitnya begitu cepat merebak. Satu persatu nikmat ditarik. Akhirnya beliau terlantar. Namun, beliau sangat optimis melawan penyakitnya. Begitu juga keluarganya. Mereka sekeluarga begitu tabah mendepani ujian itu. Beliau sedih kerana tidak mampu membantu manusia lain. Namun, ibunya telah menyarankan agar beliau meneruskan catatan hariannya. Dengan bantuan gurunya, ibunya telah menerbitkan catatan-catatan kehidupannya dan ia memberi inspirasi kepada orang lain. Begitu kesudahan cerita ini.
Ini cerita sebuah ketabahan, kekeluargaan serta persahabatan. Selesai menonton DVD ini pelbagai pertanyaan terlontar di minda. Andai kata saya diuji seperti Aya adakah saya mampu melaluinya dengan tabah? Walaupun pada mula, beliau mempersoalkan takdirnya tapi akhirnya beliau akur. Beliau harus melakukan sesuatu yang terbaik setiap hari kerana beliau tidak tahu apa lagi yang akan berlaku terhadapnya. Nikmat mana lagi yang akan ditarik balik?
Begitu juga kita. Sepatutnya melakukan yang terbaik setiap hari kerana kita tak pasti apakah kita yang sihat walafiat hari ini masih mampu mengulangi perkara yang sama keesokan harinya.
No comments:
Post a Comment